Selasa, 26 Februari 2013

Perbuatan Ukur Keimanan


https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgheOXDE2xPrUcTTWZW0wpQQPQRkAzYwKpGuBYwh7bIdWh9LmtUEx1A_RF1mM9HtDV_UZv-d_ydXzdv4XvNM9oNE_sjlnCX_Gl5sEQKE2AQ91XTvbS7vPU7naVKcsxfFQcHA4hLPmqdlrSv/s400/3784145009_f1d149c1e0.jpg

Perbuatan ukur keimanan


Tiga perkara asas ialah
 keyakinan dalam hati, 
hadir dalam tutur kata 
dan amal syariat Islam


Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya berada di atas jalan kebenaran. Kebenaran yang dimaksudkan meliputi pelbagai keadaan sama ada dengan hati, percakapan mahupun tindakan. Malah kita disuruh oleh Allah SWT memohon ditunjukkan jalan kebenaran iaitu jalan mereka yang berjaya di sisi Allah SWT dan beroleh nikmat daripada-Nya.



Nikmat yang cukup besar bagi manusia apabila dia berada dalam cara hidup Islam. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT: 



“Tunjukkanlah kami
 ke jalan yang lurus (benar), 
iaitu jalan-jalan yang Engkau berikan kepada
 mereka nikmat-nikmat dan bukanlah jalan mereka
 yang dibenci dan juga bukan pula
 jalan mereka yang sesat.” 


(Surah al-Fatihah, ayat 6-7)

" Wahai orang yang beriman,
 mengapakah kamu berkata-kata tetapi
 kamu tidak melaksanakannya? 
Sesungguhnya amat besar kebencian Allah
 bagi mereka yang berkata-kata namun
 tidak melakukannya"

 Surah al-Saff (ayat 2-3)





Bagi umat manusia kebenaran itu diukur oleh neraca agama iaitu syariat Islam. Jika sesuatu tindakan itu bertepatan dengan kehendak syariat maka seseorang itu berada di atas jalan kebenaran.




Namun jika seseorang itu melakukan sesuatu yang dilarang Allah SWT dan juga Rasul-Nya maka dia sebenarnya telah menjerumuskan dirinya kepada kebencian di sisi Allah SWT. Maka pada ketika itu manusia hidup dalam kegelapan dan kesesatan.

 



Zahirkan keimanan



 

Tahap keimanan seseorang itu kepada Allah SWT adalah garis ukuran utama dalam menentukan seseorang berada di atas jalan kebenaran mahupun sebaliknya. Perlulah kita sedari iman bukan hanya dengan keyakinan dalam hati, malah wajib dizahirkan melalui tindakan.
 



Imam Hasan al-Basri menyebut: 



“Iman itu bukanlah hanya
 dengan angan-angan dan bukan pula hanya 
dengan perhiasan, tetapi iman itu 
adalah sesuatu yang diyakini dengan hati 
dan dibenarkan dengan tindakan.”




Angan-angan di sini adalah seseorang itu masih dikira lemah imannya jika hanya mengaku dengan hati bahawa dia beriman sedangkan keimanan yang hadir dalam jiwanya itu tidak mampu dilahirkan dalam bentuk amalan.




Contoh termudah ialah seseorang yang berbangga dan mendabik dada dialah manusia yang beriman namun tindakannya tidak langsung menunjukkan ciri-ciri orang beriman. Individu sebegini hanyalah manusia sesat yang bercakap di atas ‘tiket kejahilan’.




Golongan kedua yang masih tidak dikira beriman ialah mereka menganggap iman itu sekadar suatu perhiasan. Menzahirkan sifat keimanan secara luaran saja namun pada hakikatnya hati dan jiwa mereka tidak yakin kepada sesuatu yang dibawa oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.




Mereka ini juga disebut sebagai golongan munafik menzahirkan Islam secara luaran namun mereka menolak Islam daripada hati-hati mereka.

