Isnin, 14 Mei 2012

Perbetul niat terlebih dulu




Perbetul niat terlebih dulu

dalam raikan Hari Ibu




KEDUDUKAN ibu sangat mulia di sisi Islam. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh ibu demi membesarkan anak seperti mengandung sembilan bulan, bertarung nyawa melahirkan anak, berjaga malam menjaga anak yang sakit dan memenuhi apa saja kehendak anak.







Pengorbanan ibu kepada anak itu tidak mungkin dapat dibalas dengan wang ringgit dan kemewahan semata-mata. Oleh itu, wajib anak berbuat baik dan berbakti kepada ibu mereka terutama selepas meningkat dewasa dan bukannya menjadi anak yang ‘seperti kacang lupakan kulit’.








Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami perintahkan kepada manusia (supaya berbuat baik) kepada kedua orang tuanya, ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya selama dua tahun, bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua orang tuamu, hanya kepada Aku kembalimu.” (Surah Lukman, ayat 14)






Hari Ibu yang diraikan pada Ahad minggu kedua Mei setiap tahun kini menjadi aktiviti kekeluargaan termasuk masyarakat di Malaysia. Namun, timbul persoalan apakah hukum meraikan Hari Ibu kerana ulama berselisih pandangan mengenainya.









Ada ulama mengharamkan sambutan ini kerana dikatakan bersifat bid’ah dalam agama dan meniru budaya barat. Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi: “Hari Ibu ini timbul kerana pihak orientalis atau doktrin barat memikirkan inilah cara terbaik untuk menarik minat anak remaja barat menghormati orang tua mereka.










Umumnya kita tahu masyarakat barat amat tipis dengan adab tatasusila, jadi dengan mengadakan dan mengkhususkan hari-hari tertentu dapat memupuk remaja mereka menyayangi dan menghormati orang tua mereka.”









Di sini, ditakuti orang Islam mengikut budaya barat ini secara buta-tuli dari segi cara sambutan dan adab pergaulan ketika sambutan serta tidak mempedulikan nilai Islam dalam meraikannya.









Manakala Profesor Tafsir dan Ilmu al-Quran di Universiti Al-Azhar, Dr Muhammad Bakar Ismail, berpandangan sambutan Hari Ibu adalah harus kerana meraikan serta memuliakan ibu seperti pada Hari Ibu adalah bid’ah dalam perkara adat dan bukan ibadat.








Bid’ah dalam adat adalah tidak disuruh oleh Islam dan tidak juga dilarang kecuali ia menghubungkan dengan agama daripada dekat atau jauh. Jika adat ini lahir daripada pengiktirafan kepada kecantikan dan menyeru kepada berlaku baik dan ihsan kepada orang yang berhak mendapat kebaikan seperti ibu, bapa, datuk dan nenek, maka Islam memberkati dan memperakui adat sebegini.









Manakala jika adat ini lahir daripada perkara sebaliknya, dan melakukannya juga membabitkan perkara yang buruk dan dilarang Islam seperti pemborosan, pembaziran, kelalaian dan berbangga-bangga, maka Islam melarang daripadanya.










Jika dilihat dari segi keharusan sambutan ini, ia lebih banyak membawa kebaikan. Pertamanya, sesuatu perbuatan itu mestilah disertakan dengan niat yang baik. Walaupun amalan itu pada asasnya harus, namun ia boleh menjadi haram apabila disertai niat yang bertentang syariat.










Sambutan Hari Ibu adalah tanda pengiktirafan anak terhadap pengorbanan ibu kepada mereka dan sambutan yang dianjurkan bertujuan membahagiakan ibu. Hari Ibu juga menjadi wasilah untuk merapatkan hubungan anak dengan ibu bapa serta mengeratkan hubungan sesama adik-beradik.











Sebagai hari istimewa, semua ahli keluarga berkumpul dan dari situ terbitlah ikatan yang sejati dan melahirkan suasana penuh kasih sayang, saling mencintai antara satu sama lain.










Jabatan Mufti Selangor telah mengeluarkan kenyataan berkenaan sambutan Hari Ibu yang dianjurkan Islam antaranya, sambutan yang dilakukan sebaik-baiknya secara sederhana, tidak melalaikan tanggungjawab seorang Muslim terhadap Allah SWT dan tidak bersifat membazir.










Di samping itu, sebaik-baik sambutan adalah dengan mengadakan sembahyang berjemaah bersama ahli keluarga, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, pesanan dan nasihat yang baik serta dalam suasana mahabbah.










Oleh itu, penting bagi masyarakat Islam membetulkan niat terlebih dulu dalam meraikan sambutan Hari Ibu ini supaya sambutan dirahmati dan tidak terkeluar daripada landasan syariat Islam yang digariskan Allah SWT untuk hambaNya.







Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.