:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Rabu, 13 Januari 2010

KONFLIK ANTARA ANAK DAN IBU BAPA





Oleh: Rahimah Abdul Latiff


Selepas kembali dari tandas, cikgu Fida mendapati tangan Mira berbalut dengan tuala dan kedengaran pelajar-pelajar lain berbisik antara satu sama lain. Cikgu Fida mensyaki sesuatu lantas memanggil Mira dan terperasan ada darah pada tuala yang membalut tangan Mira lantas terus bertanya, “ Kenapa dengan tangan kamu tu?” Wajah Mira yang pucat lesi itu tidak menjawab tetapi hanya menggelengkan kepala sebagai isyarat tiada apa-apa yang telah berlaku. Sebagai seorang guru disiplin, cikgu Fida tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut lantas bersuara lagi dengan lebih tegas. “ Mira, jumpa saya selepas kelas nanti.” Kringg......, bunyi loceng menandakan telah berakhirnya kelas Fizik bagi pelajar 4 Beta.

Setelah semua pelajar beredar, cikgu Fida mengajak Mira duduk bersebelahannya di meja makmal. ”Mira, cuba kamu ceritakan dengan cikgu apa sebenarnya yang telah berlaku?” Mira tunduk tidak menjawab. Cuma air matanya sahaja yang bercucuran sehingga basah tudung putih yang dipakainya. Cikgu Fida cuba memujuk. “Kalau Mira tak cerita dengan cikgu, macamana cikgu nak tolong Mira? Dalam keadaan tersedu sedan itu Mira menjawab, ”Pagi tadi saya kelar tangan saya cikgu.” Cikgu Fida melayan dengan penuh perhatian. ”Cikgu rasa Mira tak akan buat sesuatu tanpa sebab kan?” Mira bersuara lagi.

Kali ini kedengaran suaranya lebih tenang. “Malam tadi saya bertengkar dengan mak sebab saya tak buat kerja yang mak suruh. Habis semua barang-barang peribadi saya mak pecahkan dan humban dalam tong sampah. Saya rasa tertekan dan ambil keputusan untuk potong urat nadi saya. Buat apa saya hidup kalau tiada yang sayang pada saya.” Cikgu Fida agak terkejut setelah mendengar penjelasan Mira. Sambil beristigfar cikgu Fida memeluk erat Mira dengan perasaan penuh keibuannya. Tangisan Mira makin menjadi-jadi.

Mungkin kerana terasa kini ada orang yang mengerti akan perasaannya. Memang benar kata Mira, ada banyak kesan calar pada pergelangan tangannya dan luka yang terbaru kelihatan agak dalam dan mungkin itu yang mengakibatkan banyak darah mengalir keluar. Benar kata pepatah, berat mata cikgu Fida memandang dan cuba mendalami masalah Mira, berat lagi bahu anak gadis remaja itu menanggung masalahnya yang tiada penghujung. Kisah yang dipaparkan sering kita dengar dan mungkin ianya pernah berlaku di dalam rumah kita sendiri.

Remaja sering mengalami konflik dengan ibu bapa kerana merasa diri mereka tidak dilayan dengan adil, kesunyian dan sering tidak difahami perasaannya. Ibu bapa sering dianggap sebagai tidak sporting, tidak memahami, suka menghukum, menghalang keseronokan anak-anak atau seribu satu macam lagi tuduhan oleh anak-anak akibat pertembungan yang berlaku antara generasi ibu bapa dan generasi anak-anak. Akibatnya anak-anak akan menganggap dendaan sebagai akibat dari suatu kebencian, bukan pengajaran sedangkan ibu bapa menganggap dendaan tanda kasih sayang dan keprihatinan mereka kepada anak-anak.

Apakah ini antara punca mengapa sesebuah keluarga itu tidak bahagia, sentiasa berdepan dengan konflik yang tiada kesudahan dan dendam seumur hidup ? Kadang-kadang ibu bapa menganggap anak-anak mesti dihukum dan dimarahi supaya mereka akan berperangai baik dan seterusnya akan mencapai kejayaan.


Persoalannya, adakah ia benar? Sebagai seorang dewasa sukakah kita dimarahi tanpa sebab atau dimarahi disebabkan oleh satu kesilapan kecil? Kalau kita tak suka, apakah yang boleh membuatkan kita begitu yakin bahawa anak-anak kita boleh menerimanya? Adakah perlakuan sedemikian disebabkan ego kita bahawa kita adalah ibu atau bapa dan mereka hanyalah seorang anak ?

Apapun yang kita perlakukan terhadap anak-anak pastinya mempunyai kesan tersendiri pada anak-anak sama ada positif ataupun negatif. Anak yang sering dimarahi dan dipukul berlebihan akan menyimpan bibit-bibit dendam dalam diri yang akhirnya akan menjadi luka yang sukar untuk disembuhkan. Lantaran menyimpan dendam yang membara, hari demi hari mungkin boleh menyebabkan diri sentiasa dirundung masalah dan boleh mengakibatkan tekanan.

Apakah kita sebagai ibu bapa telah memahami dengan sebenar-benarnya hak dan tanggung jawab kita terhadap anak-anak? Apakah kita boleh memperlakukan anak-anak sesuka hati atau menjadikan mereka tempat untuk melepaskan geram? Anak-anak adalah individu-individu yang dilahirkan bersama perasaan, maruah dan harga diri. Mereka ingin dihargai, disayangi, dibelai oleh ibu bapa yang menjadi penyebab mereka lahir ke dunia.

Sama ada sedar atau tidak, dalam bab menghukum dan memarahi anak, ibu bapa sering bertindak di luar batasan tanpa menyedari bahawa menzalimi anak-anak hukumnya berdosa dan boleh dianggap mendera. Terdapat juga ibu bapa yang tidak boleh menerima sebarang alasan yang diberi oleh anak-anak dan tidak bersikap pemaaf. Apabila terlalu menghukum, emosi ibu bapa dan anak-anak terutamanya akan tercalar dan sukar untuk disembuhkan.

Islam yang syumul telah meletakkan garis panduan dalam memberi hukuman kepada anak-anak untuk memperbetulkan mereka. Dalam bab sembahyang contohnya, anak-anak yang telah memasuki usia 10 tahun hendaklah diingatkan untuk menunaikan sembahyang. Jika anak itu gagal melaksanakannya, dia boleh dirotan dengan syarat telah diberi penjelasan mengenai kesalahannya.


Ketika hukuman rotan dijalankan, tidak boleh berlakunya kecederaan terutamanya pada bahagian yang sensitif. Jika anak-anak tidak faham mengapa mereka dirotan atau dihukum, perkara yang sedemikian boleh mendatangkan masalah di kemudian hari dari segi pembentukan sikap anak-anak terhadap orang lain. Ibu bapa perlu sentiasa berhati-hati dan tidak menggunakan alasan untuk mendisiplinkan anak sebagai ruang untuk mereka melepaskan geram tanpa mengambil kira harga diri dan perasaan anak-anak.

Kerap kali juga berlaku ibu bapa tidak dapat mengawal perasaan ketika marah dan menyebabkan hukuman yang diberikan bersifat keterlaluan dan boleh mengundang kecederaan fizikal atau emosi kepada anak-anak tanpa disedari. Jika terlalu marah, ibu bapa disarankan meredakan dulu kemarahan tersebut supaya tidak beremosi ketika menghukum anak.

Firman Allah dalam sebuah hadis Qudsi:

”Wahai anak-anak Adam, apabila kamu marah, ingatlah kepadaKu.”

Disarankan juga jika berasa marah ketika sedang berdiri, maka hendaklah duduk, jika sedang duduk maka hendaklah berbaring.

Dalam hal menguruskan keluarga dan melayani kerenah anak-anak, para ibu bapa harus pandai menguruskan emosi masing-masing. Salah satu nikmat yang diberikan Allah yang sering kita lupakan ialah kemahiran untuk mendengar.

Allah mengurniakan kedua-dua telinga dikiri dan kanan sebagai alat pengimbang untuk kita menilai buruk baiknya sesuatu perkara sebelum mengambil tindakan. Oleh kerana seorang pemimpin yang baik adalah juga seorang pendengar yang baik, maka ibu bapa perlu menjadi pendengar yang baik sebelum anak-anak diminta berbuat demikian. Manusia tidak kira siapapun dia, memerlukan perhatian dan mendengar dengan aktif dapat menyumbang kepada emosi yang stabil dan akhirnya kemahiran mendengar akan menjadi kebiasaan dalam kehidupan berkeluarga.


