Balasan baik tuntut pengorbanan
Oleh Ashraf Muslim
bhnews@bharian.com.my
2011/10/31
Reda, ikhlas hadapi masalah bantu kehidupan positif
KESEDIAAN Nabi Ismail merelakan dirinya disembelih bapa tersayang, Nabi Ibrahim, kerana memenuhi suruhan Allah menimbulkan persoalan sejauh mana kita bersedia mengorbankan sesuatu yang kita sayang, tambahan dalam dunia material kini.
Namun, fakta sejarah yang terus diingatkan setiap kali menjelang Aidiladha itu sebenarnya memberi seribu satu makna kepada sesiapa berdepan situasi terpaksa melepaskan apa yang disukai biar dengan apa niat atau matlamatnya
Apa yang jelas, jika pengorbanan itu dilakukan secara ikhlas, dengan izin Allah, ganjaran menanti lebih baik dan selalunya kita tidak menyangka habuan diterima kerana nikmatnya memang tidak terduga.
Seperti Nabi Ismail sendiri, kerana reda dengan ketentuan ditetapkan Allah, akhirnya baginda ditukarkan dengan seekor qibas tetapi semangat korban ditunjukkan terus menjadi ikutan hingga ke hari ini di mana ramai antara kita rela berkorban apa saja kerana agama, bangsa serta negara.
Begitu juga dengan perjalanan haji jutaan umat Islam seluruh dunia yang kini berkumpul di Tanah Suci meninggalkan negara, ahli keluarga serta kerjaya demi mendekatkan diri kepada Allah dan mencari keredaan-Nya. Apa saja dilakukan semata-mata memastikan jemputan menjadi tetamu Allah tidak sia-sia. Semoga mereka mendapat haji mabrur.
Bagaimanapun, apa yang mendukacitakan, persepsi pengorbanan tidak dikembangkan sebaiknya. Sesiapa saja boleh mendermakan wang tetapi tidak ramai bersedia mengorbankan masa, tenaga apatah lagi bersedekah senyuman walaupun itulah sedekah paling mudah dilakukan.
Jika kita bersedia mengorbankan masa, pasti tidak banyak laporan mendedahkan kepincangan masyarakat di dada media massa. Anak membiarkan ibu bapa keseorangan. Kesibukan memenuhi perkara lain menyebabkan kita lupa mengorbankan sedikit masa menjenguk ibu bapa.
Berapa ramai bersedia mengorbankan tenaga mengikuti aktiviti kejiranan, kerja amal serta kemasyarakatan seperti bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan atau membantu jiran mengadakan kenduri kendara. Semua ini nampak mudah tetapi sebenarnya sukar dilakukan.
Kita hanya akan tersenyum kepada orang yang kita suka dan kenal, sedangkan tidak rugi memberikan senyuman kepada semua makhluk Allah di dunia ini. Selalunya mereka yang murah senyuman mempunyai ramai kawan kerana sikapnya disenangi. Ramai kawan adalah ganjaran daripada sikap suka tersenyum. Nampak tidak penting tetapi kawan boleh menjadi penyebab kepada hidup yang gembira.
Sebenarnya hidup akan lebih mudah jika kita melihat sesuatu secara positif.
Jangan terlalu mengharapkan orang melakukan sesuatu untuk kita kerana tidak salah, malah lebih baik jika kita yang memulakan perkara memberi kebaikan bukan saja pada diri sendiri juga orang lain.
Saya sendiri melalui pengalaman menakjubkan. Hakikatnya, bukan sebesar mana pengorbanan yang dilakukan tetapi Alhamdulillah, balasan diterima mengingatkan saya supaya tidak jemu untuk memberi. Bukan bermakna semua dilakukan mengharapkan ganjaran tetapi Allah Maha Pemurah kepada hamba-Nya.
Masa diluangkan membantu masyarakat diberi kelebihan pada perkara lain.
Syaratnya kita perlu yakin setiap perkara baik akan dibalas baik dan yang penting ia dilakukan dengan niat ikhlas kerana Allah.
Balasan diterima tidak semestinya ketika hayat kerana mungkin ganjaran menanti di akhirat atau yang mendapat manfaat adalah anak cucu kita nanti.
Sempena Aidiladha yang bakal dirayakan Ahad ini, marilah bersama kita hulurkan tangan membantu golongan memerlukan mengikut kemampuan kita. Bagi yang ada rezeki lebih boleh menyembelih haiwan ternakan untuk disedekahkan, bagi yang tidak berkemampuan pula boleh berganding bahu membantu melapah daging untuk diagihkan.
Kita semua boleh memainkan peranan masing-masing mengikut kadar kemampuan. Semoga pengorbanan tulus ikhlas itu diterima Allah. Selamat meraikan Hari Raya Korban.
(Ayat merawat demam atau selesema (menguatkan antibodi lemah), bacalah Surah Al-Anfal, ayat 36-50 dan Surah An-Nahl, ayat 51-64. Amalkan tiga kali sehari atau lebih dan berdoa kepada Allah semoga diberi penyembuhan).
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Balasanbaiktuntutpengorbanan/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan