Pada suatu hari Uqa'il bin Abi Thalib r.a. telah pergi bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Pada waktu itu Uqa'il telah melihat peristiwa ajaib yang menjadikan hatinya tetap bertambah kuat di dalam Islam dengan sebab tiga peristiwa.
Peristiwa pertama adalah, bahawa Rasulullah SAW akan mendatangi hajat yakni membuang air besar dan di hadapannya terdapat beberapa batang pohon. Maka Baginda SAW berkata kepada Uqa'il: "Hai Uqa'il, teruslah engkau berjalan sampai ke pohon itu, dan katalah kepadanya, bahawa sesungguhnya Rasulullah berkata: Agar kamu semua datang kepadanya untuk menjadi aling-aling atau penutup baginya, kerana sesungguhnya baginda akan mengambil air wuduk dan buang air besar." Lalu Uqa'il pun keluar dan pergi mendapatkan pohon-pohon itu dan sebelum dia menyelesaikan tugas itu ternyata pohon-pohon sudah tumbang dari akarnya serta sudah mengelilingi di sekitar Baginda SAW. Maka Uqa'il kembali ke tempat pohon-pohon itu.
Peristiwa kedua adalah, bahawa Uqa'il berasa haus dan setelah mencari air ke mana pun jua namun tidak ditemui. Maka Baginda SAW berkata kepada Uqa'il bin Abi Thalib: "Hai Uqa'il, dakilah gunung itu, dan sampaikanlah salamku kepadanya serta katakan: "Jika padamu ada air, berilah aku minum!" Lalu Uqa'il lalu pergilah mendaki gunung itu dan berkata kepadanya sebagaimana yang telah disabdakan Baginda SAW itu. Maka sebelum ia selesai berkata, gunung itu berkata dengan fasihnya: "Katakanlah kepada Rasulullah, bahawa aku sejak Allah SWT menurunkan ayat yang bermaksud : ("Hai orang-orang yang beriman, jagalah dirimu beserta keluargamu dari (seksa) api neraka yang umpannya dari manusia dan batu)." "Aku menangis dari sebab takut kalau aku menjadi batu itu maka tidak ada lagi air padaku."
Peristiwa yang ketiga ialah, bahawa ketika Uqa'il sedang berjalan dengan Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seekor unta yang meloncat dan lari ke hadapan Baginda, maka unta itu lalu berkata: "Ya Rasulullah. Aku minta perlindungan darimu." Unta itu masih belum selesai mengadukan halnya, tiba-tiba datanglah dari belakang seorang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus. Melihat orang Arab kampung dengan membawa pedang terhunus, Rasulullah SAW berkata: "Hendak apakah kamu terhadap unta itu?" Jawab orang kampung itu: "Wahai Rasulullah. Aku telah membelinya dengan harta yang mahal, tetapi dia tidak mahu taat atau tidak mahu jinak, maka akan kupotong saja dan akan kumanfaatkan dagingnya (kuberikan kepada orang-orang yang memerlukan)." Rasulullah SAW bertanya: "Mengapa engkau menderhakai dia?" Jawab unta itu: "Wahai Rasulullah, sungguh aku tidak menderhakainya dari satu pekerjaan, akan tetapi aku menderhakainya dari sebab perbuatannya yang buruk. Kerana kabilah yang dia termasuk di dalam golongannya, sama tidur meninggalkan solat Isya'. Kalau sekiranya dia mahu berjanji kepada engkau akan mengerjakan solat Isya' itu, maka aku berjanji tidak akan menderhakainya lagi. Sebab aku takut kalau Allah menurunkan seksaNya kepada mereka sedang aku berada di antara mereka." Akhirnya Nabi Muhammad SAW mengambil perjanjian orang Arab kampung itu, bahawa dia tidak akan meninggalkan solat Isya'. Dan Nabi Muhammad SAW kemudiannya menyerahkan unta itu kepadanya. Dan dia pun kembali kepada keluarganya.
Wallahua'lam.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan