:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Jumaat, 9 Mac 2012

Mengakui kesilapan akhlak mulia pancar keimanan



Rendah diri mohon maaf

tanda miliki kekayaan hati



Oleh Amran Zakaria




Mengakui kesilapan akhlak mulia pancar keimanan





AMALAN dan kepercayaan pemimpin sentiasa berada
dalam landasan betul adalah satu kesilapan diwarisi sejak zaman berzaman.
Masyarakat bawahan diyakinkan bahawa orang yang banyak
melakukan kesalahan ialah rakyat yang ditadbir,
manakala golongan pentadbiran biasanya tidak disabitkan
dengan sebarang kesilapan.








Justeru, rakyat didorong memohon maaf
atas apa juga kesilapan yang berlaku.
Pada hari ini berlaku tuntutan sebaliknya.
Kesediaan pemimpin mengakui kesilapan dan memohon maaf
daripada rakyat mampu mempamerkan keperibadian
yang mulia dan tinggi sahsiahnya.





Firman Allah:




"Terima kemaafan dan suruh

dengan perkara yang baik

serta berpaling (jangan dihiraukan)

daripada orang yang jahil."



(Surah al-‘Araf, ayat 199)






Bukan mudah untuk manusia, terutama individu atau kumpulan
melakukan tindakan seperti itu, walaupun pada pandangan
kasarnya begitu mudah. Hanya mereka yang berbudi pekerti mulia
saja mampu mempraktikkannya.









Sebagai manusia, kita perlu menjauhkan diri daripada sifat riak, angkuh dan sombong semata-mata untuk menjaga imej, pangkat serta kedudukan. Individu yang bersifat mulia biasanya amat mudah memaafkan kesalahan orang lain.








Rasulullah SAW bersabda bermaksud:






“Ada tiga perkara

apabila dilakukan akan dilindungi Allah

dalam peliharaan-Nya, ditaburi rahmat-Nya

dan dimasukkan ke dalam syurga iaitu

apabila diberi ia berterima kasih,

apabila berkuasa ia suka memaafkan

dan apabila marah ia menahan diri.”


(Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)








Pada prinsipnya, manusia yang sedia meminta maaf
dengan ikhlas dan secara terbuka walaupun menyedari kesalahan itu
dilakukan orang lain dilihat memiliki akhlak yang mulia dan terpuji.
Jika bukan kerana keimanan dan rasa tawaduk,
sukar bagi manusia memohon maaf.







Mereka yang sanggup memohon maaf ialah
orang yang memiliki kekayaan hati, manakala mereka
yang sukar memohon maaf dikatakan memiliki kemiskinan hati.







Sebenarnya agak sukar untuk menggambarkan
secara jelas maksud sebenar kekayaan dan kemiskinan hati.
Seorang penyair Arab menulis mengenai gambaran itu.






Katanya:





“Kemiskinan sentiasa ada pada hati orang kaya

dan kekayaan sentiasa ada pada hati orang miskin”.







Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang mengetahui.








Jiwa yang kaya ialah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri,
sebaliknya memiliki sifat pemurah dan berlapang hati.
Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri,
memohon maaf dan memaafkan orang lain.








Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa Abu Zar
memanggil Bilal bin Rabbah dengan gelaran ‘wahai anak hitam’,
satu ungkapan amat menghiris hati.
Bilal apabila mendengar panggilan itu
mendiamkan diri dan tidak membalas panggilan Abu Zar.









Sebagai manusia biasa
yang mempunyai emosi dan perasaan,
Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah SAW
untuk membuat aduan berkaitan perkara itu.
Selepas mendengarnya, muka Baginda kelihatan berubah.
Rasulullah SAW terus ke tempat Abu Zar berada tetapi hanya lalu saja
dan terus ke masjid.








Mengetahui bahawa Rasulullah
marah padanya lalu
Abu Zar memberi salam
kepada Rasulullah SAW .
Baginda Nabi kemudian menyebut:







“Wahai Abu Zar, kamu menghina Bilal dan menghina asal-usulnya.
Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal-usulnya ialah
orang jahiliah sebelum masuk Islam dan sesungguhnya dalam diri kamu
masih ada sisa jahiliah”.








Abu Zar RA berasa terpukul dan sangat menyesal.
Abu Zar menangis dan merayu kepada Rasulullah SAW
dengan berkata:







“Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan mintalah Allah ampunkan dosaku...”.







Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal lalu dipeluknya
sambil memohon maaf kepadanya. Tidak cukup dengan itu,
Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata:








“Demi Allah wahai Bilal, aku tidak akan angkat pipiku
dari atas tanah kecuali kamu pijak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu.
Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.








Bilal kemudian mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar
lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkat dari tanah.
Mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang.








Pengajaran daripada kisah ini ialah,
jangan sesekali kita menghina orang dalam apa bentuk
sama ada perkataan ataupun perbuatan kerana emosi dan perasaan
seseorang tidak boleh diperdagangkan dengan bayaran ganti rugi
walaupun lumayan.








Memohon maaf atas kesalahan juga satu manifestasi
dan pancaran keimanan, kesucian hati dan ketinggian akhlak seseorang.
Ia selaras akhlak dan sunnah Baginda Rasulullah SAW
sebagai seorang yang paling pemaaf lagi mulia sifatnya.








Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan,
wajar kita meminta maaf dengan cepat.
Akui kesalahan dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan itu.







Bagi mereka yang melakukan kesalahan padanya,
tidak salah merendah diri dan memaafkan kesalahannya.
Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma.
Hanya yang ikhlas saja akan diberi ganjaran.








Kita wajar merenungi firman Allah yang bermaksud:







“Terima kemaafan dan suruh

dengan perkara yang baik serta berpaling

(jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil.”




(Surah al-‘Araf, ayat 199)








Justeru, sikap mudah rasa bersalah
walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri Muslim.
Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia
terus dibelenggu pelbagai masalah, terutama perkara
berkaitan kehidupan bermasyarakat.














Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...