Rintihan Rabi’ah
sewaktu kesunyian
di ketenangan malam
ketika
bermunajat kepada
Allah s.w.t :
“Ya Allah, ya Tuhanku.
Aku berlindung diri
kepada Engkau daripada
segala yang ada
yang boleh
memesongkan diri
daripada-Mu,
daripada
segala pendinding
yang boleh
mendinding antara
aku dengan Engkau!
“Tuhanku!
Bintang-bintang
telah menjelma indah,
mata telah tidur nyenyak,
semua pemilik
telah menutup pintunya
dan
inilah dudukku di
hadapan-Mu.
“Tuhanku!
Tiada kudengar
suara binatang yang mengaum,
tiada desiran
pohon yang bergeser,
tiada desiran
air yang mengalir,
tiada siulan
burung yang menyanyi,
tiada nikmatnya
teduhan yang melindungi,
tiada tiupan angin
yang nyaman,
tiada dentuman guruh
yang menakutkan
melainkan
aku dapati semua itu
menjadi bukti
keEsaan-Mu
dan
menunjukkan
tiada sesuatu
yang
menyamai-Mu.
“Sekelian manusia
telah tidur
dan
semua orang
telah lalai
dengan asyik
maksyuknya.
Yang tinggal
hanya Rabi’ah
yang banyak
kesalahan di
hadapan-Mu.
Maka
moga-moga Engkau berikan
suatu pandangan kepadanya
yang akan menahannya
daripada tidur
supaya dia dapat berkhidmat
kepada-Mu.”
Raungan Rabiah memohon belas ihsan Allah SWT:
“Tuhanku!
Engkau akan mendekatkan
orang yang dekat
di dalam kesunyian
kepada keagungan-Mu.
Semua ikan di laut bertasbih
di dalam lautan yang
mendalam dan kerana
kebesaran kesucian-Mu,
ombak di laut bertepukan.
Engkaulah Tuhan
yang sujud kepada-Nya
malam yang gelap,
siang yang terang,
falak yang bulat,
bulan yang menerangi,
bintang yang berkerdipan
dan
setiap sesuatu di sisi-Mu
dengan takdir sebab
Engkaulah Tuhan
Yang Maha Tinggi
lagi
Maha Perkasa.”
Setiap malam
begitulah keadaan Rabi’ah.
Apabila fajar menyinsing,
Rabi’ah terus juga bermunajat
dengan ungkapan seperti:
“Wahai Tuhanku!
Malam yang akan pergi
dan
siang pula akan mengganti.
Wahai malangnya diri!
Apakah Engkau
akan menerima malamku ini
supaya
aku berasa bahagia
ataupun
Engkau akan menolaknya
maka
aku diberikan takziah?
Demi kemuliaan-Mu,
jadikanlah caraku ini
kekal selama
Engkau
menghidupkan aku
dan
bantulah aku di atasnya.
Demi kemuliaan-Mu,
jika
Engkau menghalauku
daripada pintu-Mu itu,
nescaya
aku akan tetap tidak
bergerak juga dari situ
disebabkan hatiku
sangat cinta
kepada-Mu.”
Seperkara menarik
tentang diri Rabi’ah ialah
dia menolak lamaran untuk
berkahwin dengan alasan:
“Perkahwinan itu
memang perlu bagi sesiapa
yang mempunyai pilihan.
Adapun aku
tiada mempunyai pilihan
untuk diriku.
Aku adalah milik
Tuhanku dan di bawah perintah-Nya.
Aku tidak mempunyai apa-apa pun.”
Rabi’ah seolah-olah
tidak mengenali yang lain daripada Allah.
Oleh itu
dia terus-menerus mencintai
Allah semata-mata.
Dia tidak mempunyai
tujuan lain kecuali untuk
mencapai keredaan Allah.
Rabi’ah telah
mempertalikan akalnya,
pemikirannya dan perasaannya
hanya kepada
akhirat semata-mata.
Dia sentiasa
meletakkan kain kapannya
di hadapannya dan sentiasa
membelek-beleknya setiap hari.
Selama 30 tahun
dia terus-menerus
mengulangi kata-kata ini
dalam sembahyangnya:
“Ya Tuhanku!
Tenggelamkanlah aku
di dalam kecintaan-Mu
supaya tiada
suatu pun yang dapat
memalingkan aku daripada-Mu.”
Antara syairnya yang masyhur berbunyi:
“Kekasihku
tiada menyamai kekasih lain
biar bagaimanapun,
Tiada selain Dia
di dalam hatiku
mempunyai tempat manapun,
Kekasihku
ghaib daripada
penglihatanku dan peribadiku
sekalipun,
Akan tetapi
Dia tidak pernah
ghaib di dalam hatiku
walau sedetik pun.”
Rabi’ah telah membentuk
satu cara yang luar biasa
di dalam mencintai
Allah.
Dia menjadikan
kecintaan pada Ilahi itu
sebagai satu cara untuk
membersihkan hati dan jiwa.
Dia memulakan fahaman
dengan menanamkan rasa takut
kepada kemurkaan Allah
seperti yang pernah
diluahkannya:
“Wahai Tuhanku!
Apakah Engkau
akan membakar
dengan api hati yang
mencintai-Mu dan lisan
yang menyebut-Mu
dan
hamba yang takut
kepada-Mu?”
Kecintaan Rabi’ah kepada Allah
berjaya melewati pengharapan untuk
beroleh syurga Allah semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.