Hati baik tolak keburukan
Ia ibarat pohon kering yang daunnya berguguran, tidak hijau dan tidak hidup. Sama juga dengan pohon tidak berbuah, hidup tetapi seperti mati.
Ia tidak memiliki pengaruh dalam kehidupannya kerana hanya dapat mengambil tetapi tidak dapat memberi. Potensi menerima dan menolak sangat dipengaruhi hati.
Apabila hatinya baik, ia cenderung menerima kebaikan dan menolak keburukan. Sebaliknya, apabila hatinya buruk, ia cenderung kepada keburukan dan menolak kebaikan.
Hati adalah raja kerana ia mengendalikan setiap langkah manusia. Ia bekerjasama dengan akal yang berperanan menentukan setiap keputusan yang menjadi pengukur buruk atau tidak manusia.
Jika baik, maka baiklah seluruh tubuh dan apabila buruk, buruklah seluruh tubuh. Demikian sabda Rasulullah s.a.w mengenai hati.
Di antara umat Islam, ada beberapa orang biasa yang kedudukannya sangat istimewa di hadapan Allah.
Ia bukan ulama atau syuhada’. Mereka dapat menyingkap rahsia kehidupan dan rahsia Allah dalam dirinya sehingga dapat menggunakan potensi penglihatan, pendengaran dan hati sesuai dengan kehendak Allah S.W.T.
Mereka juga mampu mengendalikan semua pancaindera untuk ketaatan kepada Allah. Ia adalah gerakan organ tubuh dan jiwanya dalam ketekunan dan kekhusyukan beribadah.
Jiwanya lahir gelombang semangat, malamnya dihidupkan dengan bertahajud serta berdoa menyesali setiap kekeliruan. Pada siangnya ditebarkan kasih sayang dan kebaikan.
Mereka menyeru manusia supaya kembali ke jalan Allah. Roh dan hatinya menjadi penarik setiap hati manusia kembali menemukan pintu hidayah.
Hatinya mendapat petunjuk dan perlindungan daripada Maha Pemberi Petunjuk.
Allah berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman,
penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul
apabila Rasul menyeru kamu kepada
suatu yang memberi kehidupan
kepada kamu. Ketahuilah
sesungguhnya Allah membatasi
antara manusia dan hatinya
dan sesungguhnya kepada-Nyalah
kamu akan dikumpulkan.”
(Surah Al-Anfal ayat 24).
Allah menggambarkan orang yang kering hatinya dan berkarat jiwanya dalam al-Quran:
“Kemudian selepas itu hatimu
menjadi keras seperti batu,
bahkan lebih keras lagi.
Padahal di antara batu-batu itu
sungguh ada yang mengalir sungai-sungai
daripadanya dan di antaranya
sungguh ada yang terbelah
lalu keluarlah mata air daripadanya
dan di antaranya sungguh ada
yang meluncur jatuh,
kerana takut kepada Allah.
Dan Allah sekali-sekali tidak lengah
dari apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Baqarah ayat 74).
Abbas As-Siisiy dalam buku Ath-Thariq Ilal Qulub (Bagaimana Menyentuh Hati (1420 H)) menjelaskan, dalam ayat itu, Allah menjelaskan, batu itu sensitif, bahkan ketika meluncur jatuh ia takut kerana Allah.
Tetapi kita tidak memiliki peralatan yang dapat membuka rahsia, bagaimana batu itu dapat menjadi sensitif yang melekat satu sama lain kerana takutnya kepada Allah.
Abbas As-Siisiy berkata lagi, bagaimana dengan manusia yang banyak diberikan Allah kenikmatan yang besar seperti akal, perasaan dan hati sebagai penitipan rahmat.
Sebahagian manusia hatinya hidup mensyukuri semua kenikmatan Allah. Sebahagian besar yang lain pula kurang mensyukuri bahkan tidak bersyukur sama sekali terhadap pemberi rezeki iaitu Allah.
Manusia kufur nikmat itu sudah mati hatinya. Sebagaimana firman Allah:
“Dalam hati mereka
ada penyakit, lalu ditambah Allah
penyakitnya; dan bagi mereka
seksa yang pedih, disebabkan mereka
berdusta.”
(Surah Al-Baqarah ayat 10).
Orang yang mati hatinya sukar menerima kebenaran. Mereka bertindak sesuai dengan kehendaknya. Nafsu syahwatnya menjadi pengendali sehingga akan menjadi makhluk yang angkuh dan sombong.
Kerana itu, berlindunglah daripada hati yang keras, hati yang mati dan hati yang dikendalikan nafsu.
“Ya Allah,
janganlah Engkau jadikan hati kami
condong kepada kesesatan
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami
rahmat dari sisi-Mu; kerana
sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.