Ahad, 4 Julai 2010

::Istikharah::




Istikharah Petunjuk Arah






“Ustaz, saya dan tunang saya sudah hampir
ke tarikh pernikahan kami.
Tetapi tunang saya telah secara mendadak
memutuskan pertunangan kami.
Beliau bermimpi melihat seorang
perempuan lain dan setelah beristikharah,
beliau yakin perempuan itu adalah
pilihan sebenarnya kerana ia muncul
dengan petunjuk Allah.
Bagaimana pandangan ustaz?
Saya dan keluarga saya serta keluarga
tunang saya sangat terkilan.
Apakah benar saya sudah
dikeluarkan daripada petunjuk Allah?
Di mana silap saya, ustaz?”



Sepucuk emel dihantar kepada saya.


Beristighfar dan mengurut dada.


Percaya atau tidak, gejala ini semakin menjadi-jadi.


Malah di kalangan pelajar universiti,
Istikharah semakin popular di dalam
trend yang tersendiri.
Ia diamalkan bagi ‘memaksa’ Allah
membuat pilihan untuk mereka.
Berbekalkan kejadian persekitaran atau mimpi
yang disangka petunjuk,
kadang-kadang ‘pilihan Allah’ itu
adalah tunang orang, suami orang,
malah ada juga isteri orang.
Bertindak atas nama ‘petunjuk Allah’,
tercetus permusuhan
sesama anak Adam.




Apakah Allah, atau Syaitan
yang memberikan ‘petunjuk’
penuh mudarat dan zalim itu?





MEMBELAKANGKAN ILMU




Penyakit besar
yang melanda anak-anak muda terbabit
ialah beribadah tanpa ilmu.
Mereka melaksanakan Solat Istikharah
berdasarkan saranan rakan-rakan
yang juga melakukannya atas saranan
kawan-kawan yang lain.
Berapa ramaikah yang membuka kitab Fiqh
atau belajar mengenai Solat itu dan ibadah
yang lain melalui
para ustaz dan alim ulama’?




Keadaan ini
menjadi lebih bermasalah apabila
ada pula agamawan yang mengesyorkan
panduan-panduan yang tidak berdasarkan
keterangan al-Quran dan al-Sunnah
malah diajar pula kaifiyat yang sangat
membuka ruang manipulasi Syaitan
dalam mengaburi pertimbangan
anak Adam.




Mengira huruf tertentu di dalam Surah,
menyelak secara rawak mushaf dan mencari
petunjuk di muka surat yang terbuka,
juga paling banyak meniti di minda ialah
menanti mimpi yang
menjawab permintaan.





Ia mengingatkan saya
kepada pandangan
Sheikh Saleem bin Eid al-Hilali
di dalam kitab Bahjah al-Nadzireen
syarah kepada Riyadh al-Sholiheen:




“Ada sesetengah orang berpendapat,
“Sesudah mengerjakan solat
serta Doa Istikharah,
akan muncullah nanti petunjuk
dalam mimpinya,
maka dia akan memilih
sebagaimana yang ditunjukkan
oleh mimpinya itu”



Justeru ada sesetengah orang berwudhu’
dan kemudian melakukan Solat
serta Doa Istikharah dan terus tidur
(dengan meletakkan harapan
petunjuk datang melalui mimpi),
malah ada juga mereka yang sengaja
memakai pakaian berwarna putih
kerana mengharapkan mimpi yang baik.
Semua ini
hakikatnya adalah
prasangka manusia
yang tidak berasas”





Menjadi satu keperluan
yang sangat penting untuk kita
kembali kepada maksud asal
Solat Istikharah.





Istikharah itu
bermaksud
meminta bantuan daripada Allah
untuk seseorang itu memilih
di antara beberapa kemungkinan
yang diharuskan oleh Syara’.
Ada pun pilihan
yang berada antara
manfaat dan mudarat,
apatah lagi Halal dan Haram hatta Makruh,
maka tidak harus untuk Istikharah
dilakukan kerana tindakan yang sepatutnya
diambil sangat jelas iaitu
pada meninggal dan menghindarkan pilihan
yang tidak baik itu.





Sabda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam :


Hadith yang dikeluarkan
oleh al-Bukhari di dalam Sahihnya
dengan sanadnya daripada
Jabir radhiyallaahu ‘anhuma,
beliau berkata





Daripada
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam
Baginda bersabda:





Apabila sesiapa
daripada kalangan kamu
diberatkan oleh sesuatu maka hendaklah dia
Rukuk dengan dua Rukuk
(mengerjakan Solat dua rakaat)
yang selain daripada
Solat yang Fardhu
(yakni mengerjakan
Solat dua Rakaat
dengan niat Istikharah).





Kemudian hendaklah dia berdoa:

Ya Allah,
aku beristikharahkan Engkau
dengan ilmu-Mu dan aku juga
memohon ketetapan dengan ketetapan
yang bersandarkan kurniaan-Mu
yang Maha Agung.
Engkaulah yang Maha Menetapkan
sedangkan aku tidak mampu
untuk menetapkan.
Engkau Maha Mengetahui
dan aku pula tidak mengetahui.
Engkaulah yang Maha Mengetahui
akan perkara-perkara yang tersembunyi.
Ya Allah,
jika pada ilmu-Mu
sesungguhnya urusan ini
– harus disebut hajat tersebut
atau
cukup sekadar meniatkannya
kerana Allah Maha Mengetahui akan hajat itu
– adalah baik untukku pada agama,
kehidupan dan kesudahan urusanku
(kini dan datang),
maka
tetapkanlah ia untukku
dan
mudahkanlah ia bagiku.
Kemudian
berkatilah bagiku
di dalam pilihan ini.
Dan
andaikata pada ilmu-Mu
sesungguhnya hal ini
adalah buruk bagiku pada agama,
kehidupan dan kesudahan urusanku
(kini dan akan datang),
maka
hindarkanlah ia daripadaku
dan
hindarkanlah aku daripadanya.
Tetapkanlah bagiku
kebaikan dan jadikanlah
aku redha dengannya.











ANTARA ISTIKHARAH DAN ISTISYARAH




Istikharah itu
mempunyai gandingan
yang memberi tambahan kemudahan.
Ia dikenali sebagai Istisyarah.





Istisyarah ini bermaksud
meminta pendapat mereka
yang boleh dipercayai
untuk membantu seseorang itu
membuat keputusan.





Sheikh al-Islam Ibn Taimiyyah
rahimahullah pernah berkata:





“Tidak akan menyesal
seorang yang beristikharah
kepada al-Khaliq (Allah)
serta bermesyuarat dengan para Makhluq,
serta
tetap pendirian dalam keputusannya”





Biar pun para Ulama
berselisih pendapat
tentang mana yang patut didahulukan
antara
Istisyarah dan Istikharah,
ia tidak menjejaskan bahagian
yang perlu dimainkan
oleh seorang manusia
dalam proses dirinya
membuat keputusan.
Sebelum sampai kepada pertimbangan
memilih antara dua kebaikan,
seseorang yang berhajat itu
mestilah mempunyai asas
dalam penilaiannya
agar pilihan yang ada
di depan matanya
adalah antara dua perkara
yang harus serta sama baik.
Sudah tentu,
hal ini juga memerlukan dirinya
untuk mengambil bahagian
dengan berusaha.






Setelah beristikharah,
namun hati masih berada
di dalam ketidak pastian,
harus baginya untuk mengulangi
Solat dan Doa Istikharah itu
hingga beroleh ketetapan hati
dalam membuat keputusan.
Di samping itu juga,
dia dianjurkan beristisyarah,
yakni meminta pendapat
individu-individu yang dipercayai
integriti dan kemahirannya
dalam urusan tersebut,
agar keputusan
boleh dibuat.





Titik pentingnya ialah,
keputusan hendaklah
kita yang berhajat itu
melakukannya dan bukan menyerahkan
kepada Allah untuk membuat
keputusan itu dan menampakkannya
melalui petanda-petanda yang dicari.
Di sinilah
ruang untuk fitnah
berlaku apabila
dalam suasana hidup kita
yang dibelenggu oleh
pelbagai maksiat serta
Iman yang teruji,
kita membuka suatu ruang kosong
untuk dicelah oleh
tipu helah Syaitan.





Tambahan pula,
dalam keadaan
jiwa anak muda yang selalu lemah
untuk menolak kehendak diri dan sering
terdorong mengikut kemahuan.
Jiwanya tidak bulat
meminta kepada Allah,
sebaliknya bermain helah untuk
mengharapkan Allah menyokong
kecenderungan
dirinya sendiri.





Berhentilah mencari mimpi.




Berhentilah menunggu petanda.




Beristikharah
memanggil kebersamaan Allah
dalam keputusan yang kita buat.
Kita yang membuat keputusan itu,
dengan keyakinan hasil Istikharah,
bahawa keputusan yang kita buat itu
adalah dengan kebersamaan Allah.





Jika di kemudian hari,
pada pilihan yang dibuat itu,
datang mehnah
yang menguji kehidupan,
kita tidak akan berfikiran negatif
malah berusaha
untuk mencari sisi-sisi positif
pada apa yang berlaku
kerana keputusan yang dibuat dahulu itu
adalah dengan kelengkapan
Syariatullah (Istikharah) serta Sunnatullah (Istisyarah – Ikhtiar Usaha).





Pertimbangkanlah…
seandainya pilihan
yang disangkakan petunjuk
daripada Allah itu
mencetuskan mudarat, permusuhan,
meninggalkan yang afdhal
dan
mengambil yang mafdhul…
berhati-hatilah.





Ia mungkin mainan Syaitan.



“Sebahagian (daripada umat manusia)
diberi hidayah petunjuk oleh Allah
(dengan diberi taufiq
untuk beriman dan beramal soleh);
dan
sebahagian lagi (yang ingkar)
berhaklah mereka ditimpa kesesatan
(dengan pilihan mereka sendiri),
kerana
sesungguhnya mereka
telah menjadikan syaitan-syaitan itu
pemimpin-pemimpin (yang ditaati)
selain Allah.
Serta mereka pula menyangka,
bahawa
mereka berada di dalam
petunjuk hidayah”
[Al-Aa'raaf 7: 30]





KESIMPULAN




1. Hindarkan diri
daripada kesukaran menetapkan pendirian
dalam kehidupan.

Was-was adalah
permainan Syaitan dan penyakit jiwa
yang mengundang bahaya.




2. Dalam hal-hal
yang tiada keraguan
dalam membuat pilihan keputusan,
ia tidak berhajatkan

kepada Istikharah.




3. Ketika berdepan
dengan pilihan yang sukar ditentukan,
gunakan pertimbangan diri
untuk

melihat buruk baiknya.




4. Jika jelas
mudarat atau sudah ditentukan
Haram hukumnya,
maka
tidak harus beristikharah.




5. Pada perkara yang sukar
untuk dibuat keputusan,
beristikharahlah kepada Allah
mengikut kaifiyat
Solat Istikharah dan Doa yang Ma’thur
daripada
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.




6. Istikharah boleh diulang
beberapa kali hingga beroleh ketetapan hati
untuk membuat keputusan.




7. Di samping itu juga
beristisyarahlah dengan meminta
pandangan pihak yang boleh

dipercayai kewibawaannya.




8. Petunjuk daripada Allah
ialah kemampuan hati untuk tetap pendirian
membuat keputusan.






9. Hindarilah perbuatan
menunggu mimpi atau petanda
berbentuk isyarat kerana ia
sangat terbuka

kepada belitan Iblis.




10. Jauhi Bid’ah dan Syirik.





11. Setelah keputusan dibuat,
bertawakkallah kepada Allah
dan
tenang dengan keputusan itu.






12. Seandainya timbul
cabaran atau muncul sisi kekurangan
pada pilihan yang dipilih,

tiada fikiran negatif
muncul kerana yakin
adanya hikmah dan kebaikan
daripada Allah.






13. Istikharah
terbuka kepada apa sahaja
urusan kehidupan yang berada
di dalam ruang lingkup

keharusan Syara’ dan salah
jika hanya dilihat
sebagai mekanisme jodoh.






14. Rujuklah kitab-kitab Fiqh
serta panduan Sunnah dalam
urusan Istikharah serta
ibadah-ibadah yang lain.






15. Melakukan ibadah
dengan hanya berpandukan hearsay
adalah pintu kebinasaan
dalam beragama.







*Artikel asal bertajuk "Fitnah Petunjuk Istikharah" dari www.saifulislam.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.