Tips Menyambut Ramadhan
Ramadhan yang penuh dengan kelimpahan kebaikan dan keutamaan akan dapat dirasakan dan diraih ketika ilmu tentang Ramadhan difahami dengan baik.
Bayangkan, para generasi awal Islam sangat merindukan bertemu dengan bulan suci ini. Mereka berdo’a selama enam bulan sebelum kedatangannya agar mereka dipanjangkan umurnya sehingga bertemu dengan Ramadhan akan datang.
Ketika Ramadhan tiba, mereka sungguh-sungguh meraih kebaikan dan keutamaan Ramadhan dan ketika mereka berpisah dengan Ramadhan, mereka berdo’a selama enam bulan setelahnya, agar kesungguhannya diterima oleh Allah swt. Kerinduan itu ada pada diri mereka kerana mereka sedar dan faham betul keutamaan dan keistimewaan Ramadhan.
Bagaimana kita menyambut bulan Ramadhan?
Berikut adalah beberapa tips yang mungkin boleh membantu kita untuk menyambut Ramadhan dengan penuh makna :
1.Berdoalah agar Allah swt memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadan dalam keadaan sihat walafiat. Dengan keadaan sihat sejahtera, kita boleh melaksanakan ibadah secara maksimum di bulan itu, samada puasa, solat, tilawah, dan zikir.
Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahwa Rasulullah SAW apabila masuk bulan Rajab selalu berdoa, “Allahuma bariklana fii rajab wa sya’ban, wa balighna ramadan.” Ertinya, Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rajab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.
(HR. Ahmad dan Tabrani)
Para salafush-soleh selalu memohon kepada Allah agar diberikan kurnia bulan Ramadhan dan berdoa agar Allah menerima amal mereka.
Bila telah masuk awal Ramadhan, mereka berdoa kepada Allah, “Allahu akbar, allahuma ahillahu alaina bil amni wal iman was salamah wal islam wat taufik lima tuhibbuhu wa tardha.” Ertinya, Ya Allah, kurniakan kepada kami pada bulan ini keamanan, keimanan, keselamatan dan keislaman; dan berikan kepada kami taufik agar mampu melakukan amalan yang engkau cintai dan ridhai.
2. Bersyukurlah dan pujilah Allah di atas kurnia Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita.
Al-Imam An Nawawi dalam kitab Adzkar-nya berkata,
“Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur; dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya. “
Di antara nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat walafiat, kita mesti bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.
3. Bergembira dengan kedatangan bulan Ramadhan.
Rasulullah saw sentiasa memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali datang bulan Ramadhan,
“Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR Ahmad).
Salafush-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan kerana bulan itu bulan penuh dengan kebaikan dan turunnya rahmat.
4. Rancangkan agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebanyak mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Oleh kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang boleh membersihkan diri dan mendekatkan diri kepada Allah swt.
5. Kuatkan azam dan bulatkan tekad untuk mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Barangsiapa jujur kepada Allah, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahkannya untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti kebaikan. “Tetapi jikalau mereka benar terhadap Allah, niscaya yang demikian itu lebih baik bagi mereka.” (QS Muhammad : 21)
6. Pelajarilah hukum-hukum semua amalan ibadah di bulan Ramadhan. Wajib bagi setiap mukmin beribadah berlandaskan ilmu. Kita wajib mengetahui ilmu dan hukum berpuasa sebelum Ramadhan datang agar puasa kita benar dan diterima oleh Allah swt.
“Tanyakanlah kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui,” begitu firman Allah swt di dalam Al-Qur’an surah Al-Anbiyaa’ ayat 7.
7. Sambut Ramadhan dengan tekad meninggalkan dosa dan kebiasaan yang buruk. Bertaubatlah secara benar dari segala dosa dan kesalahan. Ramadhan adalah bulan taubat.
“Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung.” (QS An-Nur : 31)
8. Persiapkan jiwa dan ruhiyah kita dengan bacaan yang boleh mendukung proses “tadzkiyatun- nafs“. Hadiri majlis-majlis ilmu yang membahas tentang keutamaan, hukum, dan hikmah puasa sehingga secara mental, kita siap sedia untuk melaksanakan ketaatan pada bulan Ramadhan.
9. Siapkan diri untuk berdakwah di bulan Ramadhan dengan:
a. Buat catatan kecil untuk beri tazkirah tarawikh atau selepas solat subuh dan zuhur.
b. Menyebarkan untaian-untaian nasihat dan keutamaan puasa.
10. Sambutlah Ramadhan dengan membuka lembaran baru yang bersih :
a. Kepada Allah dengan taubat nashuha.
b. Kepada Rasulullah saw, dengan meneruskan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya.
c. Kepada ibubapa, anak-isteri dan sahabat handai dengan mempereratkan hubungan silaturahim.
d. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka kerana manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat kepada orang lain.
Semoga Allah swt memanjangkan umur kita sehingga berjumpa dengan Ramadhan pada tahun ini dan selamat meraih kebaikan-kebaikannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.