Haji Mabrur:
Kemuncak ibadat
SETIAP tahun Malaysia berhadapan masalah untuk memenuhi keinginan umat Islam untuk menunaikan fardu haji ke Mekah sedangkan kouta yang dibenarkan adalah berjumlah 28,000. Ini bermakna permintaan yang tinggi itu adalah disebabkan kemakmuran yang dinikmati, membolehkan lebih ramai umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan ibadat tersebut.
Malangnya, dalam kemewahan itu ramai dalam kalangan umat Islam tidak insaf atas penderitaan yang dihadapi oleh saudara seagama di seluruh dunia, baik umat Islam itu merupakan kumpulan majoriti mahupun sebagai kelompok minoriti.
Umat Islam sebagai kumpulan minoriti di Filipina misalnya terpaksa mengharungi konflik yang panjang, namun kini Bangsamoro boleh menarik nafas lega apabila kerajaan berjanji akan memberikan mereka kuasa autonomi, melaksanakan peraturan syariah dan bersama-sama membangunkan kawasan yang kaya dengan sumber alam itu.
Sebaliknya nasib masyarakat Islam di selatan Thailand masih tidak berubah kerana hampir setiap hari berlaku serangan berdarah hingga hidup mereka dalam ketakutan.
Nasib lebih malang berlaku ke atas masyarakat Islam di Libya, Iraq, Syria, Pakistan dan Afghanistan. Bagaimanapun, kita di Malaysia tetap bersyukur dengan nikmat yang diperoleh meskipun terlalu banyak 'politiking' sehingga Malaysia perlu diselamatkan.
Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya, dan kerana itulah setiap orang Islam bercita-cita untuk menunaikan ibadat tersebut sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
Setiap kali musim haji tiba, kita dengan sedarnya mengetahui berhimpunnya umat manusia daripada pelbagai latar belakang, geografi dan warna kulit dalam satu tujuan, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT menerusi amalan dan niat yang tulus ikhlas agar seusainya peribadatan tersebut, ia akan membentuk akhlak dan peribadi kita seolah-olah "dilahirkan kembali dalam keadaan serba bersih dan suci."
Ibadat haji merupakan kemuncak penyerahan diri manusia sebagai hamba kepada Allah SWT dan pada ketika itu, segala urusan keduniaan dilupakan dengan rela hati. Seluruh waktu digunakan untuk melakukan pelbagai ritual dan dihabiskan dengan mengingati kebesaran nikmat yang dianugerahkan sepanjang hidup agar memperoleh keberkatan-Nya sebagai bekalan memburu syurga di alam yang lebih kekal.
Setiap muslimin akan menggunakan satu bentuk bahasa yang penuh makna penyerahan sebagai 'perjumpaan kudus' dengan Allah SWT. Sebaik-baik sahaja memulakan langkah pertama menuju ke tempat berkumpul sebelum berangkat ke Tanah Suci, bermula dengan doa selamat agar sepanjang tempoh beribadat itu mendapat 'Haji Mabrur.'
Maksud 'Haji Mabrur' ialah ibadah haji yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Dari segi istilah, mabrur membawa dua maksud, iaitu 'bersih, suci dan baik'; dan 'diterima dan mendapat keredaan Allah SWT'.
Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga, maka menjadi harapan setiap orang yang beriman.
Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
"Dari umrah ke umrah
adalah penghapus dosa
di antara kedua-duanya.
Dan haji mabrur ada
balasannya iaitu syurga.
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran, barulah dapat disebut haji mabrur.
Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak adalah dengan ukuran seberapa banyak amal ibadah haji yang dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spiritual yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif. Dari sikap tamak kepada pemurah dari sikap sombong kepada rendah diri, daripada bakhil kepada pemurah.
Mereka yang memperoleh haji mabrur, sebaik sahaja selesai mengerjakan ritual itu dengan tekun dan penuh keinsafan akan memperoleh ketenangan psikologi sehinggalah apabila kembali semula ke kampung halaman, akan menceritakan pengalaman itu sebagai sesuatu yang amat berkesan dan terbaik sepanjang hayat. Kerana itulah setiap daripada mereka bertekad, jika boleh dan berkemampuan akan melakukan ibadat tersebut untuk kesekian kalinya.
Rindu begitu mendalam untuk berada di kota Mekah dan Madinah, dua buah kota yang begitu suci dalam setiap hati umat Islam sehinggakan mereka mudah boleh memaafkan jika berlaku sebarang masalah dan kekurangan sepanjang tempoh peribadatan, kerana ia adalah percubaan Allah SWT mengenai kesabaran manusia. Maka, ketika itulah setiap muslim menjadi seorang yang berjiwa pemaaf, penuh kesyukuran dan reda dengan apa musibah yang menimpa.
Ibadat haji turut mengajak manusia mengimbas semula sejarah lama yang penuh dengan ketekunan dan pengorbanan para nabi yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan kebaikan. Sejarah permulaan ibadat haji tetap dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya, dan kerana itulah selepas mengerjakan wukuf, umat Islam diwajibkan 'berkorban' dengan menyembelihkan binatang ternakan.
Di samping semangat pengorbanan dan keredaan Nabi Ismail as terhadap mimpi ayahandanya sendiri, Nabi Ibrahim as, kisah sedih yang menimpa Siti Hajar yang mundar-mandir mencari air untuk diminum oleh anaknya yang terlalu haus turut dibawa pulang oleh jemaah haji dengan penuh hormat dan keinsafan.
Air zam-zam akan dibahagi-bahagikan kepada sanak saudara dan kenalan sekembalinya ke tanah air dengan harapan ada keberkatannya. Sanak saudara yang menerima seteguk dua air zam-zam itu secara automatiknya mengingatkan kisah itu.
Semangat tawakal Siti Hajar yang dijelmakan menerusi saei Safa dan Marwah menjadi petunjuk kesabaran dan penyerahan kasih sayang hamba. Atas kasih sayang itulah Allah SWT kemudiannya menganugerahkan pancuran air di tengah padang pasir bukan sahaja sebagai penghilang dahaga bahkan lambang ketenangan dan kemenangan dalam kesabaran.
Dalam keadaan bermusafir, terserlah peribadi sebenar seseorang terutama apabila berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Ada ketikanya kita mendengar, oleh kerana berlaku sedikit penyimpangan dalam urusan sebelumnya, orang berkenaan ditimpa musibah, kesesatan walaupun jalan yang dilalui itu adalah jalan yang sama setiap masa, orang itu tidak menemui jalan pulang. Ada yang sesat hingga ketika kemuncak ibadat haji menyebabkan tidak memperoleh haji mabrur.
Pengurusan LTH dengan cekap telah membolehkan bakal Malaysia mengerjakan ibadat itu dengan baik dan sempurna. Kebajikan mereka dijaga dan diberikan perhatian bermula dari tempat pengumpulan hinggalah semasa berada di Mekah dan Madinah, seterusnya sehingga kembali ke tanah air.
Menguruskan jemaah haji turut mempamerkan kesabaran dan kecekapan melayani pelbagai sifat dan naluri manusia, walaupun tujuan dan hasratnya adalah satu, menyerah diri dan menjadi tetamu Allah SWT.
Hakikat itulah sebenarnya yang perlu dibawa pulang dan pengalaman menjalani proses dilahirkan semula dengan keinsafan dan kesedaran spiritual itulah sepatutnya menjadi kerangka perilaku untuk hari-hari seterusnya.
Tetapi, ini jarang berlaku kerana ada dalam kalangan kita mula melupakan pengalaman batin itu setelah beberapa bulan dan tahun selesai menjalani 'proses dilahirkan semula' itu.
Itulah yang sepatutnya berlaku kepada kita semua. Sepatutnya, selepas memasuki madrasah haji dan menerima panggilan nama di depan sebagai 'Tuan Haji' atau 'Puan Hajah', iaitu sudah bergraduasi dengan kemabrurannya, kita berubah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu.
Kita pulang membawa misi mabrur maka seluruh kehidupan dan masa-masa yang kita lalui kemudiannya mestilah memakaikan seluruh sifat mahmudah, bersalaman dan menyemaikan peradaban salam, sebagaimana diteladani oleh Rasullullah SAW.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.