Karya pertama ilmu tajwid
ILMU tajwid adalah ilmu yang terawal wujud berbanding dengan ilmu yang lain. Ini kerana ilmu tajwid mengiringi penurunan al-Quran dan peranannya ialah menjaga bacaan al-Quran. Dalam prinsip disiplin ilmu tajwid, dinyatakan bahawa kepentingannya ialah untuk memastikan al-Quran dibaca dengan betul dan menjaga lidah daripada melakukan kesalahan.
Pada mulanya, ilmu tajwid diamalkan dalam pembacaan tanpa dicatat di dalam penulisan. Semua hukum-hakamnya, sama ada izhar, idgham, iqlab, mad wajib, mad lazim dan lain-lain diamalkan walaupun ketika itu belum diistilah dengan nama tertentu. Jika qari salah membaca al-Quran, guru akan memberi teguran sebagaimana berlaku kepada Abdullah Ibnu Masaud r.a.
Al-Tabarani dalam Muajam al-Kabir meriwayatkan kisah Abdullah Ibnu Masaud yang mengajar seorang lelaki membaca al-Quran. Lelaki itu membaca kalimah al-Fuqara dengan memendekkan sebutannya.
Lalu Abdullah Ibnu Masaud r.a memberi teguran dengan berkata,Bukan begitu Rasulullah SAW mengajar ku membacanya.Lelaki itu bertanya.Bagaimanakah Rasulullah SAW mengajar kamu membacanya wahai Abu Abdul Rahman? Lalu Abdullah Ibnu Masaud membacanya dengan memanjangkan suara pada al-Fuqara.
Karya pertama dalam ilmu tajwid ditulis oleh Abi Muzahim Musa al-Khaqani dari Baghdad yang meninggal dunia pada 325 Hijrah. Penulisan pertama ini mencetus idea ulama selepasnya untuk lebih teliti dan kemas dalam penulisan tajwid. Kitab tersebut ditulis dalam bentuk syair sebanyak 51 rangkap.
Kandungannya antara lain menyebut tujuh imam Qiraat Nafei, Ibnu Kathir, Abu Amru, Ibn Amir, Asim, Hamzah dan al-Kisaie. Dinyatakan juga beberapa kelebihan membaca al-Quran. Dalam perbahasan tajwid, penulisnya mengulas tentang huruf yang dibaca dengan tebal dan huruf yang dibaca dengan nipis.
Kaedah yang penting juga ialah keperluan pembaca al-Quran menjaga bacaannya supaya tidak berlaku penambahan dan selalulah meminta petunjuk daripada Allah SWT. Beliau juga menyebut tentang perlunya menyebut huruf mengikut kadarnya dan jangan melebihkan sebutannya kerana ia adalah sebaik-baik amalan.
Walaupun karya pertama tajwid ini ringkas tetapi kandungannya adalah berkaitan prinsip membaca al-Quran. Abu Amru yang meninggal dunia pada 444 Hijrah adalah merupakan seorang yang alim dalam ilmu tajwid dan qiraat telah membuat huraian terhadap karya Abu Muzahim tersebut.
Dalam syarahnya, Abu Amru membawa pendapat atau pandangan yang lebih luas. Dalam isu mengajar al-Quran umpamanya, Abu Muzahim menyarankan agar mengajar murid tidak melebihi 10 ayat.
Namun begitu, dalam syarahnya Abu Umru al-Dani menyebut bahawa jika guru mendapati muridnya menguasai kaedah bacaan dan lidahnya lembut untuk membaca al-Quran maka diizinkan untuk membaca lebih daripada 10 ayat.
Beliau membawa sejarah ulama sebelumnya belajar al-Quran. Imam Hamzah mengajar al-Quran kepada Sufian al-Thauri. Setiap kali membaca di hadapan Imam Hamzah, Sufian al-Thauri membaca dengan 50 ayat, diikuti dengan Sulaim Ibnu Isa, al-Kisai dan rakan-rakanya yang membaca sebanyak 30 ayat dan seterusnya al-Yasykuri membaca 10 ayat. Warsy seorang perawi kepada Imam Nafiea meriwayatkan bahawa gurunya itu mengajar al-Quran dengan 30 ayat kepada setiap seseorang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.