Sabtu, 9 November 2013

:)..Doa Nabi Yunus


 

Allahumma
la ilaha illa anta
 Subhanaka
 inni kuntu minazzhalimin
 
“Ya Allah, 
tidak ada Tuhan selain Engkau. 
Maha Suci Engkau. 
Sungguh aku ini termasuk
 orang-orang yang zalim”.



“Ya Allah Tiada apa pun yang berhak 
sebagai Tuhan melainkan Engkau ya Allah 
dan Sungguh ya Allah, aku ini adalah 
termasuk dalam golongan orang yang zalim. 
Yang menzalimi diriku sendiri ya Allah 
dengan tidak berserah kepadaMu ya Allah.
Ya Allah aku mohon ya Allah 
agar diperkuatkan jiwa ini ya Allah, 
diberi petunjuk ya Allah. 
Kuatkan jiwa ini agar mampu berserah ya Allah. 
ya Allah………… ya Allah……….. ya Allah……”
 Amin Ya Rabbal Alamin.

  La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin.” Demikianlah doa atau zikir yang masyhur diajar dan diamalkan oleh umat Islam. Ia bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Doa yang baik lagi mujarab ini diucapkan oleh Nabi Yunus sebagaimana dirakamkan oleh Allah:



 
          "Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun Nun (gelaran bagi Nabi Yunus), ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” 


 [al-Anbiya’ 21:87]




Sedikit Latarbelakang Kisah Nabi Yunus.

 
          "Nabi Yunus bin Matta ialah salah seorang Rasul Allah:

 [al-Shaffat 37:139]. 




Ketika diutus kepada kaumnya, beliau marah atas keengganan mereka untuk menerima dakwah tauhid yang disampaikannya. Justeru dalam keadaan marah, beliau meninggalkan kaumnya dan menaiki kapal. Sayang sekali dalam pelayaran, kapal tersebut agak sarat dengan muatan sehingga hampir tenggelam. Para penumpang melakukan undian, siapakah yang perlu dibuang ke laut bagi meringankan bebanan kapal. Nabi Yunus turut mengundi lalu kalah, maka beliau terpaksa terjun dari kapal itu ke lautan luas.



 
          Di dalam lautan luas, Nabi Yunus ditelan pula oleh sebuah ikan yang besar, kemungkinan salah satu dari spesis ikan paus. Dalam perut ikan yang gelap-gelita itulah, Nabi Yunus menyedari kesalahannya melarikan diri dari misi dakwahnya, lalu banyak berdoa dan berzikir kepada Allah dengan kalimah “La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin.” Maka dengan doa ini, Allah berfirman:



 “Maka Kami kabulkan permohonan doanya dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang menyelubunginya dan demikianlah kami selamatkan orang-orang yang beriman.”


 [al-Anbiya’ 21:88]




 
          Seandainya Nabi Yunus tidak mengingati Allah dengan doa tersebut, maka Allah menyatakan:


 “Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah, tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur.

 [al-Shaffat 37: 142-143]


 
          Apakah rahsia di sebalik doa “La ilaha illa anta, Subhanaka, inni kuntu minaz zhalimin” yang secara zahirnya seperti ringan disebut, mudah dihafal? Bagaimana mungkin satu doa seperti ini dapat menyelematkan seseorang dari musibah yang amat besar, sebesar ditelan oleh ikan paus? Adakah doa ini khusus untuk Nabi Yunus atau umum untuk semua umat Islam? Demikianlah beberapa rahsia dan misteri yang ingin saya kongsikan seterusnya.




Rahsia 1:


 
Rahsia pertama, perhatikan bahawa doa ini dibuka dengan kalimah tauhid “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Kalimah tauhid tidak sekadar bermaksud tiada tuhan yang berhak aku sembah melainkan Allah, tetapi dalam konteks ini juga bermaksud tiada tuhan yang patut aku mengadu, mengharapkan keampunan dan menghajatkan keselamatan melainkan Allah. Pembukaan seperti ini membuktikan kemantapan dan ketulenan tauhid Nabi Yunus di mana beliau tidak mengadu, merungut dan berharap kepada sesiapa dan apa jua melainkan kepada Allah sahaja.



 
Ini merupakan manhaj para Rasul dan Nabi yang mesti kita ikuti. Perhatikan – sebagai contoh lain – sikap Nabi Ayyub ketika beliau ditimpa penyakit. Beliau tidak mengadu kepada para doktor atau selainnya, tetapi mengadu kepada Allah sahaja:      




"Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika dia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.”

  [al-Anbiya 21:83]



Rahsia 2:


 
Seterusnya Nabi Yunus mengucapkan “Maha Suci Engkau (ya Allah)”, bererti mensucikan Allah dari sebarang bentuk kezaliman atau penganiayaan. Lebih mendalam, Nabi Yunus menyucikan Allah bahawa apa yang menimpanya saat itu (ditelan oleh ikan paus) bukanlah merupakan satu bentuk penganiayaan oleh Allah ke atas dirinya.



 
Penyucian ini penting ditegaskan kerana kadangkala apabila ditimpa kesusahan, kita marah atau menyalahkan Allah. Malah kita menuduh Allah sebagai konon sengaja menganiaya diri kita. Maha Suci Allah dari menganiaya manusia, tetapi manusialah yang menganiaya diri mereka sendiri:




 “Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi 
merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.” 


[al-Nahl 16:118]


 
 
Rahsia 3:

 
Tanpa keberatan, tanpa alasan yang berlapik-lapik, Nabi Yunus terus mengaku kesalahannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri.” Nabi Yunus tidak terus meminta ampun kepada Allah, sebaliknya memilih cara yang lebih lembut, beradab lagi merendah diri, yakni dengan mengakui kesalahan dirinya sendiri.



 
Selain itu Nabi Yunus sedar bahawa kesusahan yang menimpanya saat itu, iaitu ditelan oleh ikan paus, merupakan kesan dari kesalahan dirinya sendiri yang melarikan diri dari tugas dakwah yang Allah amanahkan kepadanya. Merupakan sesuatu yang sedia dimaklumi bahawa salah satu faktor seseorang itu ditimpa kesusahan dan kesulitan ialah kerana dosa-dosa hasil dari kesalahan yang pernah dia lakukan sendiri. Allah menyatakan hakikat ini:



 
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.

 [al-Shura 42:30]


 
 
          Demikianlah tiga rahsia di sebalik kemujaraban doa Nabi Yunus. Ia bukan sekadar ucapan yang ringan di mulut lagi mudah dihafal, tetapi ucapan yang memantapkan tauhid, mensucikan Allah dan mengakui kesalahan diri sendiri sekaligus mengisyaratkan pemohonan ampun. Marilah kita sama-sama mengamalkannya ketika susah dan senang sambil memerhatikan rahsia-rahsia di sebaliknya.











 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.