Sabtu, 30 Jun 2012
Jumaat, 29 Jun 2012
Mutiara Hadis
Daripada Anas katanya,bersabda Rasulullah SAW
yang bermaksud :
“Jika Allah
mengkehendaki kebaikan
bagi seseorang hamba-Nya,
disegerakan bagi hamba itu
balasan ketika di dunia.
Sebaliknya jika Allah
menghendaki dengan hamba-Nya
keburukan ditangguh pembalasan itu
supaya disempurnakannya pada
hari kiamat."
Adakah anda doakan ibu bapa hari ini?
Khutbah Jumaat:
Adakah anda doakan ibu bapa hari ini?
berpanjangan hingga ke alam barzakh
IBU bapa adalah insan paling mulia dalam kehidupan kerana itulah agama Islam mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada mereka. Segala jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan sejak di alam rahim sehingga kita dilahirkan begitu besar dan tinggi nilainya.
Mereka yang bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita sehingga dewasa. Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran untuk masa depan anak-anak.
Ingat apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga adalah hasil pengorbanan ibu bapa. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat serta pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini.
Sehubungan itu, sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Tuhanmu
sudah perintahkan, supaya engkau
tidak menyembah melainkan kepada-Nya
dan hendaklah engkau berbuat baik
kepada kedua ibu bapa.
Jika salah seorang daripada keduanya
atau kedua-duanya sekali,
sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu,
maka jangan engkau berkata kepada keduanya
sekalipun perkataan ‘ah’ dan
jangan engkau menengking mereka,
tetapi katakan kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkan dirimu kepada keduanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakan:
Wahai Tuhanku!
Kasihani mereka berdua seperti mana
mereka sudah memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Surah al-Israk, ayat 23-24)
Tidak dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya, tidak dapat dinilai emas dan perak, tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anak walau sesaat, kadang-kala ibu tidak dapat menyuap makanan dan melelapkan mata kerana teringatkan anak dan ada ketika air mata berlinangan merindui anak.
Mimbar mengingatkan, bilakah kali terakhir kita bertemu dengan mereka, menatap wajah dan mencium tangan mereka? Cukupkah sekadar mengirim duit sebagai pengganti diri bagi membayar setitis air mata ibu akibat rindu kepulangan si anak? Ambil kesempatan yang ada semasa hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya.
Oleh itu, wajarlah Allah memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Kami
wajibkan manusia berbuat baik
kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan
atas kelemahan dan menceraikan susunya dalam
masa dua tahun; bersyukur kepada-Ku dan
kepada kedua ibu bapamu dan kepada
Aku tempat kembalimu.”
(Surah Luqman, ayat 14)
Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung itu. Berdasarkan pemerhatian mimbar, ada anak yang sanggup membuang dan menyisih ibu bapanya.
Mereka ini sanggup meninggalkan ibu bapa di rumah kebajikan atas alasan tidak sanggup melayan kerenah ibu bapa yang semakin tua. Berdasarkan laporan Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga kini seramai 1,857 ibu bapa ditempatkan di rumah Seri Kenangan tanpa kasih-sayang anak. Mereka ini merintih keseorangan mengharap anak sentiasa mendampingi mereka.
Islam menganjurkan setiap anak menghormati dan berbakti kepada ibu bapa selagi suruhan itu tidak melanggar syariat Islam. Jika anak mengingkari perintah ibu bapa, maka itu adalah derhaka dan satu dosa besar.
Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda:
“Antara dosa besar ialah
seorang lelaki mencerca ibu bapanya.
Tanyanya lagi:
Wahai Rasulullah!
Adakah akan berlaku seorang lelaki
memaki-hamun ibu bapanya?
Jawab Nabi SAW:
Ya! Seorang lelaki memaki hamun
bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu
memaki kembali bapanya, begitu juga
sekiranya seorang lelaki memaki hamun
ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga
akan memaki hamun ibunya.”
Mimbar mengingatkan jemaah dan umat Islam sekalian, menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup tetapi berpanjangan hingga di alam arwah. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah.
Perbuatan anak di dunia menjadi ukuran adakah mereka benar-benar menyayangi ibu bapa. Apalah gunanya anak mengadakan majlis kenduri tahlil dan doa selamat sedangkan perbuatan harian mereka penuh dengan maksiat, kejahatan dan melakukan dosa besar.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya amal kamu
dibentangkan kepada keluarga dan
kaum kerabat kamu yang telah mati;
maka jika amal perbuatan kamu itu baik,
mereka gembira mengetahuinya, dan jika sebaliknya,
mereka (berdoa untuk kamu dengan) berkata:
“Ya Allah Ya Tuhan kami,
berilah kaum kerabat kami yang hidup itu
hidayah petunjuk, seperti mana Engkau
sudah memberi hidayah petunjuk kepada kami
(sehingga kami mati dalam iman).”
(Hadis riwayat Imam Ahmad dan al-Tirmizi)
Jika ibu bapa tidak reda sikap keji anak, ini mengundang kemurkaan Allah. Selama mana kita tidak diredai ibu bapa, selama itu juga kita hidup dalam kemurkaan dan derhaka terhadap Allah.
Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Penyakit hati boleh wujudkan permusuhan
Syak wasangka hapus sifat baik mukmin
Oleh Ashraf Muslim
semarak hasad dengki
PERNAH atau tidak dalam hati kita menaruh perasaan syak wasangka terhadap orang lain tanpa asas kukuh, tetapi hanya disebabkan prasangka yang menguasai hati serta pemikiran, ini penyakit yang berbahaya.
Sebab itu kita diminta sentiasa bersangka baik bagi mengelak wujud situasi atau perasaan negatif yang akhirnya mendorong melakukan perkara melanggar ajaran agama.
" Sesungguhnya besarnya pahala itu
bergantung pada besarnya ujian,
sesungguhnya Allah itu apabila Dia
mengasihi sesuatu kaum Dia menguji
mereka dengan kesusahan.
Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu
akan mendapat keredaan Allah
dan siapa yang tidak reda maka dia
akan menerima kemurkaan Allah."
- Riwayat at-Tirmizi
Apabila hati dan pemikiran sudah dikuasai perasaan syak, akan wujud rasa tidak puas hati atau hendak marah dengan pihak lain boleh jadi ahli keluarga, pasangan kita, rakan dan teman sepejabat.
Selalunya apabila fikiran asyik memikirkan perkara negatif, inilah masa sangat disukai syaitan untuk menyucuk dan mengajak kita berfikir lebih jauh atau lebih buruk lagi mengenai orang itu.
Pelbagai skrip dimasukkan dalam pemikiran kita supaya perasaan syak wasangka itu terus menghantui diri dan hati, maka ketika itu timbul pula rasa ingin membalas dendam terhadap perbuatan disangkakan dilakukan orang itu.
Seperti isteri berprasangka buruk terhadap suami, jadi untuk memastikan perkara disyaki itu tidak berlaku, isteri perlu mengambil langkah awal dengan melakukan sesuatu.
Apabila isteri menyangkakan suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, sebagai langkah pencegahan dia mengamalkan ilmu penunduk untuk menghalang suami menaruh hati kepada wanita lain.
Sedangkan, suami tidak pernah memikirkan perkara itu, tetapi disebabkan sifat prasangka isteri, suami menjadi mangsa. Bagi yang menyedarinya, mereka boleh berusaha untuk merawat penyakit didatangkan itu, tetapi jika tidak tahu, suami akan terus dikawal isteri.
Begitu juga dengan ibu bapa yang suka beranggapan negatif terhadap anak mereka. Ada kala ia dilakukan untuk menunjukkan kuasa atau hak ibu bapa terhadap anak. Ada juga disebabkan perasaan curiga terhadap kejujuran anak.
Ada kala puas anak cuba meyakinkan ibu bapa, tetapi tetap dituduh sebaliknya. Alangkah kecewanya anak kerana tidak mendapat kepercayaan ibu bapa. Sebagai jalan akhir, sebab ibu bapa mengatakan dirinya jahat, anak betul-betul menjadi jahat.
Sepatutnya ibu bapa yang menaruh prasangka terhadap anak, jika tidak puas hati, lakukan siasatan. Jangan menuduh membuta tuli. Mana tahu anak yang disangka melepak tidak tentu hala sebenarnya berkumpul dengan rakan untuk mengulang kaji pelajaran.
Ada kala disebabkan hasutan orang yang bercerita negatif mengenai seseorang menyebabkan kita juga mempunyai prasangka sedangkan kita sebenarnya tidak mengenali hati budi orang itu. Hanya berdasarkan cerita disampaikan, kita terus menaruh wasangka.
Alangkah ruginya jika orang yang disangka negatif itu sebenarnya seorang yang baik, tetapi hanya kerana ada yang tidak menyukainya dan melemparkan dakwaan palsu, kita juga terpengaruh.
Justeru, cuba elakkan perasaan syak wasangka atau suka berprasangka sebaliknya sentiasa berpandangan positif dan bersangka baik dengan orang lain.
Lebih-lebih lagi sebagai hamba Allah SWT kita perlu bersangka baik dengan Allah SWT kerana Dia Yang Maha Mengetahui. Jangan kerana kita diuji dengan kesusahan, kita menyangkakan Allah SWT tidak menyayangi kita.
Daripada Anas katanya,
bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Jika Allah mengkehendaki kebaikan
bagi seseorang hamba-Nya,
disegerakan bagi hamba itu balasan ketika di dunia.
Sebaliknya jika Allah menghendaki
dengan hamba-Nya keburukan
ditangguh pembalasan itu supaya
disempurnakannya pada hari kiamat."
Nabi SAW bersabda:
"Sesungguhnya besarnya pahala itu
bergantung pada besarnya ujian,
sesungguhnya Allah itu apabila Dia
mengasihi sesuatu kaum Dia menguji mereka
dengan kesusahan. Sesiapa yang reda
dengan kesusahan itu akan mendapat
keredaan Allah dan siapa yang tidak reda
maka dia akan menerima kemurkaan Allah.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)
Prasangka antara penyakit hati yang bahaya kerana boleh mewujudkan permusuhan, memutuskan silaturahim, menyemarakkan hasad dengki dan memecahbelahkan umat Islam. Oleh itu, hendaklah kita menjauhi penyakit syak wasangka ini.
Tidak rugi jika kita sentiasa bersangka baik kerana sekurang-kurangnya ia dapat mengelak daripada dijangkiti pelbagai penyakit hati. Bagaimanapun, perlu juga berhati-hati kerana takut ada yang mengambil kesempatan terhadap sifat baik kita.
Rabu, 27 Jun 2012
Rahsia sujud dalam solat
Rahsia sujud dalam solat
SOLAT adalah perintah yang sampaikan Allah secara terus kepada Nabi Muhammad s.a.w berbanding perintah yang lain seperti puasa, zakat dan haji.
Mungkin ada di kalangan kita tidak sedar mengenai hikmah yang tersembunyi ketika sujud.
Tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah yang sia-sia. Malah setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.
Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk iaitu sujud fizikal ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah serta menjauhi larangannya.
Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.
Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat. Daripada Anas, katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Sempurnakanlah sujudmu!
Jangan membentangkan dua siku
seperti anjing (tidur).”
Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan, sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah.
Ketika seseorang mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas dan was-was, terlupa bilangan rakaat dan bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya.
Mereka juga sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi sekitarnya.
Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat supaya mereka tidak dapat sujud lama kerana penat. Apabila sujud, kita digalakkan bertafakur beberapa ketika.
Dari sudut kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain. Ini dibuktikan saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud.
Ahli sains menemui ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Apabila bersujud, darah mengalir ke ruang berkenaan.
Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut.
Jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua-dua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Letakkan hidung dan dahi di atas tempat sujud.
Begitu juga dengan lutut serta jari kaki. Semua anggota itu menentukan sempurna atau tidak sujud seseorang dalam solat seperti yang diperintahkan Rasulullah.
Antara hikmah lain sujud termasuk melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.
Sementara bernafas ketika sujud boleh membetulkan kembali kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya, membetulkan pundi peranakan yang jatuh, melegakan sakit hernia (burut), mengurangkan sakit senggugut ketika haid, melegakan paru-paru daripada ketegangan dan mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.
Selain itu, sujud dapat mengimbangi lingkungan bahagian belakang tubuh, meringankan bahagian pelvis, memberi dorongan supaya mudah tidur, dapat menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung dan otot lebih kuat dan elastik supaya dapat memastikan kelancaran perjalanan darah yang baik.
Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit di bahagian berkenaan, mengurangkan kegemukan, memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.
Sujud yang lama juga menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran.
Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah, padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.
Dari sudut psikologi, sujud membuatkan seseorang hamba berasa rendah diri terhadap Allah dan dapat mengikis sifat sombong, riak dan takbur.
Selasa, 26 Jun 2012
Muhasabah seorang pekerja
Muhasabah seorang pekerja
MENJADI seorang pekerja mungkin agak mudah bagi segelintir daripada kita. Ia mungkin tanggapan yang benar sekiranya kita menyangkakan kerja yang dilaksanakan itu sekadar masuk pada waktu pagi dan keluar pada waktu petang setelah mencukupi lapan jam.
Ataupun mungkin bagi sesetengah daripada kita yang menganggap kerja ialah 'menunjukkan muka di pejabat'. Maka, tentunya ia lebih mudah dan senang.
Namun, Islam tidak menganggap kerja semudah itu. Islam menganggap kerja adalah sebahagian daripada ibadah. Sebagaimana ibadah-ibadah yang lain, seperti mendirikan solat serta berpuasa, kerja yang dilakukan di pejabat juga boleh diterima sebagai ibadah.
Bekerja adalah merupakan tuntutan agama yang perlu dipenuhi. Ini sejajar dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud:
" Tidaklah ada makanan seseorang itu
yang lebih baik daripada apa yang dimakannya
daripada hasil usaha tangannya sendiri. "
(Riwayat al-Bukhari)
Di samping itu, pekerjaan yang kita lakukan bukan sahaja untuk mencari nafkah, tetapi ia dilakukan adalah untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Demikianlah yang digambarkan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlak fi al-Iqtisad al-Islamiy (Peranan Nilai dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam), di mana beliau menyatakan bahawa apabila seseorang itu telah mempunyai kekayaan yang melimpah ruah sehingga dia tidak perlu bekerja untuk dirinya sendiri, namun tetap dia perlu bekerja untuk masyarakat di sekelilingnya sebagai khidmat bakti kepada mereka.
Bukanlah seorang yang benar-benar beriman sekiranya dia hanya tahu berzikir dan melakukan solat siang dan malam. Namun pada waktu yang sama dia meninggalkan tuntutan yang lain seperti bekerja untuk mencari nafkah kepada keluarga.
Justeru, kita mahu supaya kerja yang kita lakukan dianggap sebagai amal soleh di sisi Allah SWT.
Sebagai seorang pekerja, apa yang perlu dicapai ialah kejayaan organisasi. Ini adalah kerana, kejayaan sesebuah organisasi itu menunjukkan kejayaan kepada pekerja-pekerjanya.
Namun, bagaimana sesebuah kejayaan itu dapat diraih? Adakah ia bergantung kepada kemahiran pekerja semata-mata? Atau di sana terdapat unsur-unsur lain yang dapat menyumbang kepada kejayaan tersebut?
Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemahiran dan kepakaran adalah elemen penting bagi membentuk kejayaan. Pun begitu, kita perlu memahami bahawa kemahiran pekerja tidak akan memberikan apa-apa erti sekiranya pekerja itu tidak mempunyai nilai akhlak yang tinggi.
Ini kerana, pekerja yang mempunyai masalah sikap adalah pemusnah kepada pembangunan yang dibangunkan dalam sesebuah institusi. Justeru, ingin ditekankan di sini bahawa sikap dan akhlak yang baik adalah merupakan elemen yang paling penting dalam diri seseorang pekerja itu. Dengan kata lain, kemahiran yang ada pada pekerja perlulah digandingkan dengan akhlak yang baik dan terpuji.
Justeru, marilah kita jadikan tempat kita bekerja sebagai satu 'hamparan sejadah' untuk kita beribadah dan melakukan amal soleh. Mudah-mudahan ia dapat menampung kelemahan yang terdapat pada ibadah-ibadah yang lain.
Isnin, 25 Jun 2012
Beruntunglah sentiasa mengingati Allah
Beruntunglah
sentiasa mengingati Allah
ENTAH berapa puluh ribu perkataan kita berbicara dalam sehari. Setiap masa kita bercakap; ketika berdiri, duduk bangun, baring malah dalam tidur pun masih ‘bercakap’.
Cakap, cakap juga, cuma di celah perkataan yang kita katakan itu ada atau tidak ungkapan zikir yang menyebut nama Pencipta kita? Sedih juga sebab kita adalah ciptaan Allah tetapi lupa nak sebut mengingati-Nya.
Dalam satu hadis yang bermaksud:
“Sesiapa yang banyak menyebut sesuatu
tandanya dia ingat akan benda yang itu.”
Maknanya, jika kita jarang sebut mengenai sesuatu, kita tidak mengingatinya.
Cuba bayangkan kalau kita lupa pada ibu ayah kita, tentunya kita tak ingat kepada mereka. Kalau sudah jarang bertemu ibu ayah itu tandanya kita tidak rindu dan prihatin kepada mereka.
Maka terabailah hak mereka. Apa jadi kalau kita lupa pada anak isteri. Mungkin nafkah tak bagi, mendidik pun tak tahu ke mana, demam sakit tidak ambil peduli.
Orang yang lupa kepada Allah memang rugi dan banyak perkara lain yang akan dilupakan. Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan
janganlah kamu jadi seperti
orang-orang yang lupakan Allah,
maka Dia (Allah) melupakan mereka
terhadap diri mereka sendiri,
mereka itulah orang-orang yang fasik”.
Di sini mari kita lihat betapa beruntungnya kalau kita sentiasa berzikir. Dapat keuntungan berlipat kali ganda walaupun modalnya tidak seberapa iaitu hanya perlukan kesungguhan serta lidah.
Antara keuntungannya ialah:
Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan selepas ia dapat dibersih. Perkara itu hanya tercapai menerusi zikrullah seperti yang dinyatakan dalam ayat berkenaan.
Perkara itu turut dinyatakan dalam beberapa hadis Nabi antaranya hadis yang bermaksud “Hendaklah engkau berzikir dan membaca kitab-Nya sesungguhnya ia adalah nur (hidayah) bagi engkau di dunia ini dan kemasyhuran bagi engkau di langit.”
Zikir adalah penyembuh bagi hati. Hadis itu menyatakan bahawa zikir dan membaca al-Quran adalah nur hidayat yang menerangi hati. Dengan terhasilnya cahaya di dalam hati maka sifat cela yang bersarang di dalamnya akan terhapus dan hati menjadi bersih bersinar.
Zikir berperanan menyedarkan hati yang lalai kerana orang yang melakukan kejahatan, kemudian mereka ingat kepada Allah, maka mereka mengalami kesedaran jiwa (intibah).
Mereka akan menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan kejahatan dirinya. Ini mendorongnya bertaubat dan tidak lagi meneruskan atau mengulangi kesilapan yang lalu. Perkara itu dapat dilihat dalam firman Allah, maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mereka ingat akan Allah, maka mereka terus meminta keampunan bagi dosa-dosa mereka, dan tiada yang mengampunkan dosa kecuali Allah, dan mereka tidak meneruskan lagi apa yang telah mereka lakukan, sedangkan mereka itu mengetahui.
Ayat itu jelas memperlihatkan pengaruh dan kesan zikir ke atas orang yang melakukan dosa. Apabila teringatkan Allah, seseorang itu akan sedar kemudian mendorongnya beristighfar dan bertaubat.
Sebaliknya orang yang melakukan kejahatan mereka tidak mahu bertaubat dan beristighfar kepada Allah. Mereka masih tidak sedar dengan apa yang dilakukannya.
Mereka berterusan melakukan perbuatan jahat sehingga tergolong dalam golongan orang yang fasik sebagaimana firman Allah: Maksudnya: “Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang lupakan Allah, maka Dia (Allah) melupakan mereka terhadap diri mereka sendiri, mereka itulah orang-orang yang fasik.
Zikir berperanan menghapuskan dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong melakukan perkara yang bertentangan dengan suruhan agama.
Ia terjadi apabila zikir menjadi teguh dan menguasai diri manusia. Maka di kala itu dorongan melakukan kejahatan akan terhapus. Berkait dengan persoalan itu Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya golongan mufarridun mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Iaitu mereka yang asyik dalam zikrullah yang mana zikir itu meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan”.
Mengenai hadis itu, al-Dahlawi menjelaskan, apabila nur zikir memasuki akal mereka (golongan mufarridun/ orang-orang yang asyik dengan zikir) dan penumpuan kepada jabarut (sifat keagungan Allah) terukir dalam diri mereka, maka sifat kebinatangan akan terhalang, gelora keinginannya akan terpadam dan bebanan mereka (di akhirat) akan hilang. Hilangnya bebanan mereka di akhirat ialah kerana terpadamnya keinginan nafsu yang menyuruh seseorang itu melakukan perkara kejahatan sehingga dia tidak berkeinginan dan berkecenderungan untuk melakukannya.
Zikir juga berperanan mengukuhkan dan memantapkan keimanan seseorang. Ini kerana keimanan seseorang itu akan menjadi malap kalau tidak diperbaharui dan diperteguhkan.
Pengukuhan keimanan itu ialah dengan cara menanam pengertian tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid. Nabi berpesan kepada sahabat sebagaimana sabda baginda maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: “Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah.
Zikir juga berperanan menghapuskan hijab rohani dan membuka jalan makrifat. Menyebut, memahami, meyakini serta mengingati kalimah tauhid dalam keadaan penuh keikhlasan akan membawa kepada pembukaan pintu makrifat sehingga sampai
ke tingkatan ‘Arash. Mengenai perkara itu Nabi bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu tidak menyebut La Ilaha Illallah dalam keadaan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga membawa kepada ‘Arash selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar.”
Kesan zikir seperti yang dijelaskan itu menjurus kepada penyucian jiwa dan pengukuhan keimanan seterusnya pembinaan sahsiah Muslim berkualiti. Selamat beramal dan berzikir.
Nabi bersabda yang bermaksud:
“Seseorang itu tidak menyebut
La Ilaha Illallah dalam keadaan
ikhlas kecuali dibukakan baginya
pintu-pintu langit sehingga
membawa kepada ‘Arash
selama mana dia menjauhi
dosa-dosa besar.”
Ahad, 24 Jun 2012
Mengapa orang Islam banyak berpuak?
Persoalan Agama:
Berpegang teguh kepada
sunnah Nabi elak perpecahan
Bersama Ustaz Zahazan
USTAZ , mengapa orang Islam banyak berpuak sehingga ada yang sanggup kafir mengkafir. Bukankah Islam mengajar umatnya menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam. Jika tengok di negara lain, ada yang sanggup berbunuhan dan berperang. Mengapa semua ini berlaku dan membabitkan orang Islam.
SYAFIQAH,
FAHAMAN berbeza memang sudah menjadi realiti hingga hari ini dan perkara itu sudah dibincangkan dalam kitab tauhid dan usuluddin. Saya ingin membawakan beberapa buah hadis menceritakan keadaan umat Islam akhir zaman.
Diriwayatkan oleh Tirmizi (yang bermaksud):
“Orang Yahudi telah berfirqah (berpuak)
sebanyak 71 firqah (puak).
Dan orang Nasrani pula berfirqah (berpuak)
sebanyak itu juga.
Dan umatku akan berfirqah (berpuak)
sebanyak 73 firqah (puak).”
Hadis kedua
ialah riwayat Tabarani, Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:
“Demi Tuhan
yang menguasai jiwa Muhammad,
akan berfirqah (berpuak)
umatku sebanyak 73 firqah.
Satu puak masuk ke dalam syurga
dan 72 firqah masuk ke dalam neraka.
Sahabat bertanya:
Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu
wahai Rasulullah? Baginda menjawab:
Firqah yang masuk dalam syurga itu
ialah firqah Ahli Sunnah wal Jamaah.”
Hadis ketiga,
riwayat Tirmizi bahawa Rasulullah SAW
bersabda (yang bermaksud):
“Bahawasanya
Bani Israil telah berfirqah (berpuak)
sebanyak 72 firqah.
Dan akan berfirqah (berpuak)
umatku sebanyak 73 firqah.
Semuanya masuk neraka kecuali satu firqah.
Sahabat bertanya:
Siapakah yang satu firqah itu
wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab:
Firqah yang satu itu ialah orang
yang beriktikad sebagaimana
iktikadku dan iktikad sahabatku.”
Daripada hadis itu dapat kita memahami bahawa Rasulullah SAW telah memberi perkhabaran perkara yang akan berlaku dalam kalangan umat Islam dan khabar itu diterima Baginda daripada Allah SWT secara mukjizat.
Di sini juga kita boleh fahami selepas wafat Rasulullah SAW akan berlaku perbezaan akidah umat Islam sebanyak 73 firqah (puak). Akidah umat Islam yang berpecah menjadi 73 firqah itu kesemua mereka menjadi ahli neraka kecuali firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Umat Islam yang termasuk dalam firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mereka yang akidahnya berpegang dan mengikut akidah Rasulullah SAW dan akidah sahabat Baginda.
Sehubungan itu ada beberapa hadis menyatakan umat Islam akan berpecah beberapa puak yang berbeza dan berlainan akidah antaranya hadis diriwayatkan Imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
“Akan ada
dalam kalangan umatku
30 orang pendusta
yang kesemuanya mendakwa bahawa
ia adalah nabi.
Aku adalah nabi penutup semua nabi.
Tidak ada lagi nabi selepas aku.”
Hadis ini memberi pengertian jelas akan ada umat Nabi SAW yang mengaku nabi padahal Nabi Muhammad SAW adalah Nabi penutup segala nabi.
Diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):
“Maka bahawasanya
sesiapa yang hidup lama di antara kamu,
nescaya akan melihat perselisihan faham yang banyak.
Ketika itu
berpegang teguhlah kepada sunnahku
dan sunnah khulafa ar Rashidin
yang diberi petunjuk.
Berpegang teguhlah dengan sunnah itu
dan
gigitlah dengan geraham sekuat-kuatnya.”
Jelas kepada kita akan berlaku perbezaan akidah dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW dan Baginda menegaskan supaya berpegang teguh dengan sunnahnya dan sunnah khulafa ar Rashidin.
Sabtu, 23 Jun 2012
:)
"Ya ALLAH,
kurniakanlah kami
kebaikan di dunia
dan kebaikan di akhirat,
dan peliharalah kami
dari azab neraka."
(Al-Baqarah : 201)
"Ya ALLAH,
Janganlah Engkau mengirakan
kami salah jika kami
lupa atau kami tersalah.
Ya ALLAH,
Janganlah Engkau
bebankan kepada kami
bebanan yang berat
sebagaimana yang telah
Engkau bebankan kepada
orang-orang yang terdahulu
daripada kami.
Ya ALLAH,
Janganlah Engkau pikulkan
kepada kami apa yang kami
tidak terdaya memikulnya.
Dan
maafkanlah kesalahan kami,
serta ampunkanlah dosa kami,
dan berilah rahmat kepada kami.
Engkaulah Penolong kami;
Oleh itu,
tolonglah kami untuk
mencapai kemenangan terhadap
kaum-kaum yang kafir".
(Al-Baqarah : 286)
"Ya ALLAH,
Janganlah Engkau
memesongkan hati
kami sesudah Engkau
beri petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami
limpah rahmat dari sisiMu;
sesungguhnya Engkau jualah
Tuhan Yang melimpah2
pemberianNya."
('Aali-Imran : 8)
"Ya ALLAH,
Ampunkanlah dosa-dosa
kami dan perbuatan kami yang
melampau dalam urusan kami,
dan
teguhkanlah tapak pendirian kami
(dalam perjuangan); dan tolonglah kami
mencapai kemenangan terhadap kaum
yang kafir."
('Aali-Imran : 147)
"Ya ALLAH,
Janganlah Engkau jadikan kami
bersama orang-orang
yang zalim".
(Al-A'raaf : 47)
"Ya ALLAH,
limpahkanlah kesabaran kepada kami,
dan
matikanlah kami dalam keadaan Islam
(berserah bulat-bulat kepadaMu)".
(Al-A'raaf : 126)
"Ya ALLAH,
jadikanlah daku orang yang
mendirikan sembahyang dan demikianlah
juga zuriat keturunanku.
Ya ALLAH,
perkenankanlah doa permohonanku."
(Ibrahim : 40)
"Ya ALLAH,
kurniakanlah rahmat kepada mereka
berdua (ibubapa) sebagaimana
mereka telah mencurahkan kasih sayangnya
memelihara dan mendidikku semasa kecil."
(Al-Israa': 24 )
"Ya ALLAH,
kurniakanlah kami
rahmat dari sisiMu,
dan
berilah kemudahan-kemudahan serta
pimpinan kepada kami
untuk keselamatan agama kami ".
(Al-Kahfi : 10 )