Kesabaran adalah penyelesaian
KADANG-KALA dalam kehidupan kita
terdapatnya masalah yang tidak kita temui penyelesaiannya.
Sudah terlalu ramai orang yang kita temui
termasuklah pakar-pakar kaunseling dan alim ulama
untuk menyelesaikan masalah yang berlaku namun masih
belum mendapat cara penyelesaiannya.
Maka, ketahuilah jawapan kepada permasalahan
tersebut ialah kesabaran.
Terlalu banyak ayat al-Quran dan hadis-hadis
Nabi SAW yang menjelaskan bahawa seorang
yang beriman tidak akan memasuki syurga
sehinggalah imannya itu diuji. Antaranya ayat kedua
dalam surah Al-‘Ankabut yang mana Allah SWT
menjelaskan:
"Patutkah manusia
menyangka bahawa mereka akan
dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman,
sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?
Bukan mudah sebenarnya untuk kita
mendapat nikmat syurga Allah SWT di akhirat
kelak dengan hanya mengisytiharkan keimanan
melalui mulut sahaja. Allah SWT semestinya akan
menguji keimanan setiap hambanya untuk mengetahui
sejauh mana kualiti keimanan itu.
Keimanan ini harus dibuktikan melalui ikrar
dengan lidah, membenarkan dengan hati
dan melakukan dengan anggota badan.
Cabaran-cabaran ini boleh datang daripada luar
atau dalaman diri kita sendiri. Sengaja Allah SWT
menurunkan cabaran-cabaran ini sebagai ujian
untuk mengenalpasti siapa yang akan terus iltizam
dan istiqamah dalam keimanan ini.
Ia seolah-olah merupakan proses penapisan
(filtering process) secara langsung daripada
Allah SWT untuk mengetahui siapa yang
benar-benar beriman kepada-Nya.
Allah SWT menjelaskan bahawa cara
untuk berhadapan dengan ujian ini adalah
dengan meminta pertolongan daripada-Nya
dengan sabar dan mengerjakan solat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Dan mintalah
pertolongan (kepada Allah)
dengan sabar dan mengerjakan sembahyang.
Dan sesungguhnya sembahyang itu
amatlah berat kecuali kepada
orang-orang yang khusyuk."
(al-Baqarah: 45)
Al-Imam al-Baghawi di dalam tafsirnya, Ma`alim at-Tanzil
menyatakan bahawa maksud ayat ini adalah mintalah
pertolongan di atas segala bala yang menimpa ke atasmu
dengan cara bersabar menanggung segala kesusahan
(masyaqqah) dan segala kesukaran terhadap jiwa
daripada segala taklif syarak.
Syed Qutb pula menyebut dalam Fi Zilal al-Quran:
“Perkataan ‘minta tolong dengan sabar’
banyak diulang-ulang kerana ia merupakan bekalan
yang semestinya wujud dalam pertembungan
dengan sebarang kesusahan (masyaqqah)."
Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud:
"Dan sesiapa
yang bertakwa kepada Allah,
nescaya Allah akan mengadakan
baginya jalan keluar
(daripada segala perkara yang menyusahkannya)
Dan memberi rezeki dari jalan
yang tidak terlintas di hatinya."
(at-Thalaq: 2-3)
Imam Nawawi dalam menjelaskan ayat ini
menyatakan bahawa ia diturunkan berhubung
satu peristiwa di mana seorang sahabat
telah mengadu kepada Rasulullah SAW
tentang kerisauannya kerana anaknya
telah ditawan oleh pihak musuh.
Lalu dia dinasihatkan bersabar oleh
Rasulullah SAW maka dia bersabar.
Tidak lama kemudian, anaknya berjaya
melepaskan diri daripada tawanan musuh.
Malah bukan itu sahaja, dia berjaya membawa pulang
beberapa ekor kambing kepunyaan musuh tersebut.
Maka dengan kepulangan anaknya, bergembiralah dia
serta mendapat untung rezeki yang tidak disangka-sangka.
Inilah salah satu kelebihan daripada kesabaran.
Sabar ada batasan
Kita juga perlu menyedari bahawa sabar ada batasannya.
Kita tidak boleh bersabar apabila melihat Islam dinodai,
nyawa saudara kita terancam, hak kita
dipijak-pijak dan sebagainya.
Nabi SAW akan bersabar sekiranya diri
Baginda dihina oleh kafir Quraisy.
Sebaliknya, Baginda SAW akan bertindak apabila Islam
dihina dan dicaci oleh pihak musuh. Walau bagaimanapun,
tindakan Baginda SAW terhadap musuh bukanlah secara
semborono, tetapi dengan mengambil kira hukum syariat,
etika dan adab dalam Islam.
Lantaran itu, jangan serik dan jemu untuk terus bersabar.
Jangan biarkan nafsu dan kemarahan menguasai diri kita.
Insya-Allah, segala masalah dan cabaran yang kita hadapi,
anggaplah ia merupakan ujian daripada Allah SWT.
Ia pasti akan berlalu apabila tiba masanya nanti.
PANEL penulis ialah
dari Jabatan Pematuhan Syariah,
Takaful Ikhlas Sdn. Bhd.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20130403/ba_01/Kesabaran-adalah-penyelesaian#ixzz2PULz4DYr
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.