Rabu, 7 November 2012

Berlapang dada terima teguran

 


Berlapang 
dada terima teguran

Golongan miliki sifat rendah diri
 lebih mudah dengar nasihat


Tegur menegur 
adalah amalan baik dan
 digalakkan agama. Namun, 
kaedah dan caranya yang perlu diberi
 perhatian supaya teguran tidak 
bertukar menjadi permusuhan
 yang berakhir dengan pertelingkahan.




Apa yang berlaku kepada 
Saidina Umar Al-Khattab boleh 
dijadikan panduan. Suatu hari, 
seorang peminum arak menegur 
sesuatu kepada Saidina Umar dan 
khalifah dengan berlapang dada 
menerima teguran itu.




Orang yang melihat keadaan itu
 berasa pelik dan hairan lalu 
bertanya kepada Khalifah: 



“Wahai Amirul Mukminin,
 kenapakah tuan menerima teguran dia,
 sedangkan dia peminum arak? 
Saidina Umar menjawab: 
Ya, dia berdosa kerana meminum arak
 tetapi tegurannya kepadaku adalah benar.”


 

Ada orang sensitif apabila ditegur 
tetapi ada juga yang berterima kasih
 kerana ada orang sudi memperbetulkan kesilapan.
 Oleh itu, seboleh-bolehnya apabila 
kita ingin menegur hendaklah 
mengelak daripada menegur secara 
menyindir dan sinis supaya pihak 
yang ditegur tidak terluka.



Hakikatnya, ada yang tidak suka
 kepada teguran kerana dalam diri 
manusia itu memiliki benih kesombongan
 dan keangkuhan. Biasanya manusia 
yang merendah diri dan mengakui 
kelemahan diri lebih mudah
 menerima teguran.

 


Allah berfirman: 


“Serulah (manusia) 

kepada jalan Tuhanmu 

dengan hikmah dan pelajaran 

yang baik dan bantahlah mereka 

dengan cara yang lebih baik.”

 (Surah an-Nahl, ayat 125)

 
Kebelakangan ini kita melihat semakin
 banyak pihak yang tidak boleh ditegur
 biarpun teguran itu ada asas kebenarannya.
 Semua pihak hendaklah berlapang dada
 untuk menerima teguran hatta mereka ini 
tergolong dalam golongan ulama
 dan ilmuwan agama yang 
dihormati masyarakat.


Rasulullah SAW bersabda:



 “Tiga perbuatan yang sangat baik,

 iaitu berzikir kepada Allah SWT

 dalam segala situasi, saling menyedarkan

 antara satu sama lain dan

 mengasihi saudaranya

 (yang memerlukan).” 

(Riwayat al-Dailami)


Hakikatnya, Islam memberi panduan jelas untuk memberi teguran dan sikap yang sepatutnya dipamerkan apabila ditegur. Kita tidak seharusnya melatah apatah lagi bertindak balas secara emosional hingga sanggup menyerang melalui kata-kata.


Tiga faktor yang digariskan oleh Islam
 boleh menjayakan sesuatu teguran iaitu pertama
tidak bersifat merendah-rendahkan seseorang 
yang ditegur. Kedua, mencari situasi yang sesuai 
dan ketiga, memahami kedudukan 
orang yang ditegur.


Kegagalan untuk berkomunikasi
 dengan baik akhirnya menyebabkan 
hilang kawalan emosi boleh 
membawa kepada berlakunya pertikaman lidah. 
Jika tidak kena gaya, boleh mendorong 
ke arah bermasam muka dan tidak bertegur sapa.


Begitu juga dengan pujian, 
elakkan daripada memuji terlebih.
 Imam al-Ghazali dalam buku
 Ihya ‘Ulum al-Din menyatakan 
enam bahaya (keburukan)
 yang mungkin timbul daripada
 budaya memuji iaitu empat keburukan
 kembali kepada orang yang memberikan pujian
 dan dua keburukan kembali 
kepada orang yang dipuji.


Bagi pihak yang memuji,
 keburukan yang akan diperoleh ialah
 melakukan pujian secara berlebihan
 sehingga menjerumus kepada dusta, 
memuji dengan berpura-pura dan menyatakan 
sesuatu untuk menggembirakan orang 
yang dipuji tanpa berniat membetulkan
 kesilapan dibuat.

 

Dua keburukan yang menanti orang 
yang dipuji pula ialah dia akan merasa
 sombong dan bangga diri, kedua-dua 
adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati.
 Keburukan kedua, orang yang dipuji 
akan merasa hebat, tidak perlu
 bersusah payah bekerja kuat untuk 
mencapai maksud serta tujuan.

 

Apa juga yang kita lakukan berkaitan lidah,
 harus berhati-hati tidak kiralah sama ada
 ia teguran atau pujian kerana setiap yang
 diperkatakan akan dihitung di akhirat kelak.

 


Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Berlapangdadaterimateguran/Article


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.