Intai peluang raih keampunan
Kita sudah berada pada fasa kedua Ramadan yang dijanjikan
keampunan daripada Allah SWT. Jika fasa pertama kita dilihat oleh Allah SWT
dengan pandangan rahmat-Nya, maka keampunan adalah jalan untuk mendapat syurga
pada fasa terakhir nanti.
Justeru, ini umpama bonus yang diumumkan kerajaan apabila menjelang hari raya. Sudah pasti kegembiraan akan terpancar di wajah semua warga kerja kerana ia tepat pada masa dan ketika.
Justeru, ini umpama bonus yang diumumkan kerajaan apabila menjelang hari raya. Sudah pasti kegembiraan akan terpancar di wajah semua warga kerja kerana ia tepat pada masa dan ketika.
Begitulah Ramadan yang dijanjikan dengan pelbagai keistimewaan
di mana penghujungnya adalah keselamatan daripada api neraka. Bagi orang
berpuasa, mereka akan sentiasa mengintai peluang ini kerana yakin akan mendapat
keampunan pada ketika ditentukan Allah SWT.
Allah SWT tidak akan mensia-siakan segala usaha yang dilakukan sepanjang Ramadan. Apatah lagi kepada mereka yang sentiasa mengharapkan keampunan sepanjang bulan mulia.
Berkata Hassan al-Basri: “Perbanyakkan istighfarmu di mana-mana. Di rumahmu, di hadapan hidanganmu ketika berbuka puasa, di sepanjang perjalananmu, di pasar, serta dalam majlismu dan di mana saja kamu berada. Sesungguhnya kamu tidak tahu bilakah datangnya saat keampunan itu.”
Sentiasa mohon keampunan
Menunjukkan saranan untuk kita sentiasa memohon keampunan Allah SWT mestilah berpanjangan serta yakin dengan janji Allah SWT kerana maklum balas inilah yang sangat disukai-Nya.
Di samping memohon keampunan dan bertaubat, kita juga hendaklah mengingati al-Quran, kitab suci yang diturunkan pada Ramadan. Al-Quran akan menjadi fungsi utama dalam memberi syafaat kepada manusia ketika di alam barzakh dan hari kiamat nanti.
Peristiwa nuzul al-Quran, turunnya ayat al-Quran yang pertama kepada Nabi Muhammad SAW, seterusnya berperingkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.
Peristiwa nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan tahun ke-41 selepas keputeraan Nabi Muhammad SAW.
Penghayatan al-Quran
Allah SWT tidak hanya menurunkan al-Quran semata-mata untuk diambil keberkatan oleh si mati atau sebagai perhiasan di dinding rumah, malah sebagai penghayatan untuk mereka yang masih hidup serta melaksanakan isi kandungan terdapat dalam al-Quran.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami turunkan al-Kitab dengan membawa kebenaran dan sebagai keputusan yang wajib dilaksanakan dalam kalangan manusia.” (Surah An-Nisa’, 105)
Fungsi al-Quran sebenar akan dapat dilihat daripada maksud perkataan al-Quran itu sendiri di mana ia mestilah melalui bacaan dan pelaksanaan dalam kehidupan manusia. Bukan saja mereka yang hidup mendapat keberkatan daripadanya, malah mereka yang sudah meninggal juga akan dapat manfaat daripada al-Quran.
Namun, pelaksanaan dalam kehidupan adalah lebih sukar berbanding keberkatan yang diperoleh si mati. Kebanyakan daripada pelaksanaan sistem al-Quran adalah bertentangan daripada sistem yang dicipta manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apakah sistem ciptaan manusia itu lebih baik daripada apa yang diciptakan Allah? Jawapannya hanya ada kepada mereka yang yakin dengan agamanya.” (Surah al-Maidah, ayat 50)
Bersempena bulan diturunkan al-Quran, manusia dituntut mendekati serta mempelajari isi kandungan yang terdapat dalam al-Quran. Di sana ada panduan yang sebenar untuk kebaikan manusia seluruhnya.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada bulan Ramadan, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk bagi manusia serta panduan untuk mencari kebenaran dan kebatilan.” (Surah Baqarah, ayat 185)
Lebih khusus lagi, al-Quran diturunkan ialah pada malam Lailatulqadar seperti firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan (lailatulqadar). Tahukah kamu apakah itu malam kemuliaan (Lailatulqadar) itu? Malam kemuliaan itu (Lailatulqadar) lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan ruh (Jibril) dengan izin Tuhannya untuk mengatur semua urusan. Sejahtera (malam itu) sampai terbit fajar.”
(Surah al-Qadr, ayat 1-5)
Kita dapat melihat orang beriman melipatgandakan usaha mendekati al-Quran. Inilah antara sifat dan keadaan salafus soleh (orang terdahulu) ketika berada di bulan Ramadan, mereka sentiasa mendekatkan diri dengan al-Quran bermula dari membaca, mempelajari dan menghayatinya.
Menangis tatkala membaca atau mendengar bacaan al-Quran adalah satu kaedah untuk menghayati ayat-ayat Allah SWT dan melahirkan rasa takut kepada Allah SWT. Ancaman Allah SWT dengan seksaan neraka kepada mereka yang ingkar dan zalim akan menimbulkan rasa gerun, insaf dan takut terhadap azab Allah SWT.
Mendendangkan al-Quran akan mendidik hati dan jiwa, bahkan jiwa mereka bergetar dan hati tersentuh mendengar untaian kalamullah dibacakan. Namun kelebihan memahami al-Quran hanyalah buat mereka yang mempelajarinya saja.
Namun bagi mereka yang tiada pengetahuan berkaitan al-Quran hendaklah bertanya serta mempelajarinya. Oleh itu, pergunakanlah masa lapang Ramadan ini untuk meningkatkan bacaan al-Quran, banyakkan berzikir, beristighfar dan berselawat kepada Nabi SAW.
Marilah bersama menghayati sejarah nuzul al-Quran dengan azam menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, membacanya, memahami maknanya dan menghayati maksud yang terkandung di dalamnya semata-mata mencari keredaan Allah SWT.

Penulis ialah
Eksekutif Agama
The New Straits Times Press (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.