Memaafkan
tapi sukar melupakan
SEMPENA hari baik bulan baik ini maka eloklah kita mengambil kesempatan mengeratkan hubungan silaturahim dan bermaaf-maafan. Lupakan segala kekurangan dan kesilapan serta jalinkan semula hubungan yang putus, dingin atau renggang.
Apabila sebut tentang bermaaf-maafan ini, satu perkara yang sering mengganggu fikiran adalah bagaimana mahu memaafkan sedangkan ia sukar dilupakan. Ramai orang memendam rasa, makan hati dan hidup dengan kecederaan emosi selama bertahun-tahun kerana tidak mampu atau tidak sanggup memaafkan.
Minda
Minda menarik apa yang ada dalam fikiran. Minda yang lemah dan negatif akan menarik perkara buruk dan negatif kepadanya. Mata nampak apa yang hati mahu lihat. Apabila hati mengiyakan seseorang itu sebagai tidak baik maka mata nampak apa sahaja keburukan dan kekurangan yang ada pada orang tersebut. Segala kebaikan yang cuba dilakukan akan dianggap sebagai tidak ikhlas atau pura-pura.
Sebaliknya hati yang bersih disertai minda positif akan menarik segala kebaikan, rezeki dan peluang kepadanya. Sebab itulah ada orang yang kita lihat sentiasa murah rezeki dan bernasib baik.
Sebenarnya mereka ini bukan mencari rezeki sebaliknya menarik rezeki. Allah izinkan rezeki itu datang kepadanya tanpa henti. Semuanya kerana hatinya bersih dengan meminta maaf pada semua orang dan setiap malam memaafkan pula semua orang tanpa syarat.
Saya teringat waktu mengambil Ph.D di Australia dahulu. Disebabkan kesusahan hidup, saya telah amanahkan duit elaun yang masuk ke akaun setiap bulan kepada ibu saya. Saya tinggalkan kad ATM kepadanya kerana bimbang jika beliau memerlukan duit secara terdesak sedangkan saya pula berada di luar negara. Sekurang-kurangnya dapatlah ibu mengeluarkan duit itu bagi menampung keperluannya dan adik-adik. Entah di mana silapnya, tanpa pengetahuan saya dan ibu, ada orang lain mengeluarkan keseluruhan duit tersebut yang jumlahnya hampir RM20,000.
Bagi saya, yang ketika itu berusia awal dua puluhan dan peristiwa itu berlaku dalam tahun awal 80-an, jumlah sebanyak itu adalah sangat besar. Tambahan pula saya datang dari keluarga yang miskin. Ketika itu hati saya sakit, hinggakan saban hari saya mendoakan agar Allah berikan balasan yang setimpal ke atas si pelaku. Hati dan fikiran saya penuh dengan rasa dendam, marah dan tidak pernah tenang.
Hinggalah satu hari, di pagi raya, saya maafkan si pelaku dan berdoa agar Allah berikannya petunjuk dan hidayah. Di saat itu juga saya rasa bagaikan satu beban yang besar diangkat oleh Allah daripada diri ini dan jiwa serta-merta menjadi tenang, reda dan syukur. Nikmatnya ketika itu hanya Allah sahaja tahu.
Memadamkan perasaan
Sebenarnya melupakan peristiwa yang telah berlaku atau orang yang melakukannya itu bukanlah syarat bagi memberikan kemaafan. Yang perlu dihilangkan atau dikikis adalah perasaannya bukan memorinya. Perasaan negatif seperti kecewa, marah, benci, dendam dan seumpamanya perlu digantikan dengan perasaan positif seperti memaafkan, reda, sabar dan syukur.
Inilah yang akan memberikan kita kekuatan dan ketenangan. Malah apabila teringat semula apa yang berlaku, perasaan sudah tidak merasa apa-apa. Sebaliknya memori tentang apa yang pernah berlaku itu biarlah disimpan sebagai pengalaman yang mematangkan dan mendewasakan kita. Yang penting peristiwa atau perbuatan itu tidak diungkit atau tidak disebut-sebut lagi.
Ada yang beranggapan bahawa bagi memadamkan perasaan maka perlu dipadamkan juga memori. Tanggapan sebegini silap. Misalnya kalau kita pernah ditipu oleh orang hingga kita rasa marah dan dendam, maka yang perlu dipadamkan adalah perasaan marah dan dendam itu lalu digantikan dengan perasaan sabar dan reda.
Memori usah dipadam sebab ia pengalaman yang amat berharga dan mahal nilainya. Kalau dipadam juga memori hingga lupa apa yang telah berlaku maka mudahlah kita ditipu oleh orang yang sama atau cara yang sama berkali-kali. Pastinya kita tidak mahu hingga berlaku sebegitu.
Memaafkan pula bukanlah bermakna tidak boleh mencari keadilan atau menuntut hak kita. Dengan sabar dan reda, tetap boleh dicari keadilan bagi mendidik si pelaku agar tidak menjadikan orang lain pula sebagai mangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Terima kasih kerana sudi bertukar fikiran dan memberi pendapat.