Sirah nabi jadi iktibar hidup
MEMPELAJARI serta menghayati sejarah adalah perkara
yang cukup penting bagi kita tidak kira sama ada
sejarah peribadi individu ulung, bangsa,
kelompok masyarakat serta peradaban manusia.
Pengajaran yang diambil bukan hanya sekadar
mengetahui mengenai perjalanan atau riwayat hidup manusia
namun paling penting ialah mengambil panduan, iktibar dan pengajaran
daripada perjalanan hidup generasi terdahulu.
Menyelidiki sejarah boleh membuatkan seseorang itu
berubah menjadi lebih cemerlang dan positif.
Malah ia dapat mendidik manusia supaya tidak sombong
sekiranya dapat mengecapi nikmat kejayaan kerana mereka tahu
ada yang lebih baik daripadanya.
Begitu juga jika ditimpa derita atau musibah
mereka dapat menghadapinya kerana memikirkan pasti ada
golongan manusia yang lebih malang daripada mereka sebelum ini.
Dalam kisah Nabi Ismail a.s,
ketika bapanya Nabi Ibrahim a.s menerima perintah Allah
supaya menyembelihnya, baginda Nabi Ismail menjawab,
Insya-Allah dirinya akan termasuk dalam golongan orang yang sabar
dengan perintah itu kerana baginda tahu ada orang terdahulu
yang lebih lagi kesabarannya dengan ujian Allah sebelum ini.
Maka sekiranya kita mahu menjadi manusia baik,
positif dan cemerlang seperti nabi junjungan besar
kita Muhammad SAW caranya tentulah dengan mempelajari
sirah serta sejarah baginda iaitu dari lahirnya hingga hari kewafatannya.
Banyak manfaatnya mempelajari sirah nabi
antaranya kita akan lebih banyak memahami peribadi Rasulullah.
Semakin banyak kita mengenal peribadi Rasulullah,
semakin kita menyedari kekurangan diri, juga semakin banyak teladan
yang dapat diambil daripadanya.
Bagi yang mengambil iktibar,
mereka akan berusaha mendekatkan jurang perbezaan itu.
Siapalah kita jika dibandingkan dengan peribadi Rasulullah.
Mari kita renungi contoh ini:
Satu hari isteri baginda Aisyah menunggu kepulangan baginda
untuk membukakan pintu sehinggalah lewat malam.
Kerana lama menunggu, Aisyah tertidur.
Rasulullah pulang lalu memberi salam serta mengetuk pintu
hingga tiga kali tetapi Aisyah tidak tersedar,
lalu Rasulullah tidur di luar rumahnya.
Menjelang fajar Aisyah, terbangun daripada tidurnya
lalu merasa hairan kerana Rasulullah masih belum pulang.
Tetapi apabila membawa pintu, alangkah terkejutnya Aisyah
apabila melihat Rasulullah tidur di luar rumah.
Aisyah terus meminta maaf tetapi Rasulullah ternyata tidak marah
dan tidak menyalahkan Aisyah atas kejadian itu.
Begitulah perihal kehidupan Rasulullah.
Bayangkan, jika ada antara kita yang sampai sanggup
memukul isteri semata-mata kerana perkara kecil
malah mendabik dada kerana merasakan diri mereka ‘berkuasa’.
Mempelajari sirah nabi memudahkan kita memahami
hadis Rasulullah atau ayat suci al-Quran kerana ada sesetengah
hadis dan ayat Quran menjadi jawapan kepada perkara
yang berlaku pada zaman Rasulullah.
Dengan sirah nabi juga kita dapat memahami
prinsip hidup dan hukum-hakam.
Antaranya prinsip ketaatan kepada Allah.
Meskipun sesuatu perintah Allah itu berasa sukar dan berat
untuk dilaksanakan tetapi ia perlu ditaati dan dilaksanakan
tanpa alasan atau ditangguh-tangguh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.