Jumaat, 22 Februari 2013

Pandu mata, lidah ke arah kebaikan

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjUl8MBQRQ3fRQ-ty0lcfmQk1k8gwzvhN2rF31rDmVGT22gX5e9ylYO2-2L0oSIKNWPJ5KSpVi22xl7xYPGL-M5tOBGX3eEU946brkw5jpP5fyYwHPZQK3rpYwnIAOMVDPlcML377C08Jw/s1600/ukhuwah.jpghttps://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEirFPQuEM129DJoHn1i5A7XJSxPe2jAZHgl-bmDYhH_kIHJ6YrIhjy_CLJ_xn2tFRETZg_a8cHEQtIPRJp9Ry2nW_eOd2J40LqV67QdtA5qgm2f_xNZ7mrcGx0uW3WF5jyNRZs3XYahiVFz/s320/SAUDARA-1.jpg


Khutbah Jumaat: 


Pandu mata, lidah ke arah kebaikan

 


Deria penting jika tidak dijaga boleh bawa permusuhan




Ramai manusia diciptakan oleh Allah SWT dalam keadaan celik,
 boleh melihat dengan sempurna ciptaan Allah SWT, 
boleh makan dan minum, berjalan dan lain-lain lagi.
Tetapi di hari akhirat nanti mereka yang celik di dunia ini
 dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta. 
Persoalan besar timbul di sini kenapakah mereka ini dibangkitkan 
dalam keadaan sedemikian?



Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa 
termasuk melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang
 boleh membangkitkan kebencian pada individu tertentu,
 prasangka buruk serta bercakap bohong.



Jawapannya ialah kerana mereka ini berpaling daripada ajaran 
Allah yang sebenar, tidak melakukan aturan Allah, melakukan maksiat
 dan membuat dosa besar serta menzalimi orang lain, matanya tidak 
digunakan untuk melihat kebenaran, sebaliknya 
digunakan untuk melihat kebatilan.



Akibatnya hidup di dunia akan disempitkan,
 tidak tenang, menderita dan ditimpa musibah. 
Malahan di akhirat pula, mereka menjadi buta sebagai balasan
 keingkaran ketika di dunia. 



Firman Allah SWT: 



“Dan sesiapa yang berpaling ingkar daripada
 ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah
 baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan
 dia pada hari Kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata:
 Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam 
keadaan buta, pada hal aku dulu celik?”

 (Surah Taha, ayat 124-125) 



Perbuatan kita semasa di dunia menentukan kedudukan di sisi 
Allah SWT di akhirat dan begitulah sebaliknya.
 Jika kita benar-benar taat dan akrabnya di dunia dengan Allah SWT, 
maka di akhirat pastinya Allah SWT akan mendampingi kita.
Seorang sahabat Nabi, Samurah bin Jundab berkata:



 “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya
 di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya.
 Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu 
bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah,
 juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, 
maka kedudukan di sisi Allah pun terhormat.”



Dalam pergaulan seharian tentu berlaku kesilapan sama ada 
disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa
 terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan
 dengan tubuh, maruah diri dan harta benda.



Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah 
yang paling banyak kesalahan membabitkan sesama manusia. 
Mata jika tidak dihalakan kepada kebaikan akan mendatangkan
 kemaksiatan dan dosa lidah dan mata boleh menyebabkan
 seseorang itu menerima azab di akhirat.



Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai,
 hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan
 menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih bersopan. 
Sikap tidak menjaga lidah bukan saja menimbulkan kemarahan
 orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk 
kepada hubungan sesama manusia.



Berkatalah perkara yang benar dengan penuh keberanian
 walaupun ia sangat pahit untuk ditelan lebih lebih lagi jika
 kita sebagai pemimpin kerana ia menggambarkan pendirian
 dan sikap kita sebagai seorang yang beriman. 



Berwaspadalah kita akan setiap tutur kata kerana 
bahayanya lidah bukannya hanya pada individu tertentu tetapi 
kesannya juga boleh meruntuhkan sesebuah negara dan bangsa.



Justeru, marilah sama-sama kita menghitung diri, 
adakah kita sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT 
di akhirat kelak, adakah segala amalan di dunia ini dijamin
 pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan akan diperhitungkan.



Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk 
melemparkan tuduhan, mengeluarkan kata-kata yang boleh
 membangkitkan kebencian pada individu tertentu, 
prasangka buruk serta bercakap bohong.



Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
 Hanya perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan
 mendatangkan kebencian Allah dicatat atas 
kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. 


Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka
 yang celik di dunia tapi buta di akhirat. 
Marilah merenung firman Allah SWT:


 “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, 
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
 Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, 
nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).” 

(Surah al-Zalzalah, ayat 7-8) 


Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.