Menaja haji dengan
wang zakat
SAYA mempunyai saudara-mara yang
miskin dan merasa kasihan kerana
mereka amat teringin naik haji.
Soalan saya, adakah boleh saya
menggunakan wang zakat saya yang
berjumlah kira-kira RM10,000 setahun
untuk menaja mereka pergi menunaikan
haji, dari seorang ke seorang setiap tahun?
Harap sangat penjelasan daripada
pihak ustaz.
Jawapan:
Alhamdulillah, musim haji tiba lagi,
mudah-mudahan mereka yang terpilih
untuk bertamu sebagai pengunjung
ke Baitullah dan menjadi dhuyufur rahman
mendapat anugerah haji
yang mabrur, Amin.
Dalam pada itu juga, memang timbul
persoalan seperti ini dalam kalangan
masyarakat awam. Tahniah juga
kerana mempunyai kesedaran untuk
menaja orang-orang yang kurang
berkemampuan menunaikan
haji ke Mekah.
Demi menjawab soalan ini, kita
sepatutnya terlebih dahulu mengetahui
apakah syarat-syarat wajib haji yang
telah ditetapkan oleh Islam.
Seseorang yang tidak mempunyai
cukup syarat bagi menunaikan haji,
maka di sisi Allah SWT mereka
tidak dikira berdosa jika tidak
dapat ke Mekah
menunaikan haji.
Adapun syarat menunaikan
haji ada lima, iaitu Islam, Baligh,
Berakal, Merdeka dan Mampu (istita'ah).
Apa yang perlu difahami, kewajipan haji
ini tertakluk atas kemampuan individu
berkenaan, yang mana antara kemampuan
itu ialah, mampu menyediakan perbelanjaan
yang cukup untuk menyempurnakan haji
dan juga biaya mereka yang
ditinggalkan di tanah air.
Allah SWT tidak murka kepada
orang yang tidak berkemampuan,
seperti mana firman-Nya yang bermaksud:
" Dan menjadi kewajipanlah bagi
manusia terhadap Allah untuk
mengunjungi rumah itu (Baitullah)
bagi yang sanggup (mampu)
berjalan di antara mereka."
(Ali Imran: 97)
Maka, secara umumnya jika
orang Islam yang sudah sememangnya
miskin, maka mereka tidak berdosa
jika tidak dapat menunaikan haji.
Melainkan jika mereka mampu,
misalnya ada harta beku seperti
tanah yang banyak, maka wajiblah
mereka mencairkan harta berkenaan
untuk menjadikan mereka mampu
daripada aspek kewangan
untuk ke sana.
Dalam hal ini, saudara menyatakan
bahawa individu berkenaan adalah
orang miskin, maka tidak berdosa
dia tidak menunaikan haji.
Namun, bolehkah kita
menyalurkan wang zakat kepadanya
untuk ke Mekah?
Suka saya paparkan perbincangan
fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab
Ensiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2,
susunan Dr. Abdul Karim Zaidan,
ada dinyatakan bahawa terdapat
ulama yang membolehkan orang-orang
yang mahu menunaikan haji, diberikan
wang zakat atas nama fisabilillah
agar mereka dapat menunaikan
hajat berkenaan.
Dinyatakan oleh Imam Ahmad
seperti berikut:
"Ibadah haji merupakan
bahagian daripada
perjuangan fisabilillah, sehingga
orang fakir dapat diberi
bahagian zakat ini untuk
melaksanakan ibadah haji,
sebagaimana orang-orang yang
kehabisan bekal dalam menunaikan
haji dapat diberikan bantuan untuk
menyempurnakan ibadah haji
yang dilakukannya.'
(rujuk hal. 147)
Walau bagaimanapun,
pandangan ini tidak bersifat
muafakat dalam kalangan fuqaha,
kerana ramai yang menyanggahinya,
bahkan menurut Ibnu Qudamah,
Imam Ahmad juga pernah mengeluarkan
pendapat bahawa zakat atas nama
fisabilillah tidak boleh diberikan
kepada orang yang mahu
menunaikan haji.
Janganlah kita terkejut
jika ulama yang sama mengeluarkan
pandangan kedua yang berbeza
dengan pendapat awal, kerana
adakalanya wujud keperluan dan
rasional yang melahirkan pendapat kedua
berkenaan dan ia selalunya lebih
menepati keperluan.
Imam Syafie sendiri pernah
menyatakan kadar zakat
harta ma'din (galian) adalah 2.5 peratus
dan kemudian pendapat keduanya
adalah 20 peratus, dan penulis
melihat pandangan kedua ini
lebih sejalan dengan fuqaha yang
lain serta lebih
kuat dalilnya.
Bahkan Ibnu Qudamah turut
memperkuatkan pandangan berkenaan,
atas alasan ia disepakati oleh
fuqaha lain misalnya Imam Syafie,
Malik, Abu Hanifah, at-Tswari
dan lain-lain. Mereka selanjutnya
menyatakan, bahawa pendapat
yang paling tepat mengenai tujuan
fisabilillah, adalah merujuk
semata-mata bagi tujuan peperangan
menegakkan Islam.
Nota:
Jawapan disediakan oleh
Ustaz Hamizul Abdul Hamid,
Eksekutif Komunikasi Korporat,
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)
dan sebarang kemusykilan zakat
sila emailkan kepada
hamizul@e-zakat.com.my
atau layari
www.e-zakat.com.my
atau
http://blog.e-zakat.com.my/.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan