Ubat kerinduan orang tua
sebelum ajal menjemput
Allah SWT juga secara tegas mengharamkan segala bentuk penderhakaan kepada kedua-dua orang tua selagi ibu bapa berada atas landasan syarak.
“Dan Tuhanmu telah perintahkan,
supaya engkau
tidak menyembah melainkan kepada-Nya,
dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada kedua ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya,
atau kedua-duanya sekali,
sampai kepada umur tua dalam
jagaan dan peliharaanmu,
maka janganlah engkau berkata kepada keduanya
sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau
menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka
perkataan yang mulia.”
(Surah al-Israa’, ayat 23)
Jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Jika hendak makan, kita lebih suka ibu yang masak dan suapkan. Jika ingin tidur, kita mahu ibu yang tidurkan. Jika ingin berkahwin, ibu juga yang kita risaukan. Malah sehingga saat menghadapi kematian pun, kita akan menyebut nama ibu.
Kuatnya ingatan anak kepada ibu ialah kerana ibulah yang mengandungkan kita, menyusukan, menyuapkan makan dan minum, mendodoi dan menidurkan, membersihkan najis dan segala kotoran di badan kita.
Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik
kepada kedua ibu bapanya;
ibunya telah mengandungnya dengan menanggung
kelemahan atas kelemahan dan menceraikan susunya
dalam masa dua tahun; bersyukurlah kepada-Ku
dan kepada kedua ibu bapamu; dan kepada
Akulah tempat kembalimu.”
(Surah Luqman, ayat 14)
Ingatlah, ibu bapa adalah perantara yang menyebabkan kita berada di dunia ini. Mereka terlalu banyak berkorban tenaga, masa dan harta demi kebahagiaan anak. Sedarilah, ibu bapa kita kini telah tua, lemah tenaga, kabur penglihatan dan kurang pendengaran.
Mereka sangat mengharapkan pertolongan dan perhatian anak. Gembiralah ibu bapa andainya mereka dikasihi serta dimuliakan dan hancurlah hati ibu bapa jika kita menderhaka. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan tidak mungkin kita dapat menebusnya.
Imam Bukhari meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah mengenai seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sesudah selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar: Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku? Jawab Ibnu Umar: Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.
Amat dukacita kerana masih ada kes penderhakaan yang dilakukan segelintir masyarakat terhadap ibu. Menunjukkan kedegilan melawan cakap ibu, lari meninggalkan rumah kerana tidak suka dinasihati ibu, membiarkan ibu yang sakit bersendirian, meminggirkan ibu tanpa khabar berita, mengherdik ibu, mengkhianati harta benda ibu, menjadikan ibu sebagai orang gaji, malah ada sanggup memukul ibu.
Apa yang ganjilnya, ada segelintir daripada kita yang berebut-rebut mencium tangan orang lain tetapi jarang sekali mencium tangan ibu sendiri yang sebenarnya ada keberkatan. Insaflah, perbuatan menderhakai ibu bapa mendatangkan kecelakaan di dunia dan akhirat.
Di dunia kita akan menerima giliran anak menderhaka kepada kita dan begitulah seterusnya. Manakala di akhirat, akan menerima kemurkaan Allah SWT selaras hadis diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Amat malanglah!
Amat malanglah!
Dan amat malanglah.
Maka Rasulullah ditanya:
Siapakah orang yang amat malang itu
wahai Rasulullah?
Baginda menjawab:
Seseorang yang mendapati kedua ibu bapanya
atau salah seorang daripada keduanya telah tua
namun dia masih gagal memasuki syurga
(lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”
Marilah kita bersegera mengubat kerinduan ibu sebelum mereka didatangi ajal. Gembirakanlah mereka dan carilah keredaan mereka serta perbanyakkan doa keampunan kepada mereka. Budayakan amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan dan jangan hanya dibuat pada masa tertentu saja.
Inilah kewajipan anak yang ditegaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud:
“Dan
rendahkanlah dirimu kepada keduanya
kerana belas kasihan dan kasih sayangmu,
dan doakanlah:
Wahai Tuhanku!
Kasihanilah mereka berdua
sebagaimana mereka telah memelihara
dan mendidikku semasa kecil.”
(Sural al-Israa’, ayat 24)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.