Rabu, 6 November 2013

Jadikan Maal Hijrah inspirasi hijrah minda


Jadikan Maal Hijrah inspirasi hijrah minda

RAJA Dr. Nazrin Shah berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak kepada Sulaiman Ismail pada Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1435H/2013M di Masjid Daerah Kinta, Batu Gajah, Perak, semalam. 
 
 
 
BATU GAJAH 5 Nov. - Peristiwa hijrah yang dirintis oleh Rasulullah SAW pada 1,435 tahun lalu perlu dijadikan sumber inspirasi oleh umat Islam untuk berani melakukan penghijrahan minda bagi terus maju dan lebih berjaya.



Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah, peristiwa hijrah adalah contoh kesediaan meninggalkan tata cara lama yang tidak berkesan dan lambang keberanian menggugurkan tata cara usang yang perlu diubah suai.



Baginda bertitah, ketidakberanian melakukan penghijrahan minda terbukti menjadi punca tercicirnya tamadun agung serta mengakibatkan sesuatu bangsa berfikiran tertutup yang akhirnya menyebabkan mereka semakin jauh tertinggal di belakang.



“Hari ini ada tamadun, ada budaya, ada bangsa, ada bahasa yang semakin hampir di gerbang pelupusan, mengalami nasib yang telah menimpa dinosaur, jumud dan pupus dari maya ini.



“Sesungguhnya pelbagai peristiwa yang sedang berlaku, meyakinkan bahawa kelebihan dan kemenangan berpihak kepada mereka yang bersedia melakukan hijrah," titah baginda dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1435 Peringkat Negeri Perak di Masjid Daerah Kinta di sini hari ini.



Berangkat sama dalam majlis itu ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Di Hilir, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.



Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Raja Nazrin bertitah, pelbagai perubahan yang berlaku di dalam dan luar negara sejak mencapai kemerdekaan 56 tahun lalu menuntut kepada keperluan dan kesediaan ummah untuk melakukan penghijrahan pendekatan dalam mengurus tadbir negara ini.



“Dasar, tata cara mengurus tadbir negara, begitu juga mengurus tadbir institusi, memerlukan minda yang terus bersedia melakukan penghijrahan kerana tanpa pembaharuan dan inovasi, kejayaan tidak selama-lamanya kekal berada di puncak," titah tuanku.



Menurut baginda, kejayaan negara Jepun, Korea Selatan dan China berupaya muncul sebagai kuasa ekonomi dunia dicetuskan oleh pelbagai penghijrahan minda dan anjakan pendekatan dalam dasar serta polisi negara berkenaan.



Raja Nazrin juga memberikan contoh bagaimana pemimpin Parti Komunis China, Deng Xiaoping membawa perubahan besar kepada China dengan melakukan penghijrahan kepada ekonomi pasaran dan mengamalkan dasar luar negara yang lebih terbuka untuk membolehkan terjalinnya hubungan antarabangsa yang lebih mesra pada 1978.



“Hasil daripada penghijrahan pendekatan yang dilakukan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China yang berada pada purata 53.6 bilion dolar Amerika sekitar tahun 1970-an melonjak kepada 8.2 trilion dolar Amerika pada 2012. Negara China dalam tahun 1970-an hanya memberi sumbangan lima peratus ekonomi dunia, hari ini muncul sebagai ekonomi kedua terbesar dunia," titah baginda.
Pada majlis itu, bekas Kadi Besar Perak, Sulaiman Ismail, 77, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1435 Peringkat Negeri Perak.



Anugerah itu merupakan yang kedua bagi Sulaiman selepas dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali semasa sambutan Maulidur Rasul peringkat Negeri Perak pada tahun lalu.
.UTUSAN ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.