Ahad, 24 Jun 2012

Mengapa orang Islam banyak berpuak?



Persoalan Agama:



Berpegang teguh kepada

sunnah Nabi elak perpecahan



Bersama Ustaz Zahazan




USTAZ , mengapa orang Islam banyak berpuak sehingga ada yang sanggup kafir mengkafir. Bukankah Islam mengajar umatnya menjaga hubungan persaudaraan sesama Islam. Jika tengok di negara lain, ada yang sanggup berbunuhan dan berperang. Mengapa semua ini berlaku dan membabitkan orang Islam.





SYAFIQAH,
Tanjung Malim, Perak.








FAHAMAN berbeza memang sudah menjadi realiti hingga hari ini dan perkara itu sudah dibincangkan dalam kitab tauhid dan usuluddin. Saya ingin membawakan beberapa buah hadis menceritakan keadaan umat Islam akhir zaman.






Diriwayatkan oleh Tirmizi (yang bermaksud):




“Orang Yahudi telah berfirqah (berpuak)

sebanyak 71 firqah (puak).

Dan orang Nasrani pula berfirqah (berpuak)

sebanyak itu juga.

Dan umatku akan berfirqah (berpuak)

sebanyak 73 firqah (puak).”







Hadis kedua
ialah riwayat Tabarani, Rasulullah SAW bersabda
yang bermaksud:





“Demi Tuhan

yang menguasai jiwa Muhammad,

akan berfirqah (berpuak)

umatku sebanyak 73 firqah.

Satu puak masuk ke dalam syurga

dan 72 firqah masuk ke dalam neraka.

Sahabat bertanya:

Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu

wahai Rasulullah? Baginda menjawab:

Firqah yang masuk dalam syurga itu

ialah firqah Ahli Sunnah wal Jamaah.”







Hadis ketiga,
riwayat Tirmizi bahawa Rasulullah SAW
bersabda (yang bermaksud):





“Bahawasanya

Bani Israil telah berfirqah (berpuak)

sebanyak 72 firqah.

Dan akan berfirqah (berpuak)

umatku sebanyak 73 firqah.

Semuanya masuk neraka kecuali satu firqah.

Sahabat bertanya:

Siapakah yang satu firqah itu

wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab:

Firqah yang satu itu ialah orang

yang beriktikad sebagaimana

iktikadku dan iktikad sahabatku.”






Daripada hadis itu dapat kita memahami bahawa Rasulullah SAW telah memberi perkhabaran perkara yang akan berlaku dalam kalangan umat Islam dan khabar itu diterima Baginda daripada Allah SWT secara mukjizat.






Di sini juga kita boleh fahami selepas wafat Rasulullah SAW akan berlaku perbezaan akidah umat Islam sebanyak 73 firqah (puak). Akidah umat Islam yang berpecah menjadi 73 firqah itu kesemua mereka menjadi ahli neraka kecuali firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah.






Umat Islam yang termasuk dalam firqah Ahli Sunnah Wal Jamaah ialah mereka yang akidahnya berpegang dan mengikut akidah Rasulullah SAW dan akidah sahabat Baginda.







Sehubungan itu ada beberapa hadis menyatakan umat Islam akan berpecah beberapa puak yang berbeza dan berlainan akidah antaranya hadis diriwayatkan Imam at-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):






“Akan ada

dalam kalangan umatku

30 orang pendusta

yang kesemuanya mendakwa bahawa

ia adalah nabi.

Aku adalah nabi penutup semua nabi.

Tidak ada lagi nabi selepas aku.”







Hadis ini memberi pengertian jelas akan ada umat Nabi SAW yang mengaku nabi padahal Nabi Muhammad SAW adalah Nabi penutup segala nabi.






Diriwayatkan Abu Daud, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud):





“Maka bahawasanya

sesiapa yang hidup lama di antara kamu,

nescaya akan melihat perselisihan faham yang banyak.

Ketika itu

berpegang teguhlah kepada sunnahku

dan sunnah khulafa ar Rashidin

yang diberi petunjuk.

Berpegang teguhlah dengan sunnah itu

dan

gigitlah dengan geraham sekuat-kuatnya.”







Jelas kepada kita akan berlaku perbezaan akidah dalam kalangan umat Nabi Muhammad SAW dan Baginda menegaskan supaya berpegang teguh dengan sunnahnya dan sunnah khulafa ar Rashidin.











Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.