Isnin, 15 Julai 2013

Bersederhana ketika jalani ibadah puasa




Bersederhana ketika

 jalani ibadah puasa

Berpuasa bukanlah satu ibadat yang mudah walaupun kebanyakan orang sudah dilatih sejak kecil, malah ada yang sudah memulakannya sebelum masuk sekolah lagi. 







Penceramah agama terkenal, Datuk Abu Hassan Din dalam program Mukaddimah terbitan TV9 pernah memberitahu, ibu bapa tidak sepatutnya mengumpan anak yang masih kecil dengan upah dalam usaha ‘memaksa’ mereka berpuasa kerana kita tidak tahu seksa yang ditanggung anak apabila dikerah untuk berlapar.







 

Apa yang perlu diutamakan ialah mendidik mereka menunaikan solat sejak berumur tujuh tahun supaya ia menjadi ibadat yang mesra di hati sepanjang hayat. Ia juga dapat mengelakkan berlakunya keadaan di mana seseorang itu berpuasa tetapi tidak menunaikan solat. 










Dalam Islam, berpuasa bukan sekadar tidak menjamah makanan dan minuman, tetapi perlu menahan diri daripada melakukan segala perbuatan kurang elok yang boleh mengurangkan ibadat ini termasuk pemikiran, pertuturan, tingkah laku, pandangan dan pendengaran. 









Namun dalam berusaha untuk mencapai ibadat puasa yang baik, aspek fizikal tidak diketepikan. Rasa letih dan mengantuk adalah perkara biasa terutama pada minggu pertama. Namun ada beberapa kaedah untuk membantu kita terus bertenaga sepanjang hari berpuasa iaitu: 











  • Bagi individu yang ada masalah kesihatan, sepatutnya berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat terutama kaedah dan jadual pengambilan ubat, juga aspek keselamatan (gejala yang mungkin dialami kerana berpuasa). Ini kerana bagi penyakit kencing manis contohnya, keadaan setiap pesakit berbeza dan pendekatan yang perlu diambil sekiranya berlaku satu-satu gejala juga tidak sama.
  •   Walaupun anda cukup sihat, anda masih boleh mengalami masalah sekiranya tidak mengamalkan pemakanan yang betul. Antara masalah yang kerap dialami kebanyakan orang sepanjang Ramadan ialah kekurangan air, zat dan tidak cukup rehat.
  • Lewatkan bersahur. Ada orang suka bersahur pada jam 3 atau 4 pagi sedangkan imsak masih jauh. Bagi yang jarang bersahur, tahun ini cubalah sedaya upaya bangun awal untuk menjamah sedikit makanan, sekurang-kurangnya secawan minuman panas dan kurma.
  • Sahur adalah sunnah dan ia menjadi waktu makan yang amat penting untuk membekalkan tenaga sepanjang hari. Ambil sajian seimbang yang mengandungi karbohidrat, protein, sayur dan buah-buahan. Jika boleh, minum banyak air kosong ketika sahur.
  • Jika anda bekerja di luar, pada hari yang panas, cubalah berlindung di tempat teduh dan pakai pelindung kepala seperti topi atau payung.
  • Didiklah hati untuk bersederhana ketika berbuka. Mulakan berbuka dengan sajian yang ringan seperti kurma, susu, air atau jus buah. Selepas solat Maghrib, bolehlah disambung dengan makan makanan yang lebih berat.
  • Selepas solat Tarawih, cuba elakkan minum kopi, teh atau minuman berkarbonat. Jika teringin, ambillah sekadar satu cawan saja, tetapi pastikan ia tidak terlalu manis. Namun lebih baik jika minuman yang manis ini diganti dengan air suam.
  • Sajikan hidangan sihat untuk diri sendiri dan keluarga dengan menghidangkan buah-buahan atau kacang bagi menggantikan kuih-muih khususnya jika ada ahli keluarga yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi. Walaupun secara logiknya Ramadan adalah bulan yang paling sesuai untuk mengawal penyakit, ramai orang sukar melakukannya kerana terlebih makan.
  • Bagi individu yang ada masalah pedih ulu hati, elakkan makanan bergoreng, berlemak dan pedas terutama ketika berbuka.
  • Banyakkan minum air masak selepas berbuka. Cuba minum lapan gelas air sebelum tidur. Pada awalnya anda mungkin akan kerap terjaga pada waktu malam untuk ke bilik air, tetapi perkara ini ada hikmahnya kerana anda boleh bangun beribadat tanpa perlukan jam loceng.
  • Lakukan senaman ringan selama 15 hingga 20 minit setiap hari seperti berjalan, sama ada pada waktu pagi atau petang sebelum berbuka.
  • Cuba berhenti merokok. Ramadan adalah bulan terbaik untuk berhenti merokok dan meningkatkan tahap kesihatan.
  • Pada waktu rehat tengah hari, tidur sekejap (10 hingga 15 minit) untuk menghilangkan rasa mengantuk dan mengembalikan kecergasan supaya prestasi kerja tidak terjejas.


  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan

    Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.