Isnin, 1 Oktober 2012

Raja Habsyah Yang Adil

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhcZLJuWZlNBJYtgiPPXAJKIXcQKFIYgFZbxp5nJg1Nbj6ocf7Bua91IBk2DgiPIX7Io7JHta47rYgL3n2bwKWao3p5fIZQ3EL7D1yLdnzn17MDr1JpY6oHggCccWE1JIZHKOrLl3sqQ-FQ/s1600/hasan+al+banna.jpg


Apabila para pembesar Quraish Mekah yang memusuhi Islam mengetahui bahawa sebahagian orang Islam berhijrah ke Habsyah, mereka mengambil langkah menghantar dua tokoh mereka yang hebat ketika; ‘Amr bin al-‘As dan ‘Abd Allah bin Abi Rabi’ah. Tujuan agar dapat dipujuk Raja Najasyi supaya ditangkap orang-orang Islam yang berada di sana dan diserahkan kepada pembesar Mekah.
Hadiah-hadiah mewah dibawa oleh kedua tokoh tersebut sebagai umpan bagi membuka laluan agar mereka dapat bertemu dangan raja. Orang-orang besar juga telah menerima habuan mereka. Kata kedua tokoh Quraish tersebut kepada Raja Najasyi:
“Wahai Raja! Telah datang ke negaramu budak-budak yang bodoh. Mereka telah memecah belahkan agama kaum mereka dan tidak pula memasuki agamamu. Mereka membawa agama yang mereka ada-adakan yang kami dan engkau tidak kenalinya. Pembesar kaum mereka yang terdiri daripada bapa-bapa mereka, paman-paman mereka dan kaum keluarga mereka telah menghantar kepadamu utusan agar engkau mengembalikan mereka kepada kaum mereka. Mereka lebih tahu keburukan mereka itu”. 

Namun Najasyi mengambil langkah yang berhati-hati. Dia ingin menyoal siasat terlebih dahulu. Lalu dipanggil para sahabah Nabi s.a.w yang berhijrah ke negaranya dan ditanya mengenai agama mereka. Di sini saya ingin menonjolkan jawapan yang diberikan kepada Najasyi oleh jurucakap umat Islam di Habsyah ketika itu; Ja’far bin Abu Talib. Ja’far ialah seorang sahabah yang Rasulullah s.a.w. Benar-benar memahami hakikat dakwah Islam ini. Dalam situasi yang genting dan sukar beliau memilih jawapan yang terbaik. Kerana, sebarang penerangan yang tidak memuaskan akan mengorbankan sekian ramai yang berhijrah ke sana.

Apabila Najasyi berkata kepadanya: “Agama apakah ini yang kerananya kamu telah pecah belahkan kaum kamu dan tidak pulak kamu memasuki agamaku?”. Lantas Jaafar bin Abu Talib pun memberikan jawapan yang sangat terpilih lagi menyentuh hati nurani Najasyi yang merupakan seorang Kristian ketika itu.

Kata Ja’far: “Wahai Raja! Kami dahulunya adalah kaum jahiliyyah; kami menyembah berhala, memakan bangkai (binatang yang tidak disembelih), mendatangi perkara-perkara yang keji, memutuskan hubungan kekeluargaan, menyakiti hati jiran. Mereka yang kuat di kalangan kami menindas orang yang lemah. Begitulah keadaan kami, sehinggalah Allah menghantarkan kepada kami seorang rasul.

Kami kenal akan keturunannya, kami kenal akan benar cakapnya, kami kenal akan amanahnya, kami kenal dia seorang yang memelihara diri dari keburukan. Lalu dia menyeru kami kepada Allah agar kami meng’tauhid’kanNya dan menyembahNya; dia juga meminta agar kami tanggalkan apa yang kami dan keturunan kami sembah selain Allah yang terdiri daripada batu-batu dan berhala-berhala. Dia perintahkan kami supaya bercakap benar, tunaikan amanah dan hubungkan silaturrahim.

Dia melarang kami dari membuat perbuatan keji, perkataan dusta, memakan harta anak yatim, menuduh zina wanita-wanita baik. Dia menyuruh kami agar hanya menyembah Allah yang esa, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu, dia menyuruh kami agar bersolat, berzakat dan berpuasa –lalu Ja’far menyebut beberapa ajaran Islam yang lain lagi-.

Lalu kami membenarkannya dan beriman dengannya, serta kami ikut agama Allah yang dia bawa. Maka kami hanya menyembah Allah, tidak mensyirikkanNya, kami haramkan apa yang dia haramkan dan kami halalkan apa yang dia halalkan. Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka menyiksa kami, mengganggu kami dari agama kami.

Tujuannya, mereka mahu agar kami kembali menyembah berhala, menghalalkan segala kekejian yang pernah kami halalkan. Apabila mereka memaksa, menzalimi, menekan kami dan menghalang agama kami, lantas kami pun keluar menuju negaramu. Kami memilih engkau, dibandingkan yang lain. Kami ingin mendapatkan perlindungan engkau. Kami harap kami tidak dizalimi di sisi engkau, wahai Raja!”.

Lalu Najasyi bertanya: “Adakah bersamamu apa-apa yang datang daripada Allah?”. Jawab Ja’far: Ya!. Kata Najasyi: “Bacakan kepadaku”. Lalu Ja’far membaca Surah Maryam yang terkandung kisah Maryam dan Nabi ‘Isa a.s.. Bercucuranlah airmata Najasyi, juga para agamawan Kristian yang ada bersamanya. Maka Najasyi pun enggan menyerah orang-orang Islam kepada Quraish dan mempertahankan mereka. Bahkan dalam senyap, Najasyi menganut Islam. (lihat: Al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 97-99, Riyadh: Uli al-Nuha)



 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.