Erti kemerdekaan hakiki
ESOK genaplah ulang tahun ke-56 negara tercinta kita Malaysia.
Laungan merdeka, merdeka, merdeka yang bergema di setiap pelosok negara
pastinya perlu dihayati sepenuhnya agar semangat laungan tidak tinggal
laungan semata-mata.
Alhamdulillah, pencapaian rakyat Malaysia kini sudah semakin dikenali
dan diiktiraf, sama ada di dalam negara mahupun di luar negara. Malah
ada antara lakaran kejayaan-kejayaan ini perlu dibanggakan semua
warganya.
Pun begitu dalam keghairahan menyambut kemerdekaan ini, perlu
ditanyakan dalam diri setiap daripada kita, adakah kita benar-benar
memahami serta menguasai erti kemerdekaan itu? Ataupun ia sekadar rutin
melepasi tarikh 31 Ogos yang ditempoh setiap tahun.
Hakikatnya, sebuah negara boleh dikatakan merdeka secara hakiki
apabila kemerdekaan tersebut terjadi secara menyeluruh dalam semua
bidangnya. Kemerdekaan tersebut bukan hanya dalam konteks negara
semata-mata tetapi juga individu dan masyarakat yang menjadi pengisi
sebuah negara.
Dalam konteks individu, kemerdekaan bererti terbebasnya seseorang itu
daripada tekanan hawa nafsunya dalam melakukan segala aktiviti yang
membinasakan dirinya.
Pengertian individu yang merdeka ialah seorang yang ketika ia
bersikap dan berperilaku selalu didasarkan kepada pertimbangan rasional.
Bagi orang yang beriman, pertimbangan rasionalnya adalah apabila ia
melandaskan segala perbuatan dan tingkah lakunya bermatlamat kepada
undang-undang dan sunnatullah.
Saidina Ali mengibaratkan hal
tersebut dalam satu ungkapan:
"Seorang
hamba beramal
kerana takut hukuman,
pedagang beramal
kerana menginginkan
keuntungan
dan orang merdeka beramal
kerana mengharap
keredaan Allah
SWT."
Jika ada seorang manusia dalam kehidupannya yang sentiasa
dikendalikan hawa nafsunya, maka bererti dia belum menjadi orang yang
merdeka sebenarnya. Kerana ia terbelenggu oleh hawa nafsunya yang
sentiasa memaksanya untuk melakukan perbuatan yang tidak sesuai dengan
akal sihat manusia.
Kehidupannya yang selalu terjajah oleh hawa nafsunya sendiri sehingga
mengakibatkan dirinya sendiri terjerumus ke jurang kebinasaan di dunia
mahupun di akhirat.
Allah SWT berfirman
yang bermaksud:
" Adapun orang
yang melampau batas dan
lebih mengutamakan
kehidupan dunia, maka
sesungguhnya nerakalah
tempat tinggalnya. "
(an-Naazi'at: 37-39)
Dalam Tafsir Fathul Qadir, Imam as-Syaukani menyatakan, orang
yang melampau batas adalah dalam kekufuran dan maksiat kepada Allah.
Lebih mengutamakan dunia berbanding akhirat.
Manakala Imam al-Baidhawi menyebutkan, maksud ayat di atas adalah
orang yang melampaui batas hingga dia kufur serta memilih kehidupan
dunia dan tidak mempersiapkan diri untuk kehidupan akhirat dan
membersihkan diri daripada hawa nafsu, maka tempat kembalinya adalah
neraka.
Sedangkan dalam konteks masyarakat pula, erti kemerdekaan adalah
apabila mereka tidak lagi menjadi pengikut pemikiran dan budaya bahkan
agama penjajah. Masyarakat yang merdeka memiliki pemikiran, budaya dan
agama yang khas yang membezakan mereka dengan masyarakat lain.
Kita boleh mencontohi masyarakat Madinah (Madani) sebagai masyarakat
yang merdeka secara hakiki. Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah,
Baginda mulai membina masyarakat di sana dengan kehidupan yang Islamik
jauh berbeza dengan sebelumnya.
Kemudian diubah Nabi SAW menjadi berlandaskan agama yang kukuh serta memunculkan ketenteraman dan keselamatan.
Budaya yang dahulunya jahiliah yang diwarisi daripada nenek moyang,
dipenuhi tahyul dan khurafat diganti menjadi budaya yang Islamik,
rasional dan bernilai luhur.
Adakah masyarakat kita memiliki
pemikiran dan budaya yang terlepas
daripada budaya para penjajah?
Jawapannya kita sendiri yang perlu menilaikannya di sekeliling kita
hari ini. Mulai dari cara berpakaian, makan, bergaul, berjiran dan
lain-lainnya. Apa lagi jika disebut hal-hal jenayah, tembak sana sini,
rompak, bunuh, ragut, buang bayi, rempit, rasuah, dadah, pecah rumah,
curi kenderaan, pergaulan bebas dan macam-macam lagi, masyarakat kita
sangat jauh daripada ciri khas masyarakat Madani dan Islam.
Ternyata kita baru terlepas daripada belenggu penjajahan secara
fizikal sahaja walaupun sudah 56 tahun merdeka. Mengapa hal ini terjadi?
Kerana racun yang ditinggalkan oleh para penjajah terus kita 'minum'
dan kita 'makan' setiap hari. Bahkan, seolah-olah kita masih ketagihan
meminum racun tersebut.
Racun itu bermakna pemikiran dan budaya para penjajah. Kebebasan
berekspresi, pornografi dan pornoaksi, sikap individualistik, hedonisme
dan seumpamanya adalah sederet pemikiran penjajah yang masih membudaya,
malah seperti telah menjadi ciri khas masyarakat kita.
Padahal masyarakat kita adalah masyarakat yang kuat beragama,
memiliki budaya luhur yang berlandaskan kepada agama Islam sebagai Agama
Persekutuan.
Semua itu diresap oleh badai dan gelora budaya asing penjajah
sehingga kita tidak lagi memiliki identiti yang unik dan kental sebagai
sebuah masyarakat yang berlandaskan agama.
Negara yang merdeka adalah yang terbebas daripada penjajahan secara
fizikal, politik, ekonomi, sosial dan budaya. Negara tersebut bebas
menerapkan undang-undang yang tegas serta peraturannya dan
hukum-hukumnya dalam melindungi rakyat dan tanah air daripada
pencerobohan luar dan dalam. Tidak ada tekanan dari negara-negara
penjajah dan luar.
Bagi umat Islam tentu sahaja negara tersebut haruslah sesuai dengan
apa yang diperintahkan Allah dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW iaitu
sebuah negara yang menerapkan peraturan Allah dalam berbagai dasar dan
kebajikannya.
Ini kerana dengan menjalankan peraturan Allah mereka akan menjadi
umat yang selamat, maju dan dinamik serta tidak boleh dijajah oleh
negara mana sekalipun jua di dunia ini. Hal ini telah dibuktikan oleh
kaum muslimin di masa lalu.
Inilah kemajuan dan kebangkitan umat
yang dijanjikan Allah dengan
firman-Nya bermaksud :
" Dan
Allah
telah berjanji kepada
orang-orang yang beriman
di antara kamu dan
mengerjakan
amalan soleh, bahawa Dia
sungguh-sungguh akan
menjadikan
mereka berkuasa
di muka bumi, sebagaimana
Dia telah menjadikan
orang-orang sebelum
mereka berkuasa. "
(an-Nur: 55)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.