:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Jumaat, 5 Februari 2010

Atasi Baran Dengan Bacaan Ruqyah



Soalan:

SAYA mempunyai suami yang panas baran. Dulu tidaklah sebaran ini, ia masih boleh dikawal. Sekarang tak boleh tanya atau tegur sikit pasti dia melenting. Kalau bergaduh dia suka keluar malam dan balik pukul 2-3 pagi. Saya cuba berlembut dengan mengikut rentak dia tapi saya rasa tertekan. Beban keluarga diletakkan di atas bahu saya. Anak sakit, perbelanjaan anak-anak, duit dapur hampir semua saya yang urus.


Perasaan syak kuat menguasai saya. Mana tidaknya dia pernah ada perempuan lain. Banyak kali perkara ini terjadi tapi saya maafkan dia kerana fikirkan anak-anak. Saya cuba berbincang tapi semua usaha saya berakhir dengan pergaduhan. Sikapnya itu membuatkan saya tawar hati dengannya. Namun saya masih sayangkan dia dan pernah ajak dia dapatkan kaunseling tapi saya dimarahi.


Kadang-kadang hendak rasanya berpisah dengan dia tapi memikirkan anak-anak, saya batalkan niat itu. Hingga sekarang saya cuma mampu bersabar dan berdoa supaya dia lembut hati dan menjadi suami yang penyayang serta prihatin kepada keluarga. Apa yang merisaukan saya, kadang-kadang marah saya agak keterlaluan dan menyimpan perasaan dendam terhadapnya. Rasa bersalah memang ada tapi bila bergaduh semua itu saya tolak tepi. Apa yang perlu saya lakukan?


Jawapan:


Saya turut bersimpati di atas apa yang terpaksa puan tempuhi. Namun, begitulah pahit maung ujian kehidupan, bukan hanya puan seorang malah setiap insan yang dilahirkan di bumi ini pasti ada suratan ujian masing-masing yang tidak dapat dielakkan seperti firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2: Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup - untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun. (67:02)


Walau bagaimanapun, Allah SWT telah memaklumkan kepada kita mengenai hal ini seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 155: Bahawasanya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut serta kelaparan, dan menghadapi masalah kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan berkurangannya hasil tanaman serta buah-buahan. Maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.


Allah SWT kemudiannya 'mendidik' kita tentang apa yang perlu dilakukan apabila ujian kehidupan mengundang dalam ayat seterusnya (2:156): (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka lantas berkata: "Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.


Jadi, perbanyakkanlah lagi sabar sambil berzikir ayat ini: "Inna lillahi wa inna ilayhi raaji'un". Allah SWT telah menjanjikan orang-orang yang membuat amalan ini dengan tiga perkara: 1. Doa (kurniaan), 2. Rahmat dan 3. Hidayah daripada-Nya di dalam ayat seterusnya (2:157): Mereka itulah orang-orang yang akan dilimpahi dengan berbagai-bagai kurniaan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang sentiasa mendapat petunjuk hidayah-Nya.


Bagi mengatasi masalah baran suami puan, cubalah membaca ruqyah (sejenis doa atau 'jampi' syar'ie) dengan ayat 69 dalam Surah al-Anbiyaa' ini semasa barannya muncul: Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (21:69)). Mudah-mudahan Allah menyejukkan barannya seperti mana api yang membakar Nabi Ibrahim disejukkan dengan izin Allah. Amin.


Apabila berhadapan dengan sikap keras hati suami puan, bolehlah mencuba bacaan ruqyah dari Surah al-Naml, ayat 30: Sesungguhnya (perutusan itu) dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (27:30).


Ia bersempena kisah Nabi Sulaiman yang mengajak Ratu Saba' yang bernama Balqis agar memeluk Islam. Akhirnya, hati baginda menjadi lembut untuk memeluk Islam setelah membaca kepala surat perutusan daripada Nabi Sulaiman di atas. Mudah-mudahan bacaan ruqyah puan walaupun dalam diam akan melembutkan hati suami puan untuk kembali bertanggungjawab kepada keluarga dan bersedia untuk berbincang elok-elok dengan puan dengan izin Allah. Amin.


Bagi pihak puan juga, perlulah melakukan muhasabah diri. Contohnya mengkaji sama ada waktu puan mengajukan cadangan untuk berbincang itu sesuai atau tidak. Orang lelaki biasanya ada anginnya yang tersendiri terutamanya tidak mahu diganggu ketika sedang sibuk dengan sesuatu, dan biasanya apabila puan bertanyakan sesuatu ketika dia lapar, mengantuk, bersedih, penat atau tertekan akan membangkitkan kemarahannya.


Puan juga digalakkan memperbanyakkan istighfar kerana dalam Surah Hud, ayat 3 Allah menjanjikan kebahagiaan dan kesenangan bagi orang-orang yang memohon keampunan dari-Nya dan bertaubat (pulang menyerah diri untuk taat kepada-Nya)


Berdoa adalah sinonim dengan kehidupan seseorang Muslim, hatta solat itu pun maksud asalnya doa. Amalan berdoa menjadi simbol penyerahan diri kita kepada Allah dan betapa kita sentiasa memerlukan Allah al-Samad - tempat bergantung. Puan boleh bermunajat kepada-Nya, pohonlah apa jua permintaan puan dalam bahasa Melayu sekalipun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Allah kan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Serulah dari 99 Nama-nama-Nya yang Indah (Asma' Allah al-Husna) dalam doa puan, seperti Ya Razzaq Ya Fattah agar Allah melimpahkan rezeki keluarga puan dan seumpamanya, semoga ia segera dimakbulkan. Amin.


Sebagai satu alternatif, puan juga boleh mencuba bacaan ruqyah dari ayat 200, Surah Ali Imraan yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), kentalkanlah daya kesabaranmu, sabarkanlah di antara kamu, perkukuhkanlah ikatan sesama kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Menentukan kamu akan Berjaya (akhirnya). (3:200)).


Satu lagi amalan baik untuk perlindungan keluarga puan, bacalah Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi shay'un fil ardhi wa la fissama' wa huwassami'ul alim.Dengan nama Allah yang terpelihara segala sesuatu dengan nama-Nya daripada apa-apa yang memudaratkan sama ada di bumi atau di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.) Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. [Sumber: Sunan Abu Daud, juzu' 3, hal. 132, bil. 5088].



SUMBER : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0205&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...