Klik foto untuk lebih jelas :)
PADA
suatu masa dahulu ada seorang ahli ibadah yang tekun mengerjakan ibadatnya
selama 70 tahun. Namun, pada suatu hari, dia didatangi seorang wanita yang cuba
menggoda si lelaki itu. Akhirnya, lelaki itu tewas dan telah melakukan maksiat
bersama wanita tersebut selama tujuh hari.
Namun,
lelaki itu sedar akan kesilapan diri dan kemudiannya bertaubat
bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Malah si lelaki itu telah sanggup keluar
mengembara dengan harapan untuk melupakan kenangan dosa-dosa maksiat yang lalu
itu.
Akhirnya,
beliau tiba di sebuah rumah tumpangan yang dihuni oleh 12 orang miskin. Dia ingin
tumpang bermalam dan kebetulan, ada seorang kaya yang selalu menderma 12 keping
roti ke rumah itu setiap hari.
Pemberian
orang kaya itu sebenarnya tidak dikhaskan kepada 12 penghuni tetap di situ
tetapi diberikan kepada mana-mana insan yang berjaya mendapatkannya terlebih
dahulu.
Kedatangan
lelaki itu tadi telah menyebabkan salah seorang daripada 12 orang miskin itu
tadi tidak mendapat roti seperti hari-hari lain.
Lantas,
si lelaki tadi terdengar salah seorang daripada orang miskin itu menyuarakan ketidakpuasan
hatinya kerana tidak mendapat bahagian daripada pemberian orang kaya itu.
Oleh
kerana terasa dirinya bersalah kerana telah mengambil hak orang lain, maka
lelaki itu telah memberi roti yang di tangannya kepada si miskin tadi. Dek
kerana terlalu lapar, tidak lama selepas itu lelaki pengembara tadi meninggal
dunia.
Lalu
turunlah malaikat untuk menimbang amalannya bagi menentukan nasibnya di alam
yang kekal kelak. Allah SWT menyuruh malaikat menimbang antara amalan soleh
lelaki itu tadi selama 70 tahun dan maksiat yang dilakukannya selama tujuh
hari.
Malangnya,
amalan soleh 70 tahun lelaki itu lebih ringan berbanding dosa maksiat yang
dilakukan sesingkat tujuh hari.
Ini
menandakan lelaki itu bakal diazab, maka malaikat mencari-cari mana-mana amalan
lain yang dapat menyelamatkan lelaki tadi daripada diazab Allah SWT.
Lalu
tertulis di dalam kitab amalannya bahawa dia pernah bersedekah sekeping roti
kepada seorang miskin di saat dia juga di dalam kelaparan. Maka Allah menyuruh
malaikat menimbang ganjaran memberi roti kecil itu dengan dosa berbuat maksiat
selama tujuh hari oleh lelaki tersebut.
Subhanallah,
rupa-rupanya perbuatan yang dikira kecil iaitu memberi sekeping roti,
sebenarnya lebih besar ganjarannya hingga mampu menewaskan dosa maksiat selama
seminggu! Lalu lelaki itu tadi mendapat pengampunan daripada Allah SWT dan
beroleh syurga-Nya.
Jelaslah
di sini bukti kasih sayang Allah tanpa batasan kepada siapa sahaja yang
dikehendaki-Nya. Kalau direnung semula kisah ini, pengajarannya bahawa amalan
yang dilakukan demi kesenangan orang lain lebih besar ganjarannya berbanding
amalan yang tekun didirikan hanya untuk kesenangan diri sendiri.
Hakikatnya,
kasih sayang Allah cukup tinggi kepada kita, walaupun seorang hamba itu kembali
kepada-Nya dengan membawa dosa sebesar gunung sekalipun, selagi kita tidak
menyekutukan Allah SWT, ada ruangan pengampunan.
Ayuh!
berdoalah kepada-Nya dan luahkan kecintaan kepada-Nya kerana Dia iaitu Allah
SWT sentiasa menanti dan mendengar doa hamba-Nya.
Firman
Allah SWT:
" Aku mengabulkan permohonan
orang yang berdoa apabila
ia memohon
kepada-Ku......"
(al-Baqarah: 186)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130221/ba_04/Beratnya-sekeping-roti#ixzz2Lhr603Uq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan