Berkorban dan bersyukur
PENGORBANAN adalah kalimah mulia dan keramat bagi mana-mana budaya dan masyarakat. Namun erti sebenar sebuah pengorbanan tidak semudah mengungkapkannya atau menyeru orang lain berkorban.
Pengorbanan dalam konteks semasa menuntut kepada pemahaman yang menyeluruh dan melampaui tafsiran konvensional bagi merasai matlamat sebenar di sebalik saranan berkorban yang ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya). (al-Kauthar: 1-3).
Sekiranya difahami maksud ayat di atas, segala nikmat yang diterima sama ada kebaikan yang banyak atau segala bentuk kelebihan yang dimiliki sewajarnya dizahirkan kesyukuran ke atas nikmat dan kelebihan tersebut dengan bersembahyang dan menyembelih korban untuk-Nya.
Malah untuk cakupan makna yang lebih luas, pengorbanan untuk menegakkan agama Islam di atas muka bumi merupakan tugas utama umat Islam. Ini kerana kita diberi oleh Allah SWT nikmat agama Islam, nikmat kehidupan yang bersyariat dan juga petunjuk serta bimbingan Allah SWT.
Umum memahami dan mengaitkan pengorbanan dengan bulan Zulhijjah dan Hari Raya Aidiladha yang disambut saban tahun.
Ini kerana ibadah korban yang disyariatkan khusus pada bulan tersebut dan berlakunya peristiwa perhimpunan berjuta-juta tetamu Allah di Mekah bagi menzahirkan kehambaan kepada-Nya pada tanggal 10 Zulhijjah. Sekali gus menandakan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi seluruh umat Islam di dunia.
Pensyariatan ibadah korban bukan hanya sekadar melaksanakan aktiviti dan ritual keagamaan dengan penyembelihan binatang atau menunaikan haji di Mekah semata-mata. Namun maksud sebenar pensyariatan ibadah korban itu lebih luas.
Intisari dan pengajaran daripada kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail mengungkap seribu makna dalam memahami erti sebuah pengorbanan.
Dengan memahami intipati dan maksud yang sebenar di sebalik pensyariatan ibadah korban, ia mampu menjadi titik tolak kearah perubahan diri yang sempurna serta mampu mendorong manusia ke arah mempersiapkan diri dengan azam dan matlamat yang lebih jitu dalam mendepani kehidupan yang lebih mencabar.
Rumusan mudah yang diperolehi dari intipati maksud pengorbanan ialah bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan sedia berkorban demi kebaikan dan kebahagiaan bersama.
Semakin banyak nikmat yang diterima sepatutnya semakin banyak ungkapan kesyukuran meniti di bibir manusia.
Semakin kita bersyukur maka Allah SWT pasti akan menambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu:
"Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar, sesungguhnya azabKu amatlah keras". (Ibrahim: 7).
Di sini kepentingan antara kesyukuran dengan pengorbanan jelas kelihatan apabila Allah SWT menjanjikan tambahan nikmat sekiranya kita bersyukur. Sekiranya kita bersyukur dengan menterjemahkannya dalam bentuk pengorbanan. Semakin kita berkorban maka semakin banyak kenikmatan yang bakal kita perolehi.
Perjuangan menegakkan syariat Allah SWT juga merupakan pengorbanan terbesar kerana ia adalah usaha menjadikan seluruh manusia dan makhluk di muka bumi dapat merasai nikmat keadilan dan kesejahteraan ajaran agama Islam. Ia menjadi manifestasi kesyukuran kita kepada Allah SWT yang dicerminkan melalui pengorbanan.
Contoh terbaik bagi umat Islam dalam memahami erti sebenar pengorbanan, tidak lain adalah junjungan mulia Rasulullah SAW. Baginda sentiasa berkorban demi kesejahteraan umatnya walaupun diri baginda terpaksa menanggung derita.
Pengorbanan baginda yang suci dalam memastikan Islam tertegak di muka bumi melambangkan pengorbanan teragung seorang utusan Allah.
Baginda bukan sahaja sanggup berkorban berjuang di medan perang bagi mempertahankan Islam, malah dalam urusan kehidupan seharian baginda penuh dengan pengorbanan bagi memastikan umatnya mendapat manfaat yang terbaik.
Pengorbanan Nabi
Sekiranya umat Islam menelusuri serta menghayati perit jerih pengorbanan nabi, pastinya umat Islam akan mampu mengembalikan kegemilangan ketamadunan Islam yang pernah mengalami zaman keemasannya suatu ketika dahulu.
Kegemilangan yang dikecapi suatu ketika dahulu merupakan manifestasi pengorbanan yang diasaskan oleh baginda dan kemudiannya disambung oleh para sahabat, tabien dan ulama-ulama selepasnya yang akhirnya membuahkan natijah kecemerlangan kepada umat Islam.
Sekiranya ditekuni dengan mendalam, sentiasa bersyukur dan rela berkorban sebenarnya adalah formula utama kepada kebahagiaan umat sejagat yang sering tidak kita sedari.
Segala masalah yang berlaku di sekeliling kita berpunca daripada kegagalan kita untuk bersyukur serta hilangnya kesanggupan untuk mengorbankan sesuatu yang kita sayangi walaupun sedikit.
Begitu juga keadaannya dengan realiti yang berlaku dalam dunia kini. Pelbagai masalah yang berlaku seperti peperangan, penindasan, kemusnahan dan huru-hara adalah akibat daripada tiadanya sifat untuk memberi atau dalam erti kata lain untuk berkorban.
Apatah lagi rasa syukur dilihat seolah-olah tiada lagi dalam sanubari manusia kerana masing-masing saling berusaha memenuhi keinginan diri walaupun terpaksa mengambil hak orang lain tanpa izin. Perasaan syukur hilang dan diganti dengan perasaan haloba kepada keuntungan dunia semata-mata.
Manusia lebih suka menuntut haknya daripada menunaikan hak orang lain. Justeru, pelbagai masalah timbul kesan akibat kegagalan kita memahami matlamat dan hikmah di sebalik sebuah pengorbanan.
Jika manusia sentiasa bersyukur dan sedia berkorban, natijahnya pasti menghasilkan keadaan dunia yang lebih aman dan damai. Bayangkan dunia di mana setiap orang sentiasa bersyukur dan sanggup berkorban demi kebaikan orang lain. Pada masa yang sama, orang lain pula dengan hati terbuka berkorban untuk saudaranya. Pastinya keamanan dan keharmonian akan mereka nikmati bersama.
Realiti manusia
Bagaimanapun, realitinya manusia sering alpa dengan nikmat dunia serta mementingkan diri sendiri. Manusia menjadi tamak haloba dan rakus dengan runtunan hawa nafsunya.
Masalah sosial yang menghimpit umat Islam akan selesai jika setiap anggota masyarakat menghayati makna pengorbanan dan kesyukuran dengan erti yang sebenarnya.
Ibu bapa dan keluarga sanggup berkorban mengawasi dan mengambil tahu keadaan anak-anak mereka. Masyarakat berkorban untuk bersama-sama mencegah kemungkaran dan mewujudkan keharmonian dalam masyarakat dan para pemimpin negara sanggup berkorban bagi memastikan keamanan dan kedaulatan dalam negara sentiasa terpelihara.
Suatu kerugian yang amat besar jika saban tahun menjelang bulan Zulhijjah kita memperkatakan persoalan pengorbanan secara tersurat namun gagal memahami maksud sebenar di sebaliknya.
Justeru, seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa, keturunan dan warna kulit diseru untuk memahami dan menghayati sedalam-dalamnya erti sebuah pengorbanan agar kesan yang diperoleh menyeluruh.
Hikmah pengorbanan bukan hanya untuk dihayati oleh orang Islam sahaja malah sesuai dan relevan kepada seluruh umat manusia.
Jangan hanya demi kepentingan sendiri kita sanggup menuntut hak kita dan menafikan hak orang lain. Pasti orang lain sudah banyak berkorban untuk kita dan kita harus bersyukur dengan berterima kasih dan sedia berkorban untuk orang lain pula.
Semangat dan penghayatan yang mendalam tentang erti kesyukuran dan pengorbanan akan merintis ke arah suasana dan keadaan yang lebih aman dan harmoni.
Marilah kita bersama-sama membuka lembaran baru sempena Bulan Pengorbanan yang bakal menjelang dengan bersyukur atas segala nikmat yang dikecapi, serta menanam azam baru yang didasari semangat dan kesediaan kita untuk berkorban demi kepentingan bersama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan