Maulidur Rasul diperkenal
pada zaman Dinasti Fatimiyah
Bersama Ustaz Zahazan
“Sesiapa yang membuat Maulidur Nabi Muhammad SAW
akan mendapat pahala seperti pahala jihad.”
Adakah selawat tidak diterima sekiranya kita berselawat
tanpa menyebut keluarga Nabi dan bagaimanakah cara selawat
yang sebaik-baiknya? Harap dapat berikan penjelasan.
FIKRI,
SAYA tidak pernah bertemu dengan riwayat sedemikian,
sama ada daripada Saidina Usman bin Affan atau sesiapa saja
yang mengatakan bahawa pahala memperingati dengan membuat
perayaan ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW
sama dengan pahala jihad.
saya sangat meragukan kebenarannya.
Antara sebabnya kerana perayaan Maulidur Rasul ini
belum dikenali pada zaman Saidina Usman, bahkan juga
pada abad pertama hijrah. Sebenarnya perayaan Maulidur Rasul baru
diperkenalkan pada zaman Dinasti Fatimiyah abad keempat hijriah
di Mesir dan negara lain.
Ada juga berpandangan bahawa orang yang pertama
melakukannya di Mushil, Iraq ialah Syeikh Umar Muhammad al-Mala’.
Kemudian ditiru al-Malik al-Muzaffar Abu Sa’id di kota Irbil.
Ketika itu dibacakan sebuah buku kisah kelahiran Nabi SAW
yang bernama ‘at-Tanwir fi Maulid al-Basyir an-Nadzir’.
Al-Malik al-Muzaffar menghadiahkan kepada pengarang buku itu seribu dinar.
Sejak itu perayaan Maulidur Rasul dibuat dengan memperdengarkan kisah
perjuangan dan budi pekerti atau akhlak Nabi SAW,
sambil memperbanyakkan sedekah dan menampakkan kegembiraan.
Untuk soalan kedua, dalam surah al-Ahzab ayat 56,
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah dan semua malaikat-Nya
berselawat kepada Nabi, wahai orang yang beriman,
berselawatlah kepadanya dan bertaslimlah dengan
taslim yang sempurna.”
Kalau kita perhatikan, ayat itu meminta berselawat dan taslim
kepada Nabi Muhammad SAW. Oleh itu, dari segi hukum
tidaklah menjadi kesalahan sekiranya ia hanya menyebut:
“Sallallahu ‘alaihi wa sallam.”
Tetapi ada riwayat yang lain yang menyatakan bahawa
Baginda bertanya kepada sahabat:
“Tahukah kamu siapakah orang yang kedekut?
Sahabat menjawab:
“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Baginda menjawab:
Dia adalah orang yang berselawat kepadaku
tanpa menyebut keluargaku.”
Justeru, sebaik-baiknya apabila kita hendak berselawat,
eloklah kita menyebut nama keluarga Baginda.
Namun tidaklah bermakna kalau kita berselawat tanpa menyebut
keluarga Nabi Muhammad SAW, maka selawat itu akan tertolak.
Seterusnya, cara selawat yang terbaik ialah seperti yang
diterangkan dalam hadis apabila turunnya ayat 56 surah al-Ahzab,
maka sahabat bertanya kepada Nabi SAW:
“Wahai Rasul,
kami telah mengetahui salam, maka
bagaimanakah selawat untukmu?
Baginda SAW bersabda:
" Ucapkanlah “Allahumma salli ‘ala Muhammad
wa ‘ala ali Muhammad, Kama sallaita ‘ala Ibrahim
wa ‘ala ali Ibrahim. Innaka hamidum majid.
Allahumma barik ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad,
Kama barakta ‘ala Ibrahim wa ‘Ala ali Ibrahim.
Innaka hamidum majid.”
Maksudnya,
“Ya Allah,
berilah selawat ke atas Muhammad
dan keluarga Muhammad seperti mana Engkau berselawat
ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia.
Ya Allah, berkatilah ke atas Muhammad dan
ke atas keluarga Muhammad seperti mana Engkau
memberkati ke atas Ibrahim dan ke atas keluarga Ibrahim,
sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Mulia”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.