Bahagia belum tentu tersimpan di istana yang megah. Bahagia pada sepasang kekasih tentu ada pasang surutnya. Di manakah bahagia? Pada keluasan ilmu, rezeki dan pangkat, atau duduk bercengkerama dengan isteri dan anak-anak? Ternyata itu semua boleh juga menggoncang perasaan, memerah otak jadi lemah, badan kering dan layu, sakit di hati yang susah mengubatinya.
Pakar motivasi menyatakan: "Anda adalah apa yang anda fikirkan mengenai diri anda". Manakala hadis Rasulullah SAW memberi petua lagi bernas, sabdanya: "Sungguh hebat keadaan orang mukmin, mereka sentiasa berkeadaan baik. Tidak terjadi yang demikian itu kecuali pada diri orang mukmin. Jika ia mendapat kesenangan ia bersyukur, hal ini adalah kebaikan. Dan jika ia ditimpa kesusahan ia bersabar, itu juga adalah kebaikan." (Hadis riwayat Imam Muslim).
Semua baik, baik dan baik. Apa yang Allah pilih untuk kita adalah baik. Bila sakit ubatnya adalah senyum dan reda. Diuji dengan kekurangan harta tidak menjadi masalah bagi orang yang percaya bahawa bukankah selama ini Allah memberi lebih banyak daripada mengambil? Ibnu Mas'ud apabila ditanya: "Apakah engkau bersedih kerana kehilangan sebelah kakimu?" Beliau menjawab: "Bukankah Allah telah meninggalkan untukku yang sebelah lagi?"
Orang banyak mengatakan: "Bahagia itu adalah kepuasan hati." Tapi pernahkah kita berfikir bahawa manusia tidak akan pernah puas? Selagi mana ia berada di dunia ia pasti berhadapan dengan kekurangan. Kurang popular, kurang kaya, kurang cantik, kurang sihat dan pelbagai tuntutan nafsunya yang tidak akan pernah rasa dengan sempurna. Selami dasar hati anda, percayalah bahawa sesungguhnya bahagia itu ada pada sifat redha.
Ia bagaikan ubat yang menyejukkan orang yang demam. Seperti rimbunan pohon di tengah panas yang terik, umpama hembusan angin yang sepoi-sepoi bahasa memujuk hati yang luka. Sesungguhnya apa-apa yang datang kepada kita adalah baik belaka kerana Allah SWT lebih mengetahui apa yang 'sesuai' untuk kita. Dia yang memilih, yang Maha sempurna aturan-Nya, yang suci dari cacat cela atas segala pentadbiran-Nya.
Sebagai manusia biasa ada kalanya kita ‘tidak terima’ dengan apa yang terjadi pada diri. Tapi biarlah perasaan itu dikawal pada paras hanya ‘terkejut’ di puncaknya, kemudian surut dengan perasaan redha atas ketentuan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Allah pun redha ke atas diri mereka dan mereka pun redha dengan pemberian-Nya." (Surah al-Bayyinah, ayat 8)
Ada dua rahsia yang terkandung dalam kalimah Allah itu, iaitu pertama adalah ayat ini cuba memujuk kita bahawa apa-apa yang datang kepada kita semuanya adalah hadiah pemberian Allah. Ujian itu sebenarnya hadiah yang paling mahal tetapi kadang-kadang manusia menganggap cuma nikmat yang paling berharga.
Kedua, wujudnya hubungan kasih sayang antara Allah dan hamba-Nya. Sayang akan melahirkan redha ke atas apa saja yang dilakukan oleh orang yang kita sayang. Kerana sayang, masakan isteri yang kurang garam terasa sedap juga. Kekasih yang menduga dan menyakiti hati kita terpaksa kita redha sebab sayang.
Tetapi mengapa pula kita merajuk jika Allah menguji kesetiaan cinta kita. Jika sakit mengeluh panjang, lupa dengan hari ketika ia sihat. Kalau rugi semua orang diamuk, di pejabat, di pasar, di rumah, di jalan raya semua terkena tempias kemarahannya. Rugi yang sedikit itu telah menutup kurniaan Allah yang banyak pada rezekinya selama ini. Betapa sengsaranya orang yang tiada sifat redha.
Hidup tidak tenang, dikejar rasa takut, hati rasa kosong padahal peti besinya penuh dengan duit. Segala hiburan dan perhiasan dunia memang boleh mendatangkan bahagia tapi bukan bahagia yang 'diam' dalam hati, ia cuma menempel sebentar di dinding hati kemudian lenyap begitu cepat. Carilah bahagia yang hakiki di atas jalan yang telah dibentangkan oleh kekasih Allah, Muhammad SAW. Bahagia itu adalah redha. Cukup senang formulanya tetapi susah dilakukan kecuali oleh orang yang bijak mengawal perasaan lagi beriman.
Tanda redha ada tiga. Pertama adalah kata yang baik ketika menerima ujian Allah. Innalillahi wainna ilaihi rajiun (Kami adalah milik Allah dan kepada Allah kami akan dikembalikan). Bukan sumpah seranah dan maki hamun rasa tak puas hati.
Kedua, ketika susah ingatlah dengan nikmat Allah yang banyak. Di situ anda akan berasa beruntung dengan apa yang ada pada diri.
Ketiga, ikhtiar jangan berhenti. Redha bukan bermakna menerima tanpa usaha. Itu adalah putus asa dan pesimis namanya. Tapi redha adalah semangat yang membangkitkan hati yang sedih, yang menajamkan akal fikiran, menguatkan hentakan kaki dan membuahkan idea yang bernas untuk berjaya. Jadilah orang yang bahagia dengan kekuatan yang tersimpan dalam mustika yang bernama redha kepada Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan