Rabu, 31 Oktober 2012

Hadis Sahih Bukhari Jilid 2



 


Hadis Sahih Bukhari Jilid 2


Dari Abdullah bin Umar r.a., 
katanya dia mendengar Rasulullah saw. bersabda: 
"Telah pergi tiga golongan dari orang-orang yang sebelum kamu sehingga mereka bertemu dengan sebuah gua tempat bermalam, lalu mereka masuk ke dalamnya. Tiba-tiba sebuah batu besar jatuh dari gunung, lantas menutup pintu gua sehingga mereka terkurung di dalamnya. 

Kata mereka, 

"Tidak ada yang dapat melepaskan kalian dari bencana batu ini, melainkan apabila kamu berdoa kepada Allah dengan amal solehmu." 
Maka berdoalah seorang diantara mereka, 


"Wahai, Allah! 
Aku mempunyai ibu-bapa yang sudah tua. 
Biasanya aku tidak mahu memberi minum keluarga dan hamba sahaya ku sebelum keduanya selesai minum. Pada suatu hari aku pergi mencari sesuatu,
 sedangkan aku lama baru kembali, kepada keduanya sehingga mereka tertidur. Aku memerah susu untuk mereka, tetapi ku dapati keduanya masih tidur. 
Dan aku tidak mahu memberikan minuman itu
 kepada keluarga dan sahayaku, sebelum kedua
 orang tua ku itu minum lebih dahulu. 
Aku diam menunggu beliau berdua bangun 
dari tidurnya, sedangkan gelas tetap berada 
di tanganku hingga keduanya bangun ketika 
 fajar telah menyingsing. 
Setelah mereka bangun, 
lalu ku beri mereka minum dengan minuman 
yang telah ku sediakan itu. 
Wahai, Allah! 
Jika aku berbuat demikian betul-betul 
kerana mencari redha Engkau, 
maka bukakanlah bagi kami batu ini 
di mana kami terkurung di dalam gua ini kerananya." Maka bergeserlah batu itu sedikit, 
tetapi mereka masih belum dapat keluar. 

Nabi saw. menceritakan bahawa 
yang lain berdoa pula. 
Katanya: 
"Wahai. Allah! 
Ada seorang gadis yang sangat kucintai, 
ialah anak pakcik ku sendiri. 
Pada suatu ketika aku mengingini dirinya,
 tetapi ia menolak permintaanku. 
Setelah berlalu setahun lamanya, 
iaitu ketika menghadapi musim kemarau, 
ia datang kepadaku dan aku memberikan 
 kepadanya seratus dua puluh dinar, 
supaya ia mahu lari denganku. 
 Permintaan ku itu diturutinya. 
Tetapi ketika aku telah sanggup 
hendak menguasainya, ia berkata kepadaku: 

"Tidak aku bolehkan engkau merosak 
cap kesucianku, melainkan dengan cara 
yang benar (hak). Kerana itu 
aku merasa keberatan melakukan pekerjaan itu 
lalu aku pergi daripadanya sedangkan 
dia seorang gadis yang sangat kucintai. 
Emas yang telah kuberikan kepadanya 
kutinggalkan semuanya. 
Wahai Allah! 
Kalaulah perbuatanku itu 
telah sesuai dengan keredhaan Engkau, 
bukakanlah batu ini bagi kami." 
Maka bergeser pulalah batu itu sedikit, 
tetapi mereka masih belum 
dapat keluar dari gua itu. 




Kata Nabi saw, orang ketiga 
pun berdoa pula. 
Katanya: 
 "Wahai, Allah! 
Aku mengupah beberapa orang pekerja 
dan telahku bayar lunas upah mereka, 
kecuali hanya seorang, kerana ia pergi 
dan upahnya tinggal. Makaku tanam 
 upahnya itu sehingga banyak membuahkan
harta benda. Kemudian ia datang kepadaku!" 
Katanya, 
"Wahai Hamba Allah! 
Bayarlah upahku!" 
Aku katakan kepadanya, 
"Semua yang engkau lihat ini adalah upahmu. 
Unta, lembu, kambing dan biri-biri serta sahaya." Katanya, 
"Wahai Hamba Allah! 
 Janganlah engkau memperolok-olokkanku."
 Jawabku, 
"Sungguh! 
Aku tidak memperolok-olokkanmu. 
Maka diambilnya hartanya itu semuanya 
tanpa satu pun yang ketinggalan. 
Wahai Allah! 
Kalaulah yang demikian itu 
saya perbuat semata-mata kerana 
menuntut keredhaanMu, 
bukakanlah pintu gua ini bagi kami, 
kerana kami terkurung di sini." 
Maka bergeserlah batu itu 
 sehingga mereka dapat 
keluar dari gua itu.
  
 
 

Isnin, 29 Oktober 2012

Mutiara Hadis


Dari Abu Hurairah r.a 
meriwayatkan bahawa satu ketika 
seorang lelaki sedang mencaci Abu Bakar r.a 
sedangkan Nabi s.a.w sedang duduk di hadapannya. Orang itu terus mencacinya sedangkan
 Abu Bakar r.a dan Nabi s.a.w
 terus bersabar mendengarnya.
 Lantas
 Nabi s.a.w tersenyum.
 Apabila orang itu
 mencacinya dengan keterlaluan,
 lantas Abu Bakar r.a menjawab 
akan caciannya. 
Mendengarkan akan jawaban itu, 
Nabi s.a.w begitu marah, bangun,
 lalu meninggalkannya.


Abu Bakar r.a menyusul Nabi s.a.w 
dibelakangnya dan berkata: 
 
" Ya Rasulullah s.a.w, 
apabila orang itu terus 
 mencaciku engkau masih tetap duduk
 dan apabila aku menjawabnya, 
tuan nampaknya marah dan bangun?"


Nabi s.a.w menjawab: 
 
" Semasa kamu diam 
dan bersabar mendengarnya,
 seorang malaikat bersama denganmu 
yang mana sedang menjawab 
caci maki orang itu bagi pihakmu, 
tetapi......
apabila kamu menjawabnya semula, 
malaikat itu meninggalkanmu, 
dan syaitan telah datang di antara kamu,
 dan aku tidak mahu duduk bersama 
dengan syaitan.
  Oleh kerana itu,
aku meninggalkan kamu. "

(Hadith Riwayat Ahmad)
 
 

Ahad, 28 Oktober 2012

Mutiara Hadis


Dari Anas bin Malik r.a., 
katanya Rasulullah saw. 
bersabda :
 
 
"Akan dikeluarkan dari neraka,
 
 orang yang mengucapkan
 
 'La ilaaha illallah',
 
 sedangkan dalam hatinya terdapat
 
 iman seberat biji gandum. 

Kemudian orang yang mengucapkan 
 
'La ilaaha illallah', 

dan di dalam hatinya terdapat 

iman seberat beras.
 
 Kemudian yang mengucapkan
 
 'La ilaaha illallah' 

dan di dalam hatinya
 
 terdapat iman seberat debu."
 
 

Sabtu, 27 Oktober 2012

Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar


Perhimpunan Arafah gambaran Mahsyar

Masjidilharam dipenuhi jutaan umat Islam dari seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji.




SEMALAM jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.



Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.



Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun dibatasi oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.



Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi serta harta tidak lagi 'berguna'.
Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul Jalil.




Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk dihitung amalan semasa hayat kita.



Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak bertepi.



Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan amalan semasa hayat.
Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.
"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia dan mendapat rahmat ilahi.





"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.




Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat manusia sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.
"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang berdasarkan darjat dan kedudukan.
"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.
Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.
Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.
"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.




Ini bertepatan dengan sabda 
Rasulullah SAW yang bermaksud:




 "Sebaik-baik doa adalah

 yang dibaca pada hari Arafah 

dan sebaik-baik ucapan adalah

 ucapan Nabi-nabi sebelumku 

iaitu tiada tuhan yang berhak disembah

 melainkan Allah yang Esa, 

tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan

 dan bagi-Nya kepujian dan Dia 

berkuasa ke atas setiap sesuatu

(Riwayat at Tirmizi)




Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada hamba-hamba-Nya.




Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: 




"Selain Perang Badar, 

tidak ada hari lain yang mana 

syaitan dilihat amat hina, dukacita

 dan marah iaitu pada Hari Arafah 

kerana melihatkan melimpah ruahnya

 rahmat yang turun hari itu

 dan rahmat Allah yang mengampunkan

 dosa para hamba-Nya."




Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka bumi ini.



Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada malaikat dengan firman-Nya; 



"Hambaku datang

 dari segenap pelosok yang jauh 

dalam keadaan tidak terurus 

dan berdebu-debu tubuh mereka

 semata-mata mengharapkan syurga-Ku. 

Jika kamu datang dengan dosa 

sebanyak bilangan pasir, titisan hujan

 atau buih di laut nescaya Aku

 hapuskan semuanya. 

 Allah SWT berfirman:  

"Keluarlah kamu dari Arafah

 dengan dosa yang telah diampunkan

 daripada kamu dan bagi sesiapa

 yang kamu minta ampun untuk mereka".

 (Riwayat al-Bazzar)



Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.




Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, 
Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya: 


"Tidak ada hari yang Allah

 membebaskan hamba-Nya daripada 

api neraka lebih ramai selain hari Arafah." 

Allah SWT hampir dengan hamba-Nya 

dan berbangga dengan mereka 

kepada malaikat dengan berfirman:  

"Apa yang mereka mahu". 

(Riwayat Muslim)


Sumber

Kemuncak ibadat

Haji Mabrur:

 Kemuncak ibadat


Jemaah haji bersembahyang dan berdoa di bukit berbatu di Padang Arafah dekat Mekah, semalam. Pihak berkuasa Arab Saudi menganggarkan 3.4 juta jemaah tempatan dan luar negara itu telah tiba di tanah suci Mekah untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini. - AGENSI




SETIAP tahun Malaysia berhadapan masalah untuk memenuhi keinginan umat Islam untuk menunaikan fardu haji ke Mekah sedangkan kouta yang dibenarkan adalah berjumlah 28,000. Ini bermakna permintaan yang tinggi itu adalah disebabkan kemakmuran yang dinikmati, membolehkan lebih ramai umat Islam menyimpan wang bagi menunaikan ibadat tersebut.




Malangnya, dalam kemewahan itu ramai dalam kalangan umat Islam tidak insaf atas penderitaan yang dihadapi oleh saudara seagama di seluruh dunia, baik umat Islam itu merupakan kumpulan majoriti mahupun sebagai kelompok minoriti.





Umat Islam sebagai kumpulan minoriti di Filipina misalnya terpaksa mengharungi konflik yang panjang, namun kini Bangsamoro boleh menarik nafas lega apabila kerajaan berjanji akan memberikan mereka kuasa autonomi, melaksanakan peraturan syariah dan bersama-sama membangunkan kawasan yang kaya dengan sumber alam itu.




Sebaliknya nasib masyarakat Islam di selatan Thailand masih tidak berubah kerana hampir setiap hari berlaku serangan berdarah hingga hidup mereka dalam ketakutan. 




Nasib lebih malang berlaku ke atas masyarakat Islam di Libya, Iraq, Syria, Pakistan dan Afghanistan. Bagaimanapun, kita di Malaysia tetap bersyukur dengan nikmat yang diperoleh meskipun terlalu banyak 'politiking' sehingga Malaysia perlu diselamatkan.




Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya, dan kerana itulah setiap orang Islam bercita-cita untuk menunaikan ibadat tersebut sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.





Setiap kali musim haji tiba, kita dengan sedarnya mengetahui berhimpunnya umat manusia daripada pelbagai latar belakang, geografi dan warna kulit dalam satu tujuan, iaitu mengabdikan diri kepada Allah SWT menerusi amalan dan niat yang tulus ikhlas agar seusainya peribadatan tersebut, ia akan membentuk akhlak dan peribadi kita seolah-olah "dilahirkan kembali dalam keadaan serba bersih dan suci."




Ibadat haji merupakan kemuncak penyerahan diri manusia sebagai hamba kepada Allah SWT dan pada ketika itu, segala urusan keduniaan dilupakan dengan rela hati. Seluruh waktu digunakan untuk melakukan pelbagai ritual dan dihabiskan dengan mengingati kebesaran nikmat yang dianugerahkan sepanjang hidup agar memperoleh keberkatan-Nya sebagai bekalan memburu syurga di alam yang lebih kekal.




Setiap muslimin akan menggunakan satu bentuk bahasa yang penuh makna penyerahan sebagai 'perjumpaan kudus' dengan Allah SWT. Sebaik-baik sahaja memulakan langkah pertama menuju ke tempat berkumpul sebelum berangkat ke Tanah Suci, bermula dengan doa selamat agar sepanjang tempoh beribadat itu mendapat 'Haji Mabrur.'





Maksud 'Haji Mabrur' ialah ibadah haji yang mendapat kebaikan daripada Allah SWT. Dari segi istilah, mabrur membawa dua maksud, iaitu 'bersih, suci dan baik'; dan 'diterima dan mendapat keredaan Allah SWT'.
Haji mabrur merupakan haji yang sangat mulia dan berharga, maka menjadi harapan setiap orang yang beriman. 




Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 



"Dari umrah ke umrah

 adalah penghapus dosa 

di antara kedua-duanya. 

Dan haji mabrur ada 

balasannya iaitu syurga

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).




Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah kesedaran, barulah dapat disebut haji mabrur.




Dalam ibadah haji yang menjadi ukuran mabrur atau tidak adalah dengan ukuran seberapa banyak amal ibadah haji yang dilakukan itu berupaya melahirkan suatu kesedaran moral dan spiritual yang dapat pula melahirkan semangat untuk melakukan perkara-perkara kebaikan sehingga berjaya mengubah diri daripada sikap negatif kepada sikap positif. Dari sikap tamak kepada pemurah dari sikap sombong kepada rendah diri, daripada bakhil kepada pemurah.




Mereka yang memperoleh haji mabrur, sebaik sahaja selesai mengerjakan ritual itu dengan tekun dan penuh keinsafan akan memperoleh ketenangan psikologi sehinggalah apabila kembali semula ke kampung halaman, akan menceritakan pengalaman itu sebagai sesuatu yang amat berkesan dan terbaik sepanjang hayat. Kerana itulah setiap daripada mereka bertekad, jika boleh dan berkemampuan akan melakukan ibadat tersebut untuk kesekian kalinya.




Rindu begitu mendalam untuk berada di kota Mekah dan Madinah, dua buah kota yang begitu suci dalam setiap hati umat Islam sehinggakan mereka mudah boleh memaafkan jika berlaku sebarang masalah dan kekurangan sepanjang tempoh peribadatan, kerana ia adalah percubaan Allah SWT mengenai kesabaran manusia. Maka, ketika itulah setiap muslim menjadi seorang yang berjiwa pemaaf, penuh kesyukuran dan reda dengan apa musibah yang menimpa.




Ibadat haji turut mengajak manusia mengimbas semula sejarah lama yang penuh dengan ketekunan dan pengorbanan para nabi yang diutuskan untuk membimbing manusia ke jalan kebaikan. Sejarah permulaan ibadat haji tetap dikaitkan dengan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya, dan kerana itulah selepas mengerjakan wukuf, umat Islam diwajibkan 'berkorban' dengan menyembelihkan binatang ternakan.




Di samping semangat pengorbanan dan keredaan Nabi Ismail as terhadap mimpi ayahandanya sendiri, Nabi Ibrahim as, kisah sedih yang menimpa Siti Hajar yang mundar-mandir mencari air untuk diminum oleh anaknya yang terlalu haus turut dibawa pulang oleh jemaah haji dengan penuh hormat dan keinsafan.




Air zam-zam akan dibahagi-bahagikan kepada sanak saudara dan kenalan sekembalinya ke tanah air dengan harapan ada keberkatannya. Sanak saudara yang menerima seteguk dua air zam-zam itu secara automatiknya mengingatkan kisah itu. 




Semangat tawakal Siti Hajar yang dijelmakan menerusi saei Safa dan Marwah menjadi petunjuk kesabaran dan penyerahan kasih sayang hamba. Atas kasih sayang itulah Allah SWT kemudiannya menganugerahkan pancuran air di tengah padang pasir bukan sahaja sebagai penghilang dahaga bahkan lambang ketenangan dan kemenangan dalam kesabaran.




Dalam keadaan bermusafir, terserlah peribadi sebenar seseorang terutama apabila berhadapan dengan dugaan dan cabaran. Ada ketikanya kita mendengar, oleh kerana berlaku sedikit penyimpangan dalam urusan sebelumnya, orang berkenaan ditimpa musibah, kesesatan walaupun jalan yang dilalui itu adalah jalan yang sama setiap masa, orang itu tidak menemui jalan pulang. Ada yang sesat hingga ketika kemuncak ibadat haji menyebabkan tidak memperoleh haji mabrur.



Pengurusan LTH dengan cekap telah membolehkan bakal Malaysia mengerjakan ibadat itu dengan baik dan sempurna. Kebajikan mereka dijaga dan diberikan perhatian bermula dari tempat pengumpulan hinggalah semasa berada di Mekah dan Madinah, seterusnya sehingga kembali ke tanah air.



Menguruskan jemaah haji turut mempamerkan kesabaran dan kecekapan melayani pelbagai sifat dan naluri manusia, walaupun tujuan dan hasratnya adalah satu, menyerah diri dan menjadi tetamu Allah SWT. 



Hakikat itulah sebenarnya yang perlu dibawa pulang dan pengalaman menjalani proses dilahirkan semula dengan keinsafan dan kesedaran spiritual itulah sepatutnya menjadi kerangka perilaku untuk hari-hari seterusnya.
Tetapi, ini jarang berlaku kerana ada dalam kalangan kita mula melupakan pengalaman batin itu setelah beberapa bulan dan tahun selesai menjalani 'proses dilahirkan semula' itu.


Itulah yang sepatutnya berlaku kepada kita semua. Sepatutnya, selepas memasuki madrasah haji dan menerima panggilan nama di depan sebagai 'Tuan Haji' atau 'Puan Hajah', iaitu sudah bergraduasi dengan kemabrurannya, kita berubah lebih baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan terdahulu.


Kita pulang membawa misi mabrur maka seluruh kehidupan dan masa-masa yang kita lalui kemudiannya mestilah memakaikan seluruh sifat mahmudah, bersalaman dan menyemaikan peradaban salam, sebagaimana diteladani oleh Rasullullah SAW.