Ahad, 7 Oktober 2012

Nilai diri sebelum letak sasaran


 

Nilai diri sebelum letak sasaran

Umat Islam mesti bermuhasabah
 dalam laksana ibadat, tugas seharian

 

Ketika ini, umat Islam sedang mengerjakan ibadat dan pelbagai bentuk kebajikan di Tanah Suci, maka kita yang berada di tanah air wajar mencontohi mereka dengan berebut-berebut melakukan kebaikan dalam apa juga bentuk yang termampu. 




Perhimpunan raksasa umat Islam dari merata pelosok dunia untuk mengerjakan ibadat haji ini bukan saja menjadi contoh dalam kalangan umat Islam, juga masyarakat dunia. Justeru, pelbagai hikmah perjalanan ibadat itu harus kita kutip, renungi dan contohi dalam segenap aspek kehidupan.






Sabda Rasulullah SAW:





“Orang yang cerdik ialah orang yang sentiasa muhasabah dirinya dan membuat bekalan amalan untuk selepas mati, dan orang yang bodoh ialah yang mengikut hawa nafsu dirinya dan bercita-cita kepada Allah dengan pelbagai cita-cita tanpa usaha.” (Riwayat Imam Ahmad, al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)
Ia mencetuskan lima inspirasi nilai dalam bekerja iaitu mencemburui kebaikan dan kejayaan; mencari dan menginsafi kelemahan diri; mensyukuri dan merebut peluang di hadapan mata; menekuni amalan serta munajat dengan ketulusan dan keluhuran hati.

 
Hal ini terangkum dalam pandangan Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-fiqh al-Islami wa Adillatuhu bahawa antara hikmah mengerjakan haji adalah menguatkan keazaman, melaksanakan pengorbanan dan menyucikan diri.



Mencemburui kebaikan yang dilakukan apatah lagi dalam menunaikan rukun Islam adalah nilai perasaan yang baik serta dibenarkan dalam Islam.


Rasulullah bersabda, tiada hasad dengki kecuali pada dua perkara iaitu ilmu apabila ia diajarkan dan harta apabila ia dibelanjakan pada jalan kebaikan. Ini bermaksud hanya hasad atau cemburu pada hal kebaikan dibenarkan agar kita mencontohinya dan menjadikan kebaikan sebagai amalan.




Maknanya, kita di sini jangan lalai melaksanakan ibadat dan tugas seharian. Ibarat berlumba dengan jemaah haji, kita boleh meletakkan suatu sasaran yang ingin dicapai dalam musim ini sebagai pembakar semangat.


Nilai diri terlebih dulu




Apatah lagi apabila berada pada penghujung tahun, tetapi masih ada sasaran kerja atau azam tahun baru 2012 dan 1433 Hijriah yang belum terlaksana. Oleh itu, dalam meletakkan sasaran kerja kita perlu menilai diri terlebih dulu, apa kelemahan dan kekuatan.



Jemaah haji di Tanah Suci meninggalkan segala-galanya semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Ilahi. Hari dan masa mereka dipenuhi dengan munajat dan taubat. Justeru, kita di sini perlu merenungi dan menginsafi diri supaya sentiasa mendapat hidayah Allah dalam urusan kerja seharian.



Sabda Rasulullah SAW: 
“Orang yang cerdik ialah 
yang sentiasa muhasabah dirinya
 dan membuat bekalan amalan 

untuk selepas mati, 

dan orang yang bodoh ialah
 yang mengikut hawa nafsu dirinya
 dan bercita-cita kepada Allah 

dengan pelbagai cita-cita
 tanpa usaha.” 
(Riwayat Imam Ahmad, 
 al-Tirmizi, Ibn Majah dan al-Hakim)




Dalam pengurusan atau perkhidmatan, kelemahan diri boleh dikenal pasti melalui pelbagai kaedah antaranya nasihat dan teguran pihak majikan, mesyuarat, perbincangan rakan sejawat, aduan pelanggan serta pengurusan audit nilai.

 



Melalui audit nilai perkhidmatan, kita juga dapat mengukur tahap pelaksanaan nilai di jabatan dan agensi. Ini membolehkan kita menyedari dan memperbaiki kelemahan bekerja, menghasilkan kualiti untuk mencapai standard piawaian yang ditetapkan.

 



Begitu juga dalam beribadat. Allah SWT sentiasa menerima amalan hamba-Nya yang dikerjakan dengan hati insaf dan tunduk kepadaNya. Menurut Imam al-Ghazzali dalam Riyadah al-Nafs, usaha ini juga menjadi ‘senaman jiwa’ bagi umat Islam.

 



Inspirasi nilai yang ketiga ialah mensyukuri nikmat dan merebut peluang di depan mata. Saidina Umar bin al-Khattab menyebut: 
“Nikmat itu ibarat binatang liar,

 maka tambatlah ia dengan syukur.’

 


Jemaah yang berada di Tanah Suci wajib mensyukuri serta merebut nikmat ‘jemputan’ daripada Allah dengan menekuni amalan semampu kudrat dan sepenuh hati. Apatah lagi apabila ramai yang belum diizinkan untuk sampai walaupun berkemampuan.

 
Rebut nikmat depan mata

 


Begitulah juga dengan kita di sini, wajar merebut nikmat dan peluang di depan mata dengan meningkatkan usaha dan ketakwaan. Justeru, nilai bersyukur menjadi satu nilai teras dalam perkhidmatan awam.

 


Syukur mesti diterjemahkan kepada ketekunan beramal dan berbuat kebaikan. Firman Allah SWT:
 “Dan 

sesiapa yang datang kepada-Nya 

sedang dia beriman, serta dia
 mengerjakan amal-amal yang salih,
 maka mereka itu akan beroleh 
 tempat tinggal yang tinggi darjatnya.”
 (Surah Taaha, ayat 75)

 


Inspirasi nilai terakhir, setiap usaha yang dipertingkatkan hendaklah dengan munajat dan tawakal kepada Ilahi kerana tiada yang mampu memberi kebaikan dan menghalang keburukan daripada berlaku melainkan dengan Kuasa Allah SWT.

Penulis ialah 
Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, 
Akademi Pengajian Islam, 
Universiti Malaya (UM)
Sumber 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.