Kelebihan Mekah
ALHAMDULILLAH acara ibadat haji dan musim haji telah bermula dengan masuknya Syawal dan para jemaah sibuk dengan persiapan terakhir sebelum berangkat menuju ke rumah Allah.
Untuk isu kali ini, penulis diamanahkan untuk membincangkan tentang kelebihan Mekah. Bagi memahami isu ini, penulis membincangkan melalui beberapa noktah agar mudah difahami.
* Nama: Kota Mekah mempunyai banyak nama. Ini menandakan lebihnya Kota Mekah terutamanya apabila gelaran yang melambangkan kebaikan dan kehebatan diberikan kepadanya.
Mekah ertinya membinasakan atau mengurangkan. Dinamakan Mekah kepada Tanah Haram Mekah seluruhnya, kerana Mekah mengurang dan menghapuskan dosa orang yang datang kepadanya atau membinasakan orang yang melakukan kezaliman di Mekah atau kerana Mekah menghapuskan pemerintah yang zalim dan menundukkan kesombongan mereka.
Seperkara lagi nama kota ini dirakamkan dalam nas al-Quran dan hadis dan sudah pasti ia akan diabadikan di sepanjang zaman kehidupan manusia.
* Sejarah: Kota Mekah mempunyai sejarah yang cukup istimewa, antaranya ia merupakan sejarah rumah Allah yang pertama didirikan untuk manusia. Sejarah kehidupan Hajar dan Ismail sebagai manusia yang membuat pembaharuan semula bagi Kota Mekah amatlah unik. Seterusnya catatan kehebatan Mekah berlangsung daripada generasi terdahulu hingga kini.
* Karamah: Penulis maksudkan dengan kemuliaan yang Allah wujudkan pada Kota Mekah, sama ada dinaskan dalam al-Quran dan hadis. Hal ini jelas dengan rakaman firman Allah SWT berkenaan Ashabul Fil. (rujuk al-Fil: 1-5)
* Tawaran pahala. Terlalu banyak tawaran pahalanya dan digandakan berbanding tempat lain. Ini terbukti dengan banyak nas seperti solat di Masjidil Haram di beri ganjaran 100,000 berbanding masjid lain. Begitu juga dengan pahala tawaf, umrah, hatta melihat Kaabah.
Oleh itu, semestinya jemaah haji tidak melepaskan peluang melakukan ibadat dengan sebaik mungkin dan sebanyak mungkin.
Keistimewaan Mekah
* Telaga Zam Zam di mana airnya adalah antara yang terberkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat seseorang yang meminumnya akan diberikan dengan izin Allah. Hal ini dinaskan dalam hadis. Wujudnya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain.
* Mekah sebagai Tanah Haram. Dalam sebuah riwayat Muslim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Mekah:
" Sesungguhnya Negeri Mekah ini
dijadikan Allah SWT sebagai Tanah Haram ketika Dia
menciptakan langit dan bumi.
Mekah ialah tanah haram dengan pengharaman
daripada Allah sehingga ke hari kiamat.
Tidak dibenarkan berperang di Mekah
kepada sesiapa pun sebelumku,
dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali
beberapa masa sahaja
(pada hari pembukaan Kota Mekah tahun ke 8 Hijrah). "
Mekah ialah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak boleh memotong pohon, tidak boleh menangkap binatang pemburuan (yang hidup bebas), tidak boleh mengambil barangan yang tercicir kecuali mereka yang mahu mengumumkannya kepada orang ramai dan tidak boleh mengerat rumput di Mekah. Kata al-Abbas( bapa saudara Rasulullah):
"Kecuali Izkhir
(sejenis tumbuhan yang harum baunya)
untuk dibuat bahan bakar kepada
tukang besi dan dibuat atap rumah.
Jawab Rasulullah SAW:
"Kecuali Izkhir. "
* Tidak dimasuki Dajjal. Hal ini berdasarkan hadis dalam Sahih Bukhari Rasulullah SAW bersabda:
" Semua negeri akan dimasuki oleh Dajjal
kecuali Mekah dan Madinah,
semua jalan masuk dikawal
oleh para malaikat yang berbaris-baris,
kemudian Madinah akan
bergoncang sebanyak tiga kali.
Dan Allah SWT
akan mengeluarkan semua orang kafir
dan munafik darinya. "
* Mendapat keamanan. Ini kerana telah diisytiharkan Allah SWT. Al-Maghari berkata seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah ini. Sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran kehormatannya, selama mereka berada di dalamnya. Amalan kebiasaan ini telah berjalan sejak zaman jahiliah.
* Melakukan ibadah sunat sepanjang masa. Walaupun ia tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dan Malik hukum Mekah sama seperti tempat lain tanpa bezanya ini berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.
* Kaabah. Ia adalah Baitullullah al-Haram dan kiblat umat Islam. Berkenaan dengan kelebihannya tiada syaknya lagi berdasarkan nas al-Quran yang bermaksud:
" Sesungguhnya rumah yang mula-mula
dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah
sebagai tempat ibadat yang berada di Bakkah (Mekah)
yang diberkati dan menjadi petunjuk
bagi semua manusia. "
Penulis suka menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan hati-hati manusia merinduinya dan mewajibkan ke atas hamba-hambanya yang mampu agar mengunjunginya dengan dijanjikan pahala yang berganda-ganda, juga memberi amaran daripada melakukan kejahatan ketika berada di dalamnya.
Allah SWT telah menyebutnya dalam al-Quran, Rasulullah SAW seringkali menyebutnya dalam hadis serta para ulama dan ahli sejarah telah banyak menulis mengenai sejarah Mekah yang tua ini. Amin.
DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji
(TH-JAKIM)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.