:)

Zikrullah Photobucket http://memyselfanis.files.wordpress.com/2010/07/380103_298x412.gif

Sahabat Maya

" Kebimbangan terhadap hal-hal keduniaan itu menggelapkan hati manakala kebimbangan terhadap hal-hal akhirat itu adalah menyinarkan hati "

Khamis, 7 Julai 2011

Rumusan tentang syafaat




Rumusan tentang syafaat

SEORANG Muslim hakiki tidak akan berpegang bahawa orang yang diminta tolong atau yang dipohon itu berkuasa melakukan sesuatu, atau meninggalkannya, tanpa keterlibatan Allah, secara langsung atau tidak.



Dengan iktikad adanya keterlibatan Allah, adakah dia masih lagi dekat kepada mensyirikkan Allah? Kita berlindung dengan Allah daripada menuduh seorang Muslim dengan tuduhan syirik atau kafir, hanya kerana suatu kesalahan, atau kejahilan, atau mungkin kerana lupa, atau kerana melakukan ijtihad (yang salah).



Kita katakan: Kalaupun kebanyakan mereka salah dalam mengungkapkan kata-kata ketika memohon keampunan, syurga, kesembuhan dan pelepasan daripada Rasulullah SAW secara langsung; namun tauhid mereka tidak boleh turut dipersalahkan atau disesatkan.



Ini kerana maksud mereka yang sebenar hanya untuk mendapatkan pertolongan kepada Allah melalui perantaraan wasilah tersebut. Seolah-olah mereka mengatakan, "Wahai Rasulullah! Pohonkanlah kepada Allah agar Dia mengampuni dosaku dan merahmatiku. Aku bertawassul denganmu kepada-Nya dalam memenuhi keperluanku, melepaskan kesulitanku, dan merealisasikan segala keinginanku".



Para sahabat r.a sering memohon pertolongan kepada Rasulullah SAW, meminta syafaat dan mengadukan keadaan mereka kepada Baginda SAW. Tidak kira sama ada masalah kefakiran, kesakitan, bala bencana yang menimpa, hutang piutang ataupun kelemahan mereka sebagaimana yang telah kita sebutkan sebelum ini.



Hakikatnya, Rasulullah SAW tidak memenuhi permohonan mereka itu dengan dirinya sendiri, atau kekuatannya sendiri. Tetapi Baginda SAW dapat melakukannya hanya dengan izin, perintah dan kekuasaan Allah SWT.



Baginda SAW adalah seorang hamba yang diperintahkan, yang mempunyai kedudukan dan pangkat istimewa di sisi Tuhannya. Baginda SAW mempunyai kemuliaan, yang dimanfaatkan oleh manusia yang beriman dengannya, membenarkan risalahnya dan meyakini keistimewaan dan kemuliaannya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah.



Kita meyakini, bahawa orang yang mempunyai keyakinan yang bercanggah dengan keyakinan ini adalah syirik tanpa disangkal lagi.



Oleh yang demikian, kita melihat Rasulullah SAW mengingatkan kita mengenainya berdasarkan keperluan situasi. Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa baginda SAW adalah penghulu anak-anak Adam.



Dalam keadaan yang lain pula, baginda SAW menegaskan bahawa tuan atau penghulu yang sebenar adalah Allah. Dalam satu pendirian yang lain, para sahabat memohon pertolongan dengan baginda SAW, dan baginda SAW pula memberitahu dan mengajar mereka supaya bertawassul dengannya.



Dalam satu keadaan, Baginda SAW menyatakan pula bahawa hanya Allah yang menjadi tempat memohon pertolongan, dan bukan dirinya. Ada kalanya, baginda SAW menjadi tempat sahabat-sahabat memohon dan meminta pertolongan, lalu nabi SAW memenuhi permohonan mereka.



Bahkan juga, baginda SAW pernah memberikan mereka pilihan; sama ada mahu bersabar menghadapi musibah yang menimpa mereka dengan mendapat jaminan syurga, atau pun bala yang menimpa mereka dihapuskan segera.



Dalam keadaan yang lain, baginda SAW bersabda kepada para sahabat r.a: "Jika kamu meminta, mintalah kepada Allah. Jika kamu memohon pertolongan, maka pohonlah kepada Allah".



Pada ketika yang lain, baginda SAW bersabda:


"Barang siapa melepaskan kesulitan seorang Mukmin…."


Dalam satu keadaan, baginda SAW pernah menegaskan:


"Tidak ada yang dapat mendatangkan kebaikan kecuali Allah SWT".



