Solat berjemaah satukan ummah
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Memberi salam umpamanya, biarpun perbuatan itu dianggap perkara kecil dan remeh di sebaliknya terangkum hikmah bermakna.
Mendahului ucapan salam kepada orang Islam yang lain amat dialu-alukan dianjurkan. Itulah yang diperintahkan Nabi kepada kita.
Walaupun memberi salam perbuatan sunat saja, tetapi intipati maknanya amat mendalam dalam mewarnai corak dan gaya kehidupan.
Pada zaman sahabat dulu, mereka berebut-rebut memberi salam. Rasulullah berpesan kepada umatnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu pasti masuk syurga dengan selamatnya.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan at-Tirmidzi).
Dalam satu kisah lain, Nabi berkata: “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan salam di antara kamu.” (Hadis riwayat Muslim).
Dua pesanan Nabi itu seharusnya kita mantapkan dan lakukan dengan penuh ikhlas.
Apabila salam itu dilafazkan dengan niat ikhlas kerana Allah, ia ‘memercikkan’ gelora rasa kekitaan dan kebersamaan sesama kita.
Ternyata salam menjadi strategi berkesan dalam merungkai permasalahan kelompok sosial sekali gus membina ikatan ukhuwah yang erat.
Satu lagi elemen dalam Islam yang nyata bermanfaat dalam merencana hubungan ukhuwah adalah menerusi solat berjemaah.
Malangnya, masjid kini hanya dipenuhi pada hari Jumaat, solat hari raya atau pada malam sepanjang Ramadan untuk bertarawih.
Waktu lain, masjid sepi dan hanya dimakmurkan segelintir masyarakat warga emas saja.
Justeru, kita perlu kembali menyemarakkan masjid dan surau dengan solat berjemaah kerana ia bukan semata-mata perintah Allah, tetapi berupaya mengukuhkan ikatan perpaduan.
Daripada Abu Mas’ud al Ansari, katanya: “Sesungguhnya Rasulullah merapatkan bahu-bahu kami ketika (hendak dirikan) solat sambil berkata, “Betulkan, penuhkan dan rapat-rapatkan saf-saf solat kamu. Jangan jadikannya bengkang-bengkok, nescaya nanti akan berselisih hati-hati kamu. Hendaklah saf paling dekat dengan aku terdiri daripada orang cerdik pandai dan matang fikirannya daripada kalangan kamu. Kemudian hendaklah mengikuti saf seterusnya orang yang baligh, tetapi belum matang pemikirannya atau orang yang hampir mencapai umur baligh. Kemudian hendaklah mengiringi saf seterusnya kanak-kanak yang mumaiyiz dan yang sepertinya.”
Oleh itu, sebelum melaksanakan solat kita perlu memastikan saf diluruskan terlebih dulu. Umat Islam perlu sentiasa bersatu padu dan solat berjemaah itu adalah amalan yang mampu menyatukan mereka.
Sejarah sirah Rasulullah membuktikan umat Islam ketika itu memaksimumkan penggunaan masjid hingga mampu menjana ukhuwah yang kukuh.
Apabila berhijrah ke Madinah, mereka mendirikan solat berjemaah dan berterusan memeliharanya. Komitmen tinggi yang dipamerkan Rasulullah dan sahabat, maka terhasillah komuniti ummah dinamik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.