Selasa, 3 September 2013

Status zakat terlebih bayar


Status zakat terlebih bayar

  


SAYA membuat pembayaran zakat menerusi caruman atau potongan gaji pada setiap bulan. Setelah ditaksir oleh pihak Lembaga Zakat Selangor, ternyata zakat bulanan saya hanya sebanyak RM35. Namun saya telah memberikan dalam jumlah yang lebih daripada itu. Soalan saya, adakah ia dikira sebagai zakat atau hanya menjadi seperti sedekah-sedekah biasa?






Jawapan: 





Terima kasih di atas komitmen saudara dalam menunaikan zakat, sehinggakan mahu membayar lebih daripada apa yang telah pun ditaksirkan oleh pihak pegawai zakat. Mudah-mudahan Allah SWT menerima amalan saudara berkenaan dan diberikan keberkatan yang berkekalan hendaknya dalam rezeki saudara, amin.






Baiklah, demi menjawab persoalan saudara, suka dinyatakan bahawa ibadah zakat itu adalah ibadah khususi, yang sudah tertentu kaedah perlaksanaannya. Sama seperti dengan ibadah khususi yang lain, seperti solat, puasa dan haji, ia telah ditentukan oleh Islam kaedah perlaksanaannya (kaifiatnya). 





Maka, di sini dapat kita fahami, dalam melakukan ibadah khususi berkenaan kita tidak boleh mengubah mengurangkan atau menokok tambah sesuatu yang tidak dikehendaki oleh syariat di dalamnya.






Maka, demikianlah kondisinya dalam ibadah zakat dan telahpun dijelaskan oleh para fuqaha bahawa zakat adalah ibadah harta yang mestilah dilaksanakan berdasarkan syarat-syarat tertentu. Salah satu syarat perlaksanaan zakat ialah harta itu mestilah dikeluarkan dengan kadar tertentu apabila ia mencapai paras nisab. Bagi kebanyakan harta zakat, selain haiwan ternakan, produk pertanian dan harta galian, maka kadar yang wajib dikeluarkan adalah sebanyak 2.5 peratus atau menyamai 1/40 sahaja.





Hal ini adalah bersandarkan 
kepada hadis Nabi Muhammad SAW:




 "Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya lima dirham, dan tidak diwajibkan mengeluarkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu mata wang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun."



 (Riwayat Abu Dawud dan Baihaqi 
 daripada Saiyidina Ali kwjh)




Dan begitu juga sebuah hadis yang lain: 




" Zakat perak, ialah seperempat 
puluh dari nilai harga perak itu."


(Hadis sahih Imam Bukhari
 daripada Anas r.a)






Untuk makluman, nilai setengah dinar (0.5 dinar) itu adalah menyamai 2.5 peratus (atau 1/40 bahagian) ke atas keseluruhan 20 dinar atau 200 dirham berkenaan (2.5% X 200 dirham > 5 dirham).






Oleh itu, seseorang yang telah ditaksirkan zakatnya dengan tertentu jumlahnya, maka itu sebenarnya dibuat adalah atas kehendak dalil di atas. Jika saudara memiliki RM100,000, maka zakatnya hanyalah 2.5% X RM100,000 > RM2,500 dan tidak perlulah saudara mengeluarkan jumlah yang lebih kerana memang telah tertentu bahawa zakatnya adalah jumlah yang tersebut.





Jumlah tertentu





Namun begitu, seperti mana yang saudara kemukakan, apakah kedudukan wang yang sengaja dilebihkan? Adakah ia masih dikira zakat atau menjadi sedekah biasa?





Maka, sudah pastilah ia tidak menjadi zakat kerana zakat adalah jumlah yang tertentu. Jika diberikan dengan jumlah yang lebih, maka lebihan itu hanyalah bersifat sunat sahaja (sedekah sunat).






Hal ini boleh disandarkan kepada sebuah hadis yang sangat panjang ketika mana Nabi Muhammad SAW memerintahkan amil pada zaman baginda agar turun ke ceruk desa menaksir zakat haiwan ternakan. Di penghujung hadis itu, Nabi SAW menegaskan: 





" Zakat ghanam (kambing atau biri-biri) ialah ghanam yang lepas (yang meragut secara bebas atau saaimah). Mulai dari 40 ekor hingga 120 ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dari 120 ekor hingga 200 ratus, zakatnya dua ekor Syaatun. Dari 200 ekor hingga 300 ekor, zakatnya tiga ekor Syaatun. Dari 300 ekor hingga seterusnya, tiap-tiap 100 ekor, zakatnya seekor Syaatun. Dan siapa yang mempunyai ghanam kurang dari 40 ekor (belum mencapai nisab ghanam), biarpun hanya kurang seekor (39 ekor), tidak wajib zakat baginya, kecuali kalau dia suka membayarnya (maka dia masih boleh mengeluarkannya dan pihak amil boleh menerimanya)."


  (Hadis sahih Imam Bukhari 
daripada Anas r.a)






Hadis ini menunjukkan, dalam pemberian zakat ghanam di atas, oleh kerana hanya terkurang seekor kambing misalnya, maka pemilik ternakan tidak wajib 
mengeluarkan zakat ternakannya. Namun, Nabi SAW juga menyatakan, jika dia masih mahu memberikan kambingnya kepada pihak pengutip zakat, ia masih boleh diterima dan kala itu, sungguh pun hakikatnya ia bukanlah kambing zakat. Namun ia adalah kambing sedekah yang perlu diraikan oleh amil, yakni diterima dengan baik dan didoakan ke atas pembayarnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.





Demikian jugalah, dalam kes hari ini, memang ramai umat Islam yang melebihkan potongan zakat dan pihak amil wajar menerimanya kerana memang Islam menggalakkan sedemikian.






Walau bagaimanapun, suka juga diingatkan kepada pembayar zakat bahawa kemungkinan besar mereka masih mempunyai pelbagai jenis zakat harta yang lain yang boleh dilunasi lewat potongan gaji bulanan, misalnya zakat qada yang lalu, zakat simpanan atau zakat bagi pihak orang lain (isteri atau suami yang mewakilkannya untuk menunaikan zakat dan ia boleh disekalikan dalam satu resit dan satu nama, namun semasa membuat potongan saudara sendiri memaklumi bahawa sekian jumlah adalah zakat pihak pasangan),dan dalam kaedah ini, syarak tiada halangan untuk menerimanya.




Ini kerana, kaedah potongan gaji hanyalah satu alternatif dalam menunaikan kewajipan zakat dan ia diharap mampu meringan dan mempermudahkan umat Islam demi menunaikan ibadah zakat itu sendiri.





Kesimpulannya, saudara boleh melebihkan amaun bayaran zakat berkenaan dan mudah-mudahan ia dikira oleh Allah SWT sebagai infak yang suci dan ikhlas demi membolehkan saudara mendapat pelbagai keberkatan dan ganjaran besar yang dijanjikan Allah SWT, di dunia dan akhirat, amin.


 Wallahua'lam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.