Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar
SEMALAM jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.
Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.
Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna
iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun
dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.
Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.
Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati
masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah
Rabbul Jalil.
Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis
bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang
Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.
Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata,
semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak
bertepi.
Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia
masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan
amalan semasa hayat.
Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.
"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.
"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati Allah,
mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang
tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.
Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan
memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat
manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.
"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik yang
kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang
berdasarkan darjat dan kedudukan.
"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah keimanan
kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa
sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.
Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.
Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.
"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.
Ini bertepatan dengan sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sebaik-baik doa adalah
yang dibaca pada hari Arafah
dan sebaik-baik
ucapan adalah
ucapan Nabi-nabi sebelumku
iaitu tiada tuhan yang berhak
disembah
melainkan Allah yang Esa,
tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya
kerajaan
dan bagi-Nya kepujian dan Dia
berkuasa ke atas setiap sesuatu.
(Riwayat at Tirmizi)
Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita
dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada
hamba-hamba-Nya.
Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya:
"Selain
Perang Badar,
tidak ada hari lain yang mana
syaitan dilihat amat hina,
dukacita
dan marah iaitu pada Hari Arafah
kerana melihatkan melimpah
ruahnya
rahmat yang turun hari itu
dan rahmat Allah yang mengampunkan
dosa para hamba-Nya."
Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan
berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai
ceruk muka bumi ini.
Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya
Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga
dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya;
"Hambaku datang
dari
segenap pelosok yang jauh
dalam keadaan tidak terurus
dan berdebu-debu
tubuh mereka
semata-mata mengharapkan syurga-Ku.
Jika kamu datang dengan
dosa
sebanyak bilangan pasir, titisan hujan
atau buih di laut nescaya
Aku
hapuskan semuanya.
Allah SWT berfirman:
"Keluarlah kamu dari Arafah
dengan dosa yang telah diampunkan
daripada kamu dan bagi sesiapa
yang kamu minta ampun untuk mereka".
(Riwayat al-Bazzar)
Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya
dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.
Ini berdasarkan hadis daripada Aishah,
Nabi Muhammad SAW bersabda
yang maksudnya:
"Tidak ada hari yang Allah
membebaskan hamba-Nya
daripada
api neraka lebih ramai selain hari Arafah."
Allah SWT hampir
dengan hamba-Nya
dan berbangga dengan mereka
kepada malaikat dengan
berfirman:
"Apa yang mereka mahu".
(Riwayat Muslim)
Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.