Selasa, 2 April 2013

Bersikap adil curah kasih sayang

http://wallpaperdev.com/stock/wonderful-islamic-quotes-most-beautiful-names-of-allah-holy-quran.jpg

Bersikap adil curah kasih sayang




Rahsia supaya anak taat dan terus berbakti
 kepada ibu bapa adalah dengan berlaku adil 
dan saksama terhadap mereka. Adil bermaksud 
meletakkan sesuatu sesuai pada tempat, 
memberi hak kepada yang berhak. 





Adil dalam menyediakan keperluan anak
 contohnya dengan memberi makanan halal,
 mengasuh dan mendidik dengan baik,
 mencurahkan kasih-sayang yang cukup, 
menjaga emosi serta memberi perlindungan. 




Layanan tak seimbang 




Tidak dinafikan ada kalanya ibu bapa
 tersilap atau tidak sengaja memberi layanan
 tidak seimbang antara anak-anak. Meskipun 
anak-anak lahir daripada rahim ibu yang sama,
 namun perangai serta tingkah-laku
 mereka tidak sama. 





Ada anak yang bersikap tidak kisah,
 sensitif, terlalu agresif dan pelbagai lagi. 
Jadi, ibu bapa perlu ada kemahiran keibubapaan
 supaya berlaku adil kepada anak. 





Allah SWT berfirman: 



“Berlaku adillah kerana adil itu 
lebih dekat kepada takwa. 
Dan bertakwalah kepada Allah, 
bahawasanya Allah Maha Mengetahui apa-apa
 yang kamu kerjakan.” 

(Surah al-Ma'idah, ayat 8)





Rasulullah SAW bersabda: 


“Berlaku adillah antara anak-anak kamu.”
 (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Nasa’i dan Ibn Hibban) 





Perbuatan membeza-bezakan anak
 amat dilarang. Jika berlaku, kesannya amat
 besar kepada jiwa dan perhubungan mereka 
sehingga boleh menimbulkan perbalahan,
 saling membenci, dalam kalangan anak-anak. 




Iktibar peristiwa Nabi Yusuf 





Lihatlah apa yang pernah berlaku 
kepada Nabi Yusuf kerana ayahnya, 
Nabi Yaakub yang lebih menyayangi
 Nabi Yusuf telah menimbulkan rasa dengki
 abang-abangnya. Mereka merancang 
membunuh Yusuf yang ketika itu
 masih belum baligh seperti 
diceritakan dalam al-Quran. 





Situasi begini banyak berlaku kepada 
ibu bapa masa kini. Kesan jangka panjang
 ialah anak-anak tidak mengekalkan 
perhubungan baik sesama mereka
 apabila dewasa atau sudah berumah tangga.
 Apabila terjadi perselisihan faham,
 ketika itulah keluar keluhan mengungkit
 rasa tidak puas hati. 





Terdapat beberapa faktor yang perlu 
diambil kira oleh ibu bapa supaya
 dapat berlaku adil terhadap anak-anak
 antaranya faktor usia. Anak berumur tujuh 
tahun ke bawah perlu diasuh dengan 
kasih-sayang misalnya
 bergurau serta bermain. 




Bagi yang meningkat remaja, 
ibu bapa perlu menerapkan disiplin
 dan tegas dalam mendidik seperti 
menitikberatkan soal adab dan akhlak mereka.
 Pada usia belasan tahun, anak dilayan 
seperti sahabat. Ibu bapa akan lebih
 mendengar dan memberi 
pendapat serta panduan. 




Jadikan Rasulullah idola 




Mendidik anak-anak, ibu bapa 
seharusnya menjadikan Rasulullah SAW 
sebagai idola kepada anak dengan
 menceritakan akhlak Baginda yang 
sentiasa rajin, cermat dan bersungguh-sungguh
 dalam setiap pekerjaan dilakukan. 




Jika ibu bapa sentiasa berlaku adil 
terhadap anak-anak, hasil didikan
 yang positif akan dapat dilihat misalnya
 anak-anak tidak berhasad dengki, tidak 
mementingkan diri dan tidak bermusuhan. 
Anak-anak juga akan mudah mengikut
 kata kerana mendapat layanan sama rata. 




Rasulullah SAW bersabda: 

“Sesungguhnya orang yang berlaku adil itu
 di sisi Allah kelak, berada di atas mimbar-mimbar
 daripada cahaya. Iaitu mereka yang 
berlaku adil dalam memutuskan hukum 
dan bertindak adil terhadap bawahan 
(rakyat, keluarga) mereka.”

 (Riwayat Muslim)  





 http://topislamicwallpapers.com/wp-content/uploads/2013/01/every_experience_allah_give_us_islamic_quotes_photos.jpg


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.