Persediaan hadapi risiko dituntut
Era globalisasi, perkembangan dunia semakin pesat, dinamik dan
penuh persaingan ini, kemungkinan pekerja untuk berdepan pelbagai bentuk
kesukaran serta kemungkinan risiko sama ada yang boleh diduga mahupun
tidak adalah tinggi.
Justeru, selain merancang dan berusaha untuk mencapai sasaran atau
matlamat, pekerja perlu menyiapkan diri dengan persediaan serta kekuatan
mengurus risiko. Risiko bermaksud perkara yang tidak dijangka dan
ketidakpastian yang memberi kesan buruk atau negatif kepada kita.
Contoh risiko ialah penyakit, bencana, kemalangan dan sebagainya. Risiko
boleh berlaku disebabkan faktor manusia sama ada disebabkan kekurangan,
kecuaian atau kelalaian, proses kerja, kewangan, sistem dan peralatan.
Persediaan hadapi risiko
Oleh itu, mengurus risiko berkait rapat dengan persediaan
menghadapinya, pemantauan dan penilaian yang berterusan untuk
mengurangkan kemungkinan berlaku kejadian tak diingini. Ia adalah suatu
aspek dalam mengurus kerja yang kadangkala terlepas pandang kecuali
apabila ia sudah berlaku.
Jika bidang kerja memang terdedah dengan risiko seperti keselamatan
dan pencemaran bak pepatah Melayu mengatakan sudah terhantuk baru
terngadah.
Usaha persediaan bagi mengelakkan daripada risiko adalah suatu
tuntutan dalam Islam. Sesuai dengan matlamat syariah untuk memelihara
umat dan mengembangkan kebaikan serta menghindarkan keburukan.
Tawakal selepas berusaha
Satu hari Rasulullah SAW melihat seorang Arab Badwi meninggalkan
untanya tanpa ditambat. Baginda bertanya kepada Badwi itu:
“Mengapa kamu tidak menambat untamu?
Badwi itu menjawab:
“Aku bertawakal kepada Allah SWT.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda:
“Tambat unta kamu kemudian bertawakallah
kepada Allah.”
(Riwayat al-Tirmizi)
Selain menunjukkan maksud tawakal adalah dengan berusaha terlebih
dulu kemudian barulah berserah kepada Allah SWT, nasihat Rasulullah SAW
juga membuktikan persediaan perlu dalam mengurus risiko.
Dalam konteks ini, risikonya ialah kehilangan unta. Malah, dalam
sabda Baginda yang masyhur mengenai merebut lima perkara nikmat juga
membuktikan ajaran Islam menggalakkan kita bersiapsiaga sebelum
datangnya lima risiko keadaan atau keburukan.
Sabda Rasulullah SAW:
“Rebutlah lima perkara
sebelum datang lima
perkara.
(Iaitu) muda sebelum tua,
sihat sebelum sakit,
kaya sebelum
miskin,
masa lapang sebelum sempit dan
hidup sebelum mati.”
(Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi)
Sikap hadapi risiko
Justeru, antara pelbagai pendekatan Islam yang boleh diaplikasikan
ialah pertama, persiapan sebelum berdepan risiko dan kedua, sikap ketika
berdepan risiko.
Persiapan untuk mengurangkan risiko bermula dengan kesedaran dan
kefahaman bahawa risiko adalah ujian. Manakala sikap yang perlu ada
apabila mendepani risiko ialah tabah dan tidak mudah putus asa atau
berpantang mati sebelum ajal.
Pekerja yang faham mengenai ujian dalam kehidupan akan lebih mudah
menerima hakikat risiko dan berdepan dengannya secara tenang, tidak
mudah berputus asa serta bersikap terburu-buru dalam tindakan atau
dengan mudah pula menuding jari kepada yang lain.
Ujian sekadar mendidik
Pemikiran positif yang ditanamkan mengenai ujian ialah ia untuk
mendidik bukannya menghukum. Menurut Sheikh al-Imam Ibn ‘Ataillah
al-Sakandari dalam al-Hikam, ujian mendidik kita supaya menilai
kelemahan diri, tindakan, amalan, mendidik jiwa sabar, taubat supaya
bertakwa kepada Allah SWT.
Apabila manusia terdidik melalui ujian ini, Allah SWT akan memberikan pertolongan serta meninggikan pula kedudukannya.
Iktibar boleh diambil dalam peristiwa Perang Badar seperti
pertolongan Allah SWT dalam firmanNya:
“(Ingatlah)
ketika kamu memohon pertolongan
daripada Tuhan kamu,
lalu diperkenankan oleh-Nya bagi kamu:
Sesungguhnya Aku akan
mendatangkan bantuan kepada kamu
dengan seribu
malaikat
yang datang berturut-turut.”
(Surah al-Anfal, ayat 9)
Peluang capai matlamat
Begitu juga dalam konteks risiko. Kejayaan mengurus risiko bererti
pekerja berjaya membuka lebih banyak peluang untuk mencapai matlamat
disasarkan yang akan membawa kepada peningkatan pencapaian organisasi.
Manakala ketika berdepan dengan sebarang ujian atau risiko pula kita
perlu tabah dan tidak mudah berputus asa. Kita diingatkan bahawa
berputus asa adalah sikap orang yang sesat lagi dibenci Allah SWT.
Penulis ialah
Prof Madya
di Jabatan Siasah Syariyyah,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya (UM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.