Kebiasaan bagi ibu bapa akan menghamburkan kata-kata kesat berbaur prasangka buruk ketika marahkan anak-anak tanpa fikirkan akibatnya terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang menggunakan sepak terajang ataupun perbuatan-perbuatan lain yang berbentuk keganasan umpamanya memecahkan barang-barang yang ada dalam rumah untuk melepaskan kemarahan. Alangkah baiknya kalau ibu bapa dapat berfikir sejenak dan mengambil langkah memujuk terlebih dahulu untuk menyelesaikan konflik dengan anak-anak. Gunakanlah kepakaran memujuk seperti pernyataan dan perlakuan emosi, lenggok bahasa yang sesuai dan kaedah-kaedah lain yang mungkin lebih berkesan untuk mengurangkan ketegangan antara ibu bapa dan anak. Kebolehan ibu bapa memujuk dan mengajak anak berbual dapat meleraikan kekusutan kerana masing-masing dapat meluahkan isi hati tanpa paksaan. Melalui kaedah diplomasi dan juga komunikasi berkesan sebegini memungkinkan kasih sayang terjalin kembali.

Sering juga terjadi apabila pergeseran berlaku di antara ibu dan anak perempuan, maka si ayah akan menjadi orang ketiga yang mungkin boleh menjadi pemudahcara dalam konflik tersebut atau mungkin juga boleh berlaku sebaliknya. Dalam hal ini, si ayah perlu memainkan peranannya dengan bijak untuk memperbaiki suasana dalam keluarga.

Keadaan akan bertambah rumit apabila ibu, bapa dan anak mempunyai personaliti berbeza-beza dan pasangan itu sendiri mempunyai konflik yang sukar dileraikan. Akibatnya masalah yang mulanya kecil akan menjadi lebih besar akibat pertembungan konflik antara anak dengan ibu dan antara suami dengan isteri.Si ibu dan si ayah masing-masing akan cuba mendapatkan perhatian daripada si anak tanpa mengkaji adakah tindakan atau perlakuan anak tadi betul atau salah.


Bagi menghadapi konflik keluarga terutamanya antara ibu bapa dan anak, punca kepada konflik berkenaan harus dikaji dan diteliti supaya strategi yang diguna pakai dapat mengurangkan konflik tersebut. Memilih strategi yang bersesuaian dengan mengambil kira siapa, apa, di mana dan kenapa dapat merapatkan jurang di antara punca konflik dan kaedah penyelesaian. Mengelak konflik bererti konflik tidak selesai dan akan muncul kembali. Bergaduh kerana konflik akan membawa kepada perbincangan dalam keadaan tegang dan tertekan yang menghalang daripada diselesaikan dan membina kesan negatif seperti marah dan membalas dendam yang memusnahkan hubungan.

Manakala bekerjasama dengan konflik akan membina kemurnian idea, emosi yang positif dan bersedia mencari penyelesaian. Emosi positif ini akan memimpin hubungan yang lebih erat di kalangan ahli terlibat. Ia juga membina keinginan untuk berkongsi masalah seterusnya mewujudkan suasana tolak ansur dalam membuat keputusan. Pihak-pihak yang terlibat dalam konflik harus membuang jauh-jauh keegoan masing-masing agar yang keruh dapat dijernihkan, yang kusut dapat dileraikan kembali.

Konflik tidak seharusnya difikirkan sentiasa akan membawa malapetaka dan bencana sebaliknya konflik boleh membawa manfaat. Ibu bapa yang bijak akan dapat menangani masalah anak-anak ke arah membina insan yang insaf, berhati cekal, cemerlang dan mampu menjalani kehidupan yang bermakna dalam dunia global. Jika dilihat dari aspek positif, konflik boleh membantu kita untuk mengenali diri dan keupayaan sebenar diri sendiri serta mempertingkatkan daya tahan terhadap cabaran yang datang dari orang sekeliling. Setiap dari kita tidak kira siapa atau apapun status kita dalam keluarga perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bahawa konflik sentiasa berlaku tetapi kemahiran menguruskan konflik itu adalah jauh lebih penting .

Penulis adalah Ketua Wanita JIM Melaka.

1 ulasan:

nasier kassim berkata...

salam..artikel yg panjang..tapi sgt baik utk info semua..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...