Puasa untuk Allah
Puasa merupakan ibadah
yang tidak asing bagi seluruh
umat Islam.
Terdapat pelbagai bentuk
ibadah puasa, namun puasa yang
difardukan dalam bulan Ramadan
istimewa di hati umat Islam.
Allah SWT telah memfardukan
kepada hamba-Nya agar berpuasa
dalam bulan Ramadan sebagaimana
firman-Nya:
"Wahai orang beriman!
Diwajibkan ke atas kamu berpuasa
(Ramadan) sebagaimana diwajibkan
ke atas orang yang terdahulu
daripada kamu,
semoga kamu bertakwa."
(al-Baqarah: 183)
Pada surah yang sama,
ayat ke 185 pula Allah berfirman:
"Sesiapa antara kamu
menyaksikan anak bulan Ramadhan
(atau mengetahuinya) maka hendaklah
dia berpuasa pada bulan itu."
Bulan Ramadan juga
merupakan bulan yang
dimuliakan oleh Allah SWT
kerana di dalam bulan inilah
al-Quran diturunkan sehinggakan ia
dikenali sebagai bulan al-Quran.
Dalam bulan Ramadan,
malaikat Jibril akan membacakan
al-Quran dan menyemak bacaan
Rasulullah SAW sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari
dalam kitab sahihnya.
Kelebihan bulan Ramadan
yang tidak ada pada bulan
yang lain ialah dibelenggunya syaitan,
dibuka pintu syurga dan
ditutup pintu neraka.
Rasulullah SAW bersabda:
" Apabila datang bulan Ramadan
pintu-pintu syurga dibuka
sedangkan pintu-pintu neraka
ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.
(Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sementara dalam riwayat lain
terdapat tambahan lafaz:
"Maka Allah
membebaskan orang-orang
dari neraka dan ia
berlangsung setiap malam
(dalam Ramadan)."
(Riwayat Ibnu Majah,
Al-Tirmizi dan Ibnu Khuzaimah)
Malam Lailatulqadar turut
berada dalam bulan Ramadan.
Allah SWT telah
memilih malam ini untuk
diturunkan al-Quran serta malam
yang lebih baik daripada 1,000 bulan.
Allah SWT berfirman:
"Sesungguhnya Kami telah
menurunkan (al-Quran) ini
pada Malam Lailatulqadar
dan adakah engkau mengetahui
apa dia kebesaran
Malam Lailatulqadar itu?
Malam Lailatulqadar lebih baik
daripada 1000 bulan."
(al-Qadr: 1-3)
Disebabkan itu Rasulullah
menekankan umatnya untuk
mencari malam Lailatulqadar dengan
memperbanyakkan amalan pada
sepuluh malam atau tujuh terutama
pada malam yang ganjil terakhir
sebagaimana yang terdapat dalam
hadis yang diriwayatkan
oleh Imam Muslim.
Di malam tersebut umat Islam
dituntut untuk memperbanyakkan
ibadah terutama solat di malam hari.
Puasa bertindak sebagai benteng
seorang Muslim terhadap ujian
nafsu dan syahwat.
Disebabkan itu mereka
yang tidak mampu untuk berkahwin
digalakkan memperbanyakkan puasa.
Rasulullah SAW bersabda:
"Wahai sekalian anak muda,
barang siapa di antara kalian mampu,
hendaklah dia menikah kerana
sesungguhnya itu lebih menundukkan
pandangan dan memelihara kemaluan.
Barang siapa tidak mampu
hendaklah dia berpuasa kerana
puasa mampu menjadi
benteng baginya."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Puasa memberikan ganjaran
yang besar di sisi Allah.
Mulut orang yang berpuasa pula
di sisi Allah SWT lebih harum
daripada minyak misk (kasturi).
Rasulullah SAW bersabda:
"Sungguh bau mulut orang
yang sedang berpuasa
lebih harum di sisi Allah daripada
harumnya minyak misk (kasturi),
(Allah SWT berfirman) kerana dia
meninggalkan makanannya,
minuman dan nafsu syahwatnya
kerana Aku. Puasa itu
untuk Aku dan Aku sendiri
yang akan membalasnya
dan setiap satu kebaikan
dibalas dengan 10 kebaikan
yang serupa.
(Muttafaq 'alaihi).
Kelebihan orang yang berpuasa
yang tidak diterima oleh orang lain
ialah ganjaran syurga yang akan
dimasuki melalui sebuah pintu
yang digelar Al-Rayyan.
Pintu syurga ini hanya akan dilalui
oleh orang yang berpuasa dan
akan ditutup selepas
mereka melaluinya.
Rasulullah SAW bersabda:
"Di dalam syurga ada satu pintu
yang disebut dengan Ar-Rayyan,
yang pada hari Kiamat nanti
tidak akan ada orang yang
masuk ke syurga melalui pintu itu
kecuali para soimun
(orang-orang yang berpuasa).
Tidak akan ada seorangpun
yang masuk melalui pintu tersebut
selain mereka.
Lalu dikatakan kepada mereka;
Mana para soimun?
Maka para soimun
berdiri menghadap.
Tidak akan ada seorangpun
yang masuk melalui pintu
tersebut selain mereka.
Apabila mereka telah masuk semuanya,
maka pintu itu ditutup dan
tidak akan ada seorangpun
yang masuk melalui pintu tersebut."
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.