
Syawal
duga keberkesanan
madrasah Ramadan
Penerusan ibadah dengan
amalan sunah kekalkan
ketakwaan
Madrasah Ramadan adalah proses tarbiah buat hati, jiwa dan roh yang mampu
mendekatkan diri kepada Allah.
Natijah daripada segala proses di madrasah Ramadan ini melahirkan hati yang
bertakwa kepada Allah SWT di mana takwa adalah pakaian Mukmin untuk menggalas
cabaran selama 11 bulan yang akan datang.
Ketika ini juga akan teruji madrasah Ramadan
yang telah berlalu selama sebulan dan adakah segala amal ibadah dan amal soleh
yang telah dilaksanakan dapat direalisasikan dalam bulan Syawal ini. Mereka
yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah orang yang amat beruntung
kerana terlepas daripada kehinaan yang telah dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda
Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat
bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka
Allah tidak mengampunkannya.”(Hadis Riwayat Hakim).
Orang bertakwa nikmat kemanisan Ramadan
Orang yang benar-benar dapat menikmati kemanisan dan kegembiraan sambutan
Aidilfitri adalah orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Mereka
inilah yang tergolong dalam golongan orang yang sentiasa meninggalkan larangan
Allah di samping mentaati syiar Islam sebagaimana yang terkandung dalam firman
Allah SWT bermaksud: "Demikianlah ajaran Allah. Sesiapa yang menghormati
syiar agama Allah maka dialah orang yang bertakwa kerana sesungguhnya perbuatan
itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa hati Mukmin" .(Surah Al-Hajj
ayat 32).
Sabda Rasulullah SAW bermaksud : "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan
dengan penuh rasa keimanan dan penghayatan akan diampuni segala dosanya yang
lalu". (Riwayat Bukhari & Muslim). Hadis ini menunjukkan bahawa mereka
yang dapat melepasi Ramadan dengan sempurna akan mendapat bonus keampunan
daripada Allah SWT. Ini bergantung kepada sejauh manakah kita dapat mengikuti
terma dan syarat yang ditetapkan. Ramai yang tidak menduga bahawa dugaan
sebenar adalah pada bulan Syawal kerana penurunan peningkatan kualiti ibadah
kita berlaku dengan begitu mendadak sekali terutama apabila selesai solat
Aidilfitri.
Masjid, surau lengang
Masjid dan surau akan menjadi lengang, al-Quran akan disimpan dan kembalilah
aktiviti kebiasaan yang dilakukan sebelum Ramadan. Mereka yang telah
berjinak-jinak dengan masjid sudah mula menjauhi diri dan melipat sejadahnya.
Mereka kembali kepada dunia seperti sebelumya dengan begitu ghairah sekali.
Menyedari hakikat inilah, Baginda SAW menyeru kita, agar tekun dan terus
melaksanakan amalan sunat walau berakhirnya Ramadan supaya kita senantiasa
mengingati apakah tujuan Allah menghidupkan dan memanjangkan usia kita di muka
bumi ini. Ibadah mestilah diteruskan kerana kehidupan kita sentiasa disambung
oleh Allah SWT. Ibadah puasa juga tidak akan habis sehingga penghujung nyawa.
Banyak puasa sunat yang dianjurkan khususnya puasa nabi Daud a.s yang berpuasa
sehari dan berbuka sehari. Puasa Asyura, puasa Muharam, puasa Isnin dan Khamis
dan lain-lain. Baginda SAW juga menyeru umat Islam agar terus mengerjakan
ibadah puasa enam hari pada bulan Syawal di mana Baginda SAW telah berwasiat
pada Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud : "Wahai Ali, sesiapa antara kamu
yang menyambung puasa Ramadan dengan enam hari di bulan Syawal, maka Allah akan
menulis baginya pahala puasa satu tahun penuh." (Al-Hadith). Amalan solat
berjemaah di masjid setiap hari mestilah diteruskan di samping meneruskan
ibadah qiamullail dan iktikaf. Lidah juga hendaklah dibasahi dengan zikir,
terutama melalui pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Bersedekah, berwakaf dan
berzakat sepanjang masa serta memelihara silaturahim antara sesama manusia.
Keistimewaan bulan Syawal
Keistimewaan bulan Syawal adalah disebabkan sepanjang bulan itu adalah hari
raya, hari kemenangan dan kegembiraan. Ia juga hari kesyukuran dan menambah
amal kebaikan yang sedia terkumpul sejak Ramadan. Ia juga adalah bulan
keampunan sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW dari Ibnu Mas'ud r.a. yang
maksudnya: "Apabila mereka berpuasa sebulan Ramadan lalu pergi untuk
mengerjakan solat Aidilfitri, Allah Taala berfirman : "Hai para
Malaikat-Ku, tiap-tiap orang yang beramal itu mengharapkan pahalanya, dan para
hamba-Ku yang berpuasa dalam bulan Ramadan lalu menunaikan solat Aidilfitri
juga mengharapkan pahalanya, maka oleh kerana itu saksikanlah, bahawa
sesungguhnya Aku telah mengampuni mereka." Lalu ada seruan : "Hai
umat Muhammad, kembalilah kamu ke rumahmu masing-masing, sesungguhnya semua
kejahatanmu telah diganti dengan kebaikan.” Maka Allah Taala berfirman: "Hai para hamba-Ku, kamu semua
telah berpuasa untuk-Ku dan juga telah berbuka untuk-Ku, oleh kerana itu
bangkitlah kamu semua, kamu semua telah diampuni." (Zubdatul Wa'izhiin).
Syawal juga bulan yang dimakbulkan doa melalui rahmat daripada Allah SWT serta
kasih sayang-Nya. Rahmat ini telah dicetuskan oleh amalan baik selepas Ramadan
apabila kesan tarbiah Ramadan sudah dapat dicernakan oleh jiwa manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : "Bersungguh-sungguhlah kamu semua
pada Aidilfitrii dengan bersedekah dan amalan-amalan yang baik, yang bagus dari
solat, zakat, tasbih, tahlil kerana sesungguhnya hari ini Allah Taala
mengampuni semua dosa kamu. mengabulkan semua doamu dan melihat kamu semua
dengan kasih-sayang. "Allah SWT berfirman: "Hai para Malaikat-Ku,
saksikanlah olehmu semua, bahawa sesungguhnya telah-Ku jadikan pahala mereka
atas puasanya itu, keredaan-Ku dan ampunan-Ku." (Hadith Qudsi).
Pada hari ini, ramai yang memahami bahawa hari raya adalah hari untuk
menghabiskan segala dana untuk menggantikan segalanya dengan yang baru.
Bermewah-mewah, hiburan dan sebagainya. Pembaziran berleluasa sehingga
mengabaikan tanggungjawab sebenar sebagai seorang Muslim. Kita lupa bahawa itu
adalah hari untuk bersyukur, memuji, memuja dan membesarkan Allah SWT.
Aidilfitri ialah adalah hari untuk mengembalikan fitrah manusia kepada keadaan
asal semula jadi yang suci dan murni.
Sumber: