Ahad, 3 Jun 2012

Tujuh petunjuk kebahagiaan






Tujuh petunjuk

kebahagiaan umat Islam di dunia




Bersyukur mendapat nikmat,

mencari rezeki dari sumber halal

antara dituntut agama






IBNU Abbas salah seorang sahabat Rasulullah SAW
yang diberi gelaran Turjumanul Quran yang bermaksud ahli yang pakar
dalam menterjemah dan mentafsirkan al-Quran.
Dia sangat tekun menjaga dan melayani Rasulullah SAW
sehingga pernah didoakan secara khusus oleh Rasulullah SAW
supaya dikurniakan kefahaman mendalam dalam
agama dan ilmu takwil al-Quran.





Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:





“Kamu berdoa

dengan doa yang amat baik,

namun makanan, minuman, dan pakaian

serta tempat tinggalnya diperoleh

dari sumber haram, maka bagaimana mungkin

doanya akan dimakbulkan Allah SWT?”






Pada usia sembilan tahun, Ibnu Abbas
menghafal al-Quran dan menjadi imam di masjid.
Sejak kecil, Ibnu Abbas sudah menunjukkan kecerdasan luar biasa
dan semangat yang tinggi dalam menuntut ilmu.







Pelbagai gelaran diberikan kepada Ibnu Abbas
antaranya Faqih al-Ashr (ahli fekah pada zamannya),
Imam al-Mufassirin (penghulu ahli tafsir),
dan al-Bahr (lautan ilmu).







Pada suatu hari, Ibnu Abbas ditanya oleh
seorang tabiin mengenai petunjuk kebahagiaan dunia
yang dinikmati oleh Muslim. Lantas, Ibnu Abbas menjawab
, terdapat tujuh petunjuk kebahagiaan dunia.







Pertama,
hati yang selalu bersyukur dan menerima segala nikmat
dengan penuh keikhlasan. Setiap Muslim wajib bersyukur
ke atas pelbagai nikmat dikurniakan Allah SWT,
baik kecil mahupun besar. Bersyukur dan mengingati Allah
akan memudahkan semua amalan serta kegiatan.






Kedua,
pasangan hidup yang salih akan mewujudkan
suasana rumah tangga serta keluarga yang salih pula.
Pada hari akhirat kelak, seorang suami yang juga imam
dalam lingkungan keluarganya, akan diminta
pertanggungjawaban mengajak isteri dan anaknya
ke arah kehidupan salih.







Selanjutnya, isteri solihah akan memiliki kesabaran
dan keikhlasan luar biasa dalam melayani kerenah suami
dan pelbagai ragam tabiat anak-anaknya.







Ketiga,
anak yang salih. Anak sebenarnya amanah dan ujian
daripada Allah kepada setiap ibu bapa.
Firman Allah yang bermaksud:





“Dan

ketahuilah bahawa harta benda kamu

dan anak kamu itu hanyalah ujian

dan sesungguhnya di sisi Allah jugalah

pahala yang besar.”

(Surah al-Anfal, ayat 28)







Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:






“Apabila seorang anak Adam meninggal,

maka terputuslah pahala seluruh amalannya

kecuali pahala daripada tiga perkara;

iaitu amalan sedekah jariah,

ilmu yang bermanfaat,

dan anak salih yang selalu mendoakan untuk

kesejahteraan kedua orang tuanya.”

(Hadis riwayat Muslim)







Imam al-Ghazali ada menegaskan:







“Kanak-kanak adalah amanah Allah

kepada ibu bapa.

Hatinya yang masih bersih

adalah mutiara berharga yang sedia menerima

untuk dibentuk dan digilap.”







Pernah satu ketika, Rasulullah SAW menjawab
pertanyaan seorang anak muda yang selalu
menggendong ibunya yang uzur.





“Ya Rasulullah,

apakah aku termasuk


berbakti kepada orang tua?”

Rasulullah SAW menjawab,

“Sesungguhnya

Allah SWT amat reda kepadamu,

kamu adalah anak yang salih dan berbakti

kepada dua orang tua, akan tetapi

wahai anakku,

ketahuilah bahawa cinta orang tuamu itu

tidak akan terbalaskan olehmu

sampai bila-bila.”







Keempat,
persekitaran yang kondusif untuk iman kita.
Sehubungan itu,
Allah SWT berfirman yang bermaksud:








“Wahai orang yang beriman!

Bertakwalah kamu kepada Allah,

dan hendaklah kamu berada

bersama orang yang benar.”

(Surah al-Taubah, ayat 119)







Justeru, Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya
supaya bersahabat dengan orang yang dapat
memberi kebaikan dan sering menasihati
kepada perkara makruf.







Kelima,
harta yang halal.
Islam mengutamakan kualiti harta,
bukannya kuantiti.
Diriwayatkan Imam Muslim, Rasulullah SAW
pernah bertemu seorang sahabat yang mengangkat tangan
lalu berdoa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:








“Kamu berdoa

dengan doa yang amat baik,

namun makanan, minuman, dan pakaian

serta tempat tinggalnya diperoleh

dari sumber haram, maka bagaimana mungkin

doanya akan dimakbulkan Allah SWT?”







Keenam,
semangat memahami dan mendalami ilmu agama.
Semakin lama, mendalam dia belajar
dan menuntut ilmu agama, maka semakin tinggi
serta mendalam cintanya kepada agama,
semakin menebal pula cintanya
kepada Allah dan Rasul-Nya.







Cinta inilah yang akan
memberi cahaya bagi hatinya,
kerana semangat memahami dan mendalami ilmu agama
akan menghidupkan hatinya.







Justeru,
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:








“Kelebihan seorang berilmu

berbanding dengan seorang abid

adalah ibarat kelebihan bulan purnama

yang terang benderang di sisi gugusan bintang

bergemerlapan dan cakerawala yang lain.”

(Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)







Ketujuh,
umur yang diberkati Allah SWT.
Semakin tua seseorang itu,
maka dia menjadi semakin salih seperti resmi padi,
semakin berisi semakin tunduk.
Oleh itu,
setiap detik dan saat yang dilaluinya,
akan diisi dengan amal ibadah.







Benarlah apabila seorang ahli sufi terkenal berkata:









“Wahai anak cucu Adam!

Hidup kamu hanyalah himpunan hari-hari

yang dapat dihitung.

Bila berlalunya satu hari

bererti hilanglah sebahagian darimu.

Dan

jika hilang sebahagian darimu,

maka bertambah dekatlah masa matimu.

Sekiranya kamu mengetahui dan menginsafi hal ini,

hendaklah kamu beramal salih.”















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.