Doa 'abid' mudah dimakbul
Pertolongan Allah SWT bermaksud nikmat atau pemberian yang Allah
SWT berikan kepada seseorang hambanya hasil daripada usahanya sendiri
sama ada dalam keadaan susah atau senang, kaya atau miskin.
Hamba yang sentiasa sabar dengan ujian Allah SWT akan didatangkan kepada mereka pertolongan Allah.
Hamba yang sentiasa sabar dengan ujian Allah SWT akan didatangkan kepada mereka pertolongan Allah.
Firman-Nya bermaksud:
“Maka kamu
mengira kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu iaitu
cubaan atau ujian seperti halnya orang terdahulu sebelum kamu. Mereka
ditimpa oleh pelbagai ujian malapetaka dan kesengsaraan serta
digoncangkan dengan pelbagai cubaan sehingga berkata rasul dan orang
yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah? Ingatlah
pertolongan Allah sangat dekat.”
(Surah al-Baqarah, ayat 214)
Jaga hubungan
Ini menunjukkan Allah SWT tidak akan memberikan kesenangan atau pertolongan tanpa ada usaha kita. Sama lambat atau cepat bergantung kepada ketentuan yang Allah SWT berikan.
Antara faktor mudah untuk mendapat pertolongan Allah SWT adalah menjaga hubungan dengan-Nya iaitu melaksanakan amalan wajib seperti solat fardu, puasa, zakat, haji bagi yang berkemampuan dan taat setiap perintahnya.
Hal ini nescaya akan mendekatkan lagi diri kita dengan Allah SWT serta mendapat gelaran ‘abid’ yang kuat beribadah di sisi Allah SWT. Secara tidak langsung, doa kita mudah dimakbulkan seperti doa hamba yang dipohon sepertiga malam secara berterusan.
Justeru, kita harus melatih diri untuk digelar sebagai ‘abid’ yang sejati di sisi Allah SWT. Selain menjaga hubungan dengan Allah SWT, kita juga diseru untuk menjaga hubungan sesama manusia kerana ini satu wasilah dalam membentuk kehidupan bermasyarakat yang harmoni.
Perang Badar memberi pengajaran kepada kita kerana perang ini telah menunjukkan secara jelas kepada kita pertolongan Allah akan hadir jika kita sebaris dalam medan perjuangan. Pada perang ini kaum muslimin sebanyak 313 berbanding kafir seramai 1,000 orang.
Kekuatan tentera Muslimin
Dalam perang inilah Allah SWT hadirkan kekuatan kepada tentera Muslimin dengan menimbulkan rasa gerun musuh terhadap pihak lawan, Allah SWT turunkan hujan kepada tentera Islam supaya dapat menyucikan diri mereka daripada dosa atau maksiat sebelum menentang musuh.
Allah SWT menguatkan kaki tentera Islam serta Allah SWT berikan nikmat yang paling hebat dengan didatangkan malaikat kepada tentera Islam secara berturut turut seperti diceritakan dalam al-Quran.
Kita sebagai hamba kepada pencipta haruslah yakin bahawa setiap corak atau perjalanan hidup kita akan dibantu oleh Allah SWT dengan syarat kita semua berusaha bersungguh-sungguh dan yakin pertolongan Allah SWT itu dekat dengan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan