Isnin, 25 Jun 2012

Beruntunglah sentiasa mengingati Allah




Beruntunglah

sentiasa mengingati Allah



ENTAH berapa puluh ribu perkataan kita berbicara dalam sehari. Setiap masa kita bercakap; ketika berdiri, duduk bangun, baring malah dalam tidur pun masih ‘bercakap’.




Cakap, cakap juga, cuma di celah perkataan yang kita katakan itu ada atau tidak ungkapan zikir yang menyebut nama Pencipta kita? Sedih juga sebab kita adalah ciptaan Allah tetapi lupa nak sebut mengingati-Nya.




Dalam satu hadis yang bermaksud:



“Sesiapa yang banyak menyebut sesuatu

tandanya dia ingat akan benda yang itu.”




Maknanya, jika kita jarang sebut mengenai sesuatu, kita tidak mengingatinya.





Cuba bayangkan kalau kita lupa pada ibu ayah kita, tentunya kita tak ingat kepada mereka. Kalau sudah jarang bertemu ibu ayah itu tandanya kita tidak rindu dan prihatin kepada mereka.






Maka terabailah hak mereka. Apa jadi kalau kita lupa pada anak isteri. Mungkin nafkah tak bagi, mendidik pun tak tahu ke mana, demam sakit tidak ambil peduli.






Orang yang lupa kepada Allah memang rugi dan banyak perkara lain yang akan dilupakan. Allah berfirman yang bermaksud:





“Dan


janganlah kamu jadi seperti


orang-orang yang lupakan Allah,


maka Dia (Allah) melupakan mereka


terhadap diri mereka sendiri,


mereka itulah orang-orang yang fasik”.





Di sini mari kita lihat betapa beruntungnya kalau kita sentiasa berzikir. Dapat keuntungan berlipat kali ganda walaupun modalnya tidak seberapa iaitu hanya perlukan kesungguhan serta lidah.





Antara keuntungannya ialah:

  • Menggilap dan menyucikan hati daripada kekotoran sifat tercela. Perkara itu dapat dilihat antaranya dalam firman Allah yang bermaksud: “(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

    Hati akan mencapai hakikat ketenteraman, ketenangan dan kebahagiaan selepas ia dapat dibersih. Perkara itu hanya tercapai menerusi zikrullah seperti yang dinyatakan dalam ayat berkenaan.

    Perkara itu turut dinyatakan dalam beberapa hadis Nabi antaranya hadis yang bermaksud “Hendaklah engkau berzikir dan membaca kitab-Nya sesungguhnya ia adalah nur (hidayah) bagi engkau di dunia ini dan kemasyhuran bagi engkau di langit.”

    Zikir adalah penyembuh bagi hati. Hadis itu menyatakan bahawa zikir dan membaca al-Quran adalah nur hidayat yang menerangi hati. Dengan terhasilnya cahaya di dalam hati maka sifat cela yang bersarang di dalamnya akan terhapus dan hati menjadi bersih bersinar.


  • Zikir adalah penyedar hati yang lalai dan pendorong kepada taubat.

    Zikir berperanan menyedarkan hati yang lalai kerana orang yang melakukan kejahatan, kemudian mereka ingat kepada Allah, maka mereka mengalami kesedaran jiwa (intibah).

    Mereka akan menyedari kesilapan, dosa, keaiban dan kejahatan dirinya. Ini mendorongnya bertaubat dan tidak lagi meneruskan atau mengulangi kesilapan yang lalu. Perkara itu dapat dilihat dalam firman Allah, maksudnya: “Dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perkara keji atau menzalimi diri mereka sendiri, lalu mereka ingat akan Allah, maka mereka terus meminta keampunan bagi dosa-dosa mereka, dan tiada yang mengampunkan dosa kecuali Allah, dan mereka tidak meneruskan lagi apa yang telah mereka lakukan, sedangkan mereka itu mengetahui.

    Ayat itu jelas memperlihatkan pengaruh dan kesan zikir ke atas orang yang melakukan dosa. Apabila teringatkan Allah, seseorang itu akan sedar kemudian mendorongnya beristighfar dan bertaubat.

    Sebaliknya orang yang melakukan kejahatan mereka tidak mahu bertaubat dan beristighfar kepada Allah. Mereka masih tidak sedar dengan apa yang dilakukannya.

    Mereka berterusan melakukan perbuatan jahat sehingga tergolong dalam golongan orang yang fasik sebagaimana firman Allah: Maksudnya: “Dan janganlah kamu jadi seperti orang-orang yang lupakan Allah, maka Dia (Allah) melupakan mereka terhadap diri mereka sendiri, mereka itulah orang-orang yang fasik.


  • Zikir adalah penghapus dorongan hawa nafsu.

    Zikir berperanan menghapuskan dorongan hawa nafsu jahat yang menguasai diri sehingga seseorang terdorong melakukan perkara yang bertentangan dengan suruhan agama.

    Ia terjadi apabila zikir menjadi teguh dan menguasai diri manusia. Maka di kala itu dorongan melakukan kejahatan akan terhapus. Berkait dengan persoalan itu Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya golongan mufarridun mendahului. Siapa mufarridun itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Iaitu mereka yang asyik dalam zikrullah yang mana zikir itu meletakkan (meringankan/melepaskan) bebanan mereka, maka mereka akan datang pada hari kiamat dalam keadaan ringan”.

    Mengenai hadis itu, al-Dahlawi menjelaskan, apabila nur zikir memasuki akal mereka (golongan mufarridun/ orang-orang yang asyik dengan zikir) dan penumpuan kepada jabarut (sifat keagungan Allah) terukir dalam diri mereka, maka sifat kebinatangan akan terhalang, gelora keinginannya akan terpadam dan bebanan mereka (di akhirat) akan hilang. Hilangnya bebanan mereka di akhirat ialah kerana terpadamnya keinginan nafsu yang menyuruh seseorang itu melakukan perkara kejahatan sehingga dia tidak berkeinginan dan berkecenderungan untuk melakukannya.


  • Zikir adalah pengukuh keimanan.

    Zikir juga berperanan mengukuhkan dan memantapkan keimanan seseorang. Ini kerana keimanan seseorang itu akan menjadi malap kalau tidak diperbaharui dan diperteguhkan.

    Pengukuhan keimanan itu ialah dengan cara menanam pengertian tauhid ke dalam jiwa menerusi jalan zikir kalimah tauhid. Nabi berpesan kepada sahabat sebagaimana sabda baginda maksudnya: “Perbaharuilah iman kamu. Baginda ditanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana kami dapat memperbaharui iman kami? Baginda bersabda: “Perbanyakkanlah menyebut La Ilaha Illallah.


  • Zikir adalah penghapus hijab rohani dan pembuka jalan makrifat.

    Zikir juga berperanan menghapuskan hijab rohani dan membuka jalan makrifat. Menyebut, memahami, meyakini serta mengingati kalimah tauhid dalam keadaan penuh keikhlasan akan membawa kepada pembukaan pintu makrifat sehingga sampai
    ke tingkatan ‘Arash. Mengenai perkara itu Nabi bersabda yang bermaksud: “Seseorang itu tidak menyebut La Ilaha Illallah dalam keadaan ikhlas kecuali dibukakan baginya pintu-pintu langit sehingga membawa kepada ‘Arash selama mana dia menjauhi dosa-dosa besar.”

    Kesan zikir seperti yang dijelaskan itu menjurus kepada penyucian jiwa dan pengukuhan keimanan seterusnya pembinaan sahsiah Muslim berkualiti. Selamat beramal dan berzikir.


  • Nabi bersabda yang bermaksud:


    “Seseorang itu tidak menyebut

    La Ilaha Illallah dalam keadaan

    ikhlas kecuali dibukakan baginya

    pintu-pintu langit sehingga

    membawa kepada ‘Arash

    selama mana dia menjauhi

    dosa-dosa besar.”




    Sumber


    Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.