Fahami etika perniagaan dalam Islam
pelanggan dilindungi
berdasarkan sikap amanah, jujur
DALAM sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Ceburilah kegiatan perniagaan
kerana di dalamnya terdapat
sembilan persepuluh sumber rezeki.”
(Al-Tirmizi).
Dengan mengambil pengajaran daripada hadis itu,
setiap peniaga Muslim perlu memahami bahawa
pembabitan mereka dalam urusan perniagaan adalah
satu ibadat dan sangat dituntut dalam Islam.
mengetahui dan memahami etika perniagaan Islam
secara mendalam sebelum berkecimpung dalam
bidang perniagaan terutama dalam mengendalikan
urusan jual-beli bersama pelanggan.
Tujuan etika perniagaan Islam ini adalah untuk
memastikan setiap peniaga yang menceburi
dalam bidang perniagaan dapat mengelakkan diri
daripada segala sifat keji (mazmumah) dan menghiasinya
dengan sifat terpuji (mahmudah).
Keadaan ini penting bagi menjamin
kepentingan ummah dapat terpelihara daripada
segala unsur yang boleh mencetuskan perbalahan,
ketidakadilan, pertikaian, penindasan dan rasa
ketidakpuasan hati dapat dihalang.
Di samping itu, mereka dapat melindungi
hak kedua-dua pihak iaitu antara peniaga
sebagai penjual dan pengguna sebagai
pelanggan barangan terbabit.
Hak kedua-dua pihak ini perlu dijaga
bagi memastikan setiap perniagaan yang dijalankan
berlangsung dengan baik dan dapat menjauhi
semua unsur penipuan. Dalam al-Quran
berulang kali mengingatkan peniaga supaya
bersikap jujur dan melarang keras melakukan
penipuan serta penyelewengan dalam perniagaan.
Peringatan yang berulang kali ini menggambarkan
bahawa penipuan dalam bentuk dan kadar yang
pelbagai adalah sesuatu yang sering terjadi
dalam dunia perniagaan.
Dalam al-Quran Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan
cukupkanlah segala
sukatan dan timbangan dengan adil.”
(Al-An‘am, 6:152)
selain
“Dan
janganlah kamu mengurangi
sukatan dan timbangan.”
(Surah Hud, ayat, 84).
Kedua-dua ayat ini menjelaskan bahawa
penipuan daripada segala segi adalah haram
dalam etika perniagaan Islam. Dengan penipuan
akan rosaklah hubungan antara pembeli dan penjual,
malah boleh mencetuskan perbalahan dan pergaduhan
yang berpanjangan. Oleh itu, sifat jujur peniaga
dapat menghindari kesan negatif terhadap perhubungan
antara peniaga dan pelanggan mereka.
Begitu juga sebagai peniaga Muslim
dianjurkan supaya menitikberatkan kualiti kerja
atau hasil atas barangan yang diniagakan.
Islam menegah peniaga mengeksploitasi pelanggan
dengan menjual barangan yang berkualiti rendah
pada harga yang tinggi semata-mata kerana
tidak ada orang lain yang menawarkan
barangan yang serupa.
Kualiti produk yang rendah tidak dapat
menjamin pembelian pada masa depan
dan tidak dapat menjamin kesetiaan
pelanggan kepada barangan berkenaan.
Implikasinya akan
membawa kepada kegagalan perniagaan.
Barangan yang berkualiti dengan harga
yang berpatutan bukan saja
dapat meningkatkan jualan
tetapi juga dapat menjaga reputasi perniagaan.
Selain itu, sebagai peniaga Muslim,
mereka perlu amanah.
Islam melarang keras peniaga yang tidak amanah.
Peniaga tidak boleh
membohongi dan mengkhianati pelanggan,
menjual barangan dengan harga terlalu tinggi
dan melengahkan pembayaran kepada
pengedar atau pembekal barangan ke kedainya.
Misalnya, dalam perniagaan menerusi internet
walaupun peniaga tidak bersemuka dengan pelanggan,
namun mereka perlu menjaga amanah dalam
memastikan barangan yang ditempah itu
sama kualitinya dengan barang yang dipesan.
Penekanan supaya amanah ini
disebut dalam ayat al-Quran yang mana
Allah berfirman bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah menyuruh kamu
menyampaikan amanah
kepada yang berhak menerimanya.”
(Surah an-Nisa ayat 58).
Peniaga yang beretika juga perlu
melaksanakan al-‘Adl atau keadilan.
Ini bermaksud peniaga harus bersikap sederhana
dalam semua perkara tanpa menguntungkan
sebelah pihak, layanan sama rata atau saksama
terhadap semua pelanggan, memberi pertimbangan
yang adil dan tidak berat sebelah serta
memberikan hak kepada orang yang berhak.
Dalam erti kata lain,
keadilan bererti meletakkan sesuatu
di tempatnya yang betul.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya
Allah menyuruh (kamu)
berlaku adil dan berbuat kebajikan.”
(Surah an-Nahl, ayat 90).
Oleh itu, keadilan dalam perniagaan
akan memastikan urusan perniagaan itu
adil dan setiap orang sama ada pembeli atau penjual
akan mendapat haknya.
Begitu juga dalam setiap perniagaan,
sebagai peniaga Muslim hendaklah
sentiasa mengutamakan hubungan komunikasi
antara pelanggan. Ucap kata-kata manis,
saling hormat-menghormati, lemah-lembut dan cubalah
mempertimbangkan kepentingan semua pihak.
Selain itu, peniaga hendaklah sentiasa
berlapang dada dan berusaha untuk memenuhi
keperluan pengguna. Kepuasan
pelanggan adalah keutamaan mereka.
Ketepatan masa juga salah satu
nilai dan etika yang ditekankan dalam perniagaan Islam.
Penggunaan masa secara baik dan berkesan
akan dapat membantu peniaga dan pengusaha
menyempurnakan kerja dengan cepat,
tepat dan menepati masa yang ditetapkan.
Menerusi perbincangan di atas, jelaslah dengan kewujudan peniaga beretika berlandaskan ajaran al-Quran, sudah tentu dapat membentuk peribadi mulia dan seterusnya mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat.
terima kasih untuk penerangan ini.
BalasPadam