Isnin, 6 Februari 2012

'Rasulullah adalah manusia, tetapi bukan seperti manusia'










'Rasulullah adalah manusia,


tetapi bukan seperti manusia'



Oleh Ustaz Zaman







MUHAMMAD SAW adalah seorang insan terpilih
daripada kalangan Bani Hashim untuk menyampaikan risalah rabbaniah
kepada umat manusia. Dilahirkan daripada sulbi Abdullah dan Aminah
di kota suci Makkah ketika perhambaan kepada manusia semakin memuncak.







Tiada nas sahih dan nyata bagi ulama dan hadis bahawa
Baginda SAW adalah makhluk yang mula-mula dicipta di muka bumi ini.
Ada pendapat yang menyatakan ciptaan terawal adalah qalam.
Ada yang menyatakan ciptaan terawal adalah akal.
Namun, daripada riwayat kelahiran Baginda SAW menyebut bahawa
Allah SWT menciptakan secebis daripada nur-Nya dan berkata:





‘Jadikanlah kamu sebagai Muhammad’,

dan itulah ciptaan terawal yang mana kerana Baginda,

Allah mencipta langit dan bumi sehingga

ada yang berselawat ‘Selawat

dan salam buatmu (Muhammad SAW)

wahai orang yang mula-mula diciptakan’.








Bagaimanapun dalil di atas tidak dapat dijadikan hujah kuat
menurut ahli hadis di atas perkara demikian kerana
pujian daripada Allah SWT untuk Baginda SAW di dalam al-Quran
adalah ciri-ciri kelebihan yang ada padanya melalui firman-Nya:







“Sesungguhnya engkau

(Wahai Muhammad)

mempunyai pekerti tinggi dan mulia.”



(Surah Al-Qalam ayat 4).








Apa yang jelas di sini, Baginda adalah manusia biasa
yang dipilih untuk menyampaikan risalah Tuhan-Nya.
Banyak bukti menerusi firman Allah SWT yang mengangkat martabat
Nabi Muhammad SAW antaranya,





“Katakanlah

(wahai Muhammad)


bahawa aku adalah manusia

seperti kamu yang menerima wahyu.”



(Surah al-Kahfi ayat 110).




“Katakanlah

Maha Suci Tuhan

bahawa aku

adalah manusia biasa.”



(Surah al-Isra’ ayat 93).






Baginda juga menghadapi
kematian dan soalan Malaikat.






Firman Allah SWT:







“Dan ingatlah

tatkala Allah SWT

mengumpulkan semua rasul,

lalu ditanyakan mengenai jawapan kaum mereka

terhadap seruan Allah SWT.

Rasul menjawab sesungguhnya Engkaulah Allah

yang maha mengetahui.”





(Surah al-Maidah ayat 109).







“Sesungguhnya

engkau (Muhammad)

akan mati seperti mereka juga.”




(Surah az-Zumar ayat 30).









Ia menunjukkan bahawa Baginda SAW adalah ciptaan
yang sama seperti manusia lain dari pandangan lahiriah
dan mata kasar (maddah).
Tetapi pada pandangan kenabian dan risalah,
Baginda adalah cahaya penyuluh kepada hakikat dan kebenaran.








Firman Allah SWT:






“Dan kamu (Muhammad)

sebagai penyeru kepada agama Allah

dengan izinnya dan sebagai cahaya yang menerangi.”




(Surah al-Ahzab ayat 46).






Allah turut menyeru ahli kitab dengan sabdanya:






“Sesungguhnya

telah datang kepada kamu

sekalian cahaya (Muhammad)

dan kitab yang memberi penjelasan.”





(Surah al-Maidah ayat 15).








Baginda juga digambarkan sebagai cahaya dan banyak riwayat
menyebut mengenai cahaya yang terpancar pada wajah
Baginda SAW ketika berhadapan dengan sahabat RA.





Baginda pernah berdoa:







‘Ya Allah,

jadikanlah lubuk hatiku,

pandanganku, pendengaranku, tulang dan dagingku,

rambut serta di kiri dan kananku

sebagai cahaya bersinar’.





(Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Abbas).









Alangkah baiknya doa ini diamalkan umat Islam
bagi menggantikan amalan syirik yang dilakukan sesetengah pihak
hanya semata-mata untuk memperlihatkan wajah yang cantik berseri.







Tidak kurang pula yang membelanjakan ribuan ringgit
setiap bulan untuk tujuan itu.
Mereka perlu disedarkan bahawa amalan syirik
adalah satu dosa besar.
Pembaziran masa dan wang ringgit
adalah satu sifat buruk yang dilarang agama.







Dari kesan fizikal yang ada pada Baginda SAW
amatlah berbeza dari manusia biasa yang mana sahabat
pernah mengambil keberkatan dari wuduk Baginda SAW
serta menjadikan peluh Baginda sebagai wangi-wangian.







Najis yang ditinggalkan oleh Baginda ditelan bumi sehingga tidak dapat dikesan oleh sahabat. Rambut yang dicukur Baginda SAW juga disimpan oleh sahabat untuk mendapat keberkatan serta penawar untuk menyembuhkan penyakit.





Sempena menyambut Maulidur Rasul pada tahun ini,
marilah sama-sama kita hayati kehidupan Baginda SAW
serta mencontohi dan mengamalkan segala apa
yang ditinggalkan Baginda SAW.







Marilah kita mengambil jalan selamat supaya masyarakat
tidak keliru dengan kenyataan yang dibuat mengenai diri Baginda SAW.
Ulama yang berbeza pendapat boleh bertemu dan bermusyawarah
sebelum apa-apa keputusan dibuat demi kesatuan masyarakat seluruhnya.






Firman Allah maksud :




“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad),

melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Katakanlah (wahai Muhammad):

“Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku

(mengenai ketuhanan ialah) bahawa Tuhan kamu

hanyalah Tuhan yang bersifat Esa,

maka adakah kamu mahu menurut

apa yang diwahyukan kepadaku.”






Benarlah ungkapan Arab menyebut




“Wahai Muhammad,

kamu adalah manusia

tetapi

kamu bukan seperti manusia”.












Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.