Dengan ini, jelaslah bahawa akidah kita, alhamdulillah, adalah akidah yang paling bersih dan suci. Seorang hamba itu, walau betapa tinggi darjat dan martabatnya, hatta semulia-mulia makhluk Nabi Muhammad SAW sekalipun, hanya dapat memberi dan menahan, memberi kemudaratan dan manfaat, mengkabulkan permohonan dan menolong dengan pertolongan dan keizinan Allah SWT.



Justeru, apabila dipohon suatu pertolongan atau diminta bantuan daripada baginda SAW, nabi SAW hanya menghadap kepada Allah Yang Maha Agung dan Maha Luhur, lalu memohon dan meminta kepada-Nya, serta memohon diberi hak syafaat.



Kemudian permohonan baginda SAW itu dikabulkan dan baginda SAW pun memberikan syafaatnya.



Apa yang jelas, baginda SAW tidak pernah menyatakan kepada mereka: "Janganlah kamu meminta sesuatu kepadaku, janganlah kamu memohon kepadaku, jangan kamu mengadu keadaan kamu kepadaku, tetapi mengadaplah kepada Allah dan pohonlah kepada-Nya, kerana pintu-Nya selalu terbuka. Dia (Ilmu-Nya) berada hampir, dan Maha Mengkabulkan permohonan hamba-Nya. Dia tidak memerlukan kepada seseorang, bahkan tidak ada di antara-Nya dan di antara makhluk-Nya suatu hijab atau penjaga pintu".



Larangan mengkafir



Kesimpulannya, sesungguhnya tidak boleh mengkafirkan orang yang memohon pertolongan (al Mustaghith), kecuali jika dia beriktikad adanya selain Allah yang mempunyai kekuasaan untuk mencipta dan mengadakan.



Tiada maknanya di sini membezakan di antara makhluk yang masih hidup dengan yang telah mati, kerana jika seseorang itu meyakini bahawa ada selain Allah yang mampu mengadakan, bererti dia menjadi kafir. Ini ternyata berbeza dengan pendapat kaum muktazilah yang menyatakan bahawa manusia mencipta perbuatannya sendiri. Namun, jika dia meyakini adanya tasabbub (sebab) dan iktisab (usaha) maka dia tidak menjadi kafir.



Paling maksimum yang diyakini oleh seseorang mengenai orang yang telah mati ialah mereka itu melakukan tasabbub dan iktisab sebagaimana orang-orang yang masih hidup. Mereka bukanlah mencipta, juga bukan mengadakan seperti Allah, kerana tidak rasional jika manusia meyakini bahawa mereka yang telah mati itu mempunyai kemampuan melebihi orang yang masih hidup.



Mereka juga meyakini bahawa yang masih hidup itu hanya melakukan kasab dan sabab. Hal ini merupakan puncak keyakinan mukmin mengenai makhluk. Jika tidak, dia bukan lagi mukmin.



Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:


"Sesungguhnya, segala perbuatan kamu diperlihatkan kepada mayat-mayat dari keluarga terdekatmu. Jika perbuatan itu baik, mereka berasa gembira dengannya. Jika perbuatan itu sebaliknya, mereka berkata, "Ya Allah! Janganlah Engkau matikan mereka, sehingga Engkau kurniakan hidayah kepada mereka sebagaimana yang telah Engkau kurniakan kepada kita".

(Riwayat Ahmad)



Diriwayatkan pula daripada Ibnu al Mubarak dengan sanadnya yang sampai kepada Abu Ayyub r.a, beliau mengatakan:


"Segala perbuatan orang yang hidup itu diperlihatkan kepada yang telah mati. Jika mereka melihatnya baik, mereka merasa senang dan bergembira. Jika mereka melihatnya buruk, mereka berkata, Ya Allah! Kembalikanlah dia kepada amal soleh".

(Lihat Al-Ruh, Ibnu al-Qayyim, ms. 7).



Alhamdulillah, dengan ini sampailah kita ke penghujung perbahasan ringkas kita tentang tajuk syafaat atau memohon pertolongan kepada makhluk sebagai perantaraan kepada Allah SWT.



Sudah tentu akhbar dan majalah bukanlah medan untuk perbahasan lengkap dan khusus isu-isu agama. Dengan izin dan taufik-Nya, kita akan memulakan pula siri perbahasan tentang hakikat nabi SAW dan kenabian baginda SAW agar kita mampu menunaikan hak baginda SAW ke atas kita dengan sesempurna mungkin.






Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


Tiada ulasan:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...