 



Firman Allah SWT: 



“Dan apabila kamu melihat mereka,
 kamu akan tertarik hati kepada tubuh
 badan mereka (dan kelakuannya); 
dan apabila mereka berkata-kata, kamu akan
 (tertarik hati) mendengar tutur kata mereka,
 walaupun begitu mereka hanyalah seperti
 batang-batang kayu yang tersandar
 (tidak terpakai kerana tidak ada padanya
 kekuatan yang dikehendaki).” 


(Surah al-Munafiqun, ayat 4)

 


Benar dalam beriman kepada Allah SWT mestilah meliputi tiga perkara utama iaitu keyakinan dengan hati. Perkara pokok dan asas dalam keimanan kepada Allah SWT ialah pengakuan dengan hati, yakin segala diturunkan Allah SWT iaitu al-Quran dan juga sunnah Nabi SAW. 



Pengakuan dengan hati tidak akan sempurna jika kita menolak apa saja yang dibawa oleh al-Quran dan sunnah Nabi SAW. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:




 “Apakah kamu hanya beriman 
dengan sebahagian Kitab dan menolak 
sebahagian yang lain? Dan tiadalah pembalasan
 yang setimpal bagi mereka yang melakukan
 perbuatan sedemikian kecuali kehinaan dalam
 kehidupan di dunia dan pada hari akhirat 
mereka akan dilemparkan ke dalam seksaan
 yang paling pedih; dan Allah tidak akan
 melupakan sesuatu yang telah kamu kerjakan.”


 (Surah al-Baqarah, ayat 85)

 


Kata-kata berbaur maksiat

 


Dalam membuktikan keyakinan dan keimanan kepada Allah SWT maka perlulah ia hadir dalam tutur kata. Seseorang itu masih tidak dikira sebagai seorang yang beragama Islam melainkan setelah mana dia melafazkan kalimah tauhid iaitu dua kalimah syahadah.

 


Percakapan adalah cermin yang menceritakan identiti iman seseorang. Percakapan baik adalah peribadi golongan yang beriman, manakala kata-kata berbaur maksiat adalah dosa yang perlu diminta keampunan daripada Allah SWT.

 


Percakapan yang baik dalam Islam
 disebut sebagai ‘al-Nasihah’. Nabi SAW bersabda:



 “Sesungguhnya Deen (Islam) itu 
adalah ‘al-Nasihah’ (sebanyak tiga kali). 
Maka sahabat bertanya: 
Untuk siapakah wahai Rasulullah?
 Jawab Baginda: Untuk Allah, Kitab-Nya, 
Rasul-Nya, pemimpin umat Islam dan
 seluruh masyarakat.”


 (Riwayat Abu Daud)

 


Maksud seruan kepada Allah, Kitab dan Rasul-Nya ialah segala seruan kebaikan di atas matlamat keredaan Allah SWT dengan membenarkan apa saja yang disuruh oleh-Nya melalui al-Quran al-Karim dan sunnah Nabi SAW.

 


Manakala seruan kebaikan kepada pemimpin dan masyarakat pula ialah memberi nasihat dan peringatan ke arah kebaikan supaya mampu mengubah serta memperbaiki segala ketempangan atau kekurangan yang ada.

 


Seseorang itu masih belum lengkap iman jika tidak mempraktikkan syariat Islam dalam kehidupan hariannya. Firman Allah SWT: 



“Wahai orang yang beriman,
 mengapakah kamu berkata-kata tetapi 
kamu tidak melaksanakannya? Sesungguhnya 
amat besar kebencian Allah bagi mereka
 yang berkata-kata namun tidak melakukannya.”

 (Surah al-Saff, ayat 2-3)

 

Allah SWT menerangkan bahawa ketaatan dan keimanan kepada Allah SWT itu wajib hadir dalam bentuk perbuatan. Dalam al-Quran Allah SWT meletakkan sifat keimanan bersama amalan soleh. Hal ini menunjukkan amalan atau perbuatan itu termasuk dalam kategori iman.

 


Istilah benar dalam Islam apabila seseorang itu melakukan tindakan yang bertepatan dengan syariat Islam. Maka ukuran utamanya di sisi Allah SWT adalah melalui tahap keimanan seseorang itu yang lahir daripada pengakuan hati, lisan dan perbuatannya. 



Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Perbuatanukurkeimanan/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.