Rabu, 9 Mei 2012

Kibir pencetus penyakit hati, rosakkan hubungan sesama insan




Kibir pencetus penyakit hati,


rosakkan hubungan sesama insan



KIBIR mengikut istilah Melayunya ialah
sombong atau angkuh,
manakala dalam bahasa moden disebut ego
. Dalam syariat Islam kibir diertikan
sebagai membesarkan diri kerana
merasakan diri lebih dan istimewa berbanding dengan orang lain.








Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hambali berkata,
orang yang sombong adalah orang yang
memandang dirinya sempurna segala-galanya,
dia memandang orang lain rendah, meremehkannya
dan menganggap orang lain itu tidak layak
mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong
menerima kebenaran daripada orang lain.








Sifat kibir mengheret seseorang itu
untuk membesarkan diri kerana hati merasakan diri
mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan berbanding orang lain. Ia adalah sifat batin yang paling keji. Bahkan sindrom ini amat tercela dan jika dibiarkan boleh memudaratkan manusia.









Penyakit sombong melahirkan sakit lain
seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki.
Akibatnya tercetus kerosakan dalam kehidupan masyarakat
seperti hilang kasih sayang, pecahnya ikatan perpaduan,
hina-menghina dan kata-mengata.






Firman Allah yang bermaksud:






“Sesungguhnya

Allah tidak suka kepada orang yang sombong.”


(Surah An Nahl, ayat 23)









Manusia dilarang bersikap sombong kerana
kita adalah makhluk yang lemah.
Layakkah makhluk yang lemah bermegah-megah
dan sombong di hadapan penguasa langit dan bumi?
Namun, ada yang lupa hakikat dan sukar
menerima kebenaran dengan memandang dirinya
sempurna segala-galanya.









Orang yang memiliki sifat ini amat kasihkan kemegahan,
kebesaran dan pangkat. Sifat ini boleh mengakibatkan
pekerjaan itu tidak ikhlas dan menganiaya dirinya sendiri.
Membiarkan individu berperangai buruk ini
amat berbahaya disisi agama.












Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:







“Tidaklah serigala yang buas itu

jika dilepaskan di kandang kambing

lebih berbahaya daripada seorang

yang cintakan pangkat, harta dan kemegahan

pada keadaan agama seorang Muslim.”

(Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’ie)











Fitrah semula jadi manusia tidak suka kepada
orang yang bersifat sombong ini. Hati yang membenci
kesombongan ini kerana meleraikan kasih sayang
dan jalinan ukhuwah berpunca daripada
sifat merendah-rendahkan orang lain.










Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:





“Kesombongan itu

adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.”

(Hadis riwayat Muslim)









Mengenali orang yang bersifat sombong ini amat mudah.
Individu yang dilanda penyakit hati ini enggan
menerima pandangan orang lain, sekalipun betul.










Sifat menyombong diri jika dibiarkan boleh memakan diri sendiri. Soal dosa dan pahala tidak diendahkan langsung demi kepentingan diri.
Mereka melupakan segala pengajaran daripada
sifat angkuh dan sombong diceritakan
dalam al-Quran yang sepatutnya menjadi pengajaran.









Kesalahan pertama yang dilakukan
makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong.
Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam sewaktu
Allah memerintahkannya. Iblis merasakan dia lebih mulia
daripada Nabi Adam kerana dijadikan daripada api
sedangkan Nabi Adam daripada tanah.










Disebabkan kesombongan itu,
Allah mengeluarkan iblis dari syurga.
Episod dendam iblis kepada Nabi Adam dan anak cucu cicitnya
tidak pernah terpadam.









Penyakit sombong melahirkan sakit lain
seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki.
Akibatnya tercetus kerosakan dalam kehidupan masyarakat
seperti hilang kasih sayang, pecahnya ikatan perpaduan,
hina-menghina dan kata-mengata.












Sifat sombong perlu dijauhi supaya hati
tidak dijangkiti penyakit lain yang hanya membawa diri kita
kepada kerosakan. Bersihkan jiwa dengan
menanamkan rasa kasih sayang, sentiasa bersyukur
kepada Allah dan mengingati tujuan manusia dihidupkan
untuk beribadat kepada Allah dan mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.