Khamis, 16 Februari 2012

Masyarakat prihatin boleh eratkan persaudaraan







Hidupkan budaya


'jaga tepi kain' cegah kemungkaran




Oleh Hizbur Rahman






Masyarakat prihatin boleh eratkan persaudaraan






AJARAN Islam menetapkan bahawa
aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan dan nahi mungkar
(mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan
atau agenda tertinggi dalam Islam.
Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah
maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulnya di atas muka bumi ini.


Andai kata aktiviti amar makruf dan nahi mungkar ini
dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan,
maka akan menyaksikan budaya jahiliah bermaharajalela,
persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat
serta masyarakat semakin rosak.








" Dan

tetap tekunlah engkau

memberi peringatan, kerana sesungguhnya

peringatan itu mendatangkan faedah

kepada orang yang beriman."



- Al-Dzaariyat, ayat 55








Kadangkala ada di kalangan kita tidak mengambil kisah
dan mengambil berat perbuatan jenayah atau gejala sosial
yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar
laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah
hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat
pertolongan daripada mereka yang berada di situ.






Persoalan besar timbul ialah
mengapa ada di kalangan kita tidak mempedulikan untuk
melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar itu.
Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat
dengan pepatah Melayu ‘jangan jaga tepi kain orang’,
atau mangsa bukan keluarga kita, menyebabkan kita
tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita
sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak di dera,
pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran
di rompak pun kita tidak mempedulikannya.






Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat kedua bermaksud:





“Dan hendaklah kamu

tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa,

dan janganlah kamu tolong-menolong

pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dan bertakwalah kepada Allah,

kerana sesungguhnya Allah maha berat azab seksa-Nya

(bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).
"





Pada prinsipnya pepatah ‘jangan jaga tepi kain orang’
bercanggah dengan tatacara hidup Islam
yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara,
saling bantu-membantu, faham-memahami antara satu sama lain.







Rasulullah SAW memberi peringatan keras
kepada umatnya dalam sabdanya:








“Tidak beriman seseorang itu

sehinggalah ia mengasihi saudaranya

seperti mana ia mengasihi dirinya”


(Riwayat Muslim)






Berdasarkan peringatan Rasulullah ini,
saya menyeru pembaca dan umat Islam sekalian
marilah melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar
dalam masyarakat dan kehidupan berjiran
kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketakwaan kita.






Selain itu, amalan ‘menjaga tepi kain orang’ sebenarnya
mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan.
Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat
siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenal pasti
orang yang mencurigakan yang bergerak di sekitar kita.
Bagaimanapun amalan ‘menjaga tepi kain orang’
yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah
dengan prinsip amar makruf dan nahi mungkar.






Justeru, pembaca dan umat Islam sekalian
jangan mudah cepat marah apabila anak-anak kita
ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu
mungkin untuk membimbing dan mendidiknya.
Kita mungkin tidak nampak tingkah laku apa
yang dilakukan anak itu.
Tidak salah jika orang lain melihat dan menegur misalnya
anak bermain di tepi longkang, anak merayau-rayau di tepi jalan,
menagih dadah, mencuri dan sebagainya.
Kita sewajarnya bersyukur
jika terdapat jiran yang prihatin dan mengambil peduli
menegur anak anak kita kerana
memberi manfaat besar kepadanya.






Wajar kita ketahui bahawa
budaya atau amalan nasihat-menasihati,
tegur-menegur adalah unsur penting dalam
‘amalan menjaga tepi kain orang’
kerana ia membawa kebaikan.





Firman Allah SWT dalam surah al-Dzaariyat ayat 55:





“Dan

tetap tekunlah engkau memberi peringatan,

kerana sesungguhnya peringatan itu

mendatangkan faedah kepada

orang yang beriman”.







Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat
tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan
yang prihatin terlebih dulu. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya
seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar RA.






Menurut beliau ketika hendak makan,
tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya.
Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa.
Rupa-rupanya kucing itu mencampakkan daging itu
ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh
seekor ular buta yang kelaparan.
Renungilah,
betapa prihatinnya haiwan ini
walaupun berlainan jenis.





Allah SWT sengaja mempamerkan
naluri sayang binatang ini
untuk menjadi pengajaran buat manusia.
Walaupun ada antaranya bersifat ganas,
tetapi keprihatinannya sangat tinggi.

















